Impian Besar FAM Ke Sukan Olimpik Dengan Strategi ‘Lemah’ Hantar Pemain B20

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempertaruhkan skuad B20 bagi menghadapi kelayakan kejohanan Asia B23 yang akan berlangsung pada 27 Oktober depan. Proses kelayakan itu akan dijalankan di Monggolia selama 5 hari.

Perkembangan itu diumumkan oleh Pengarah Teknikal FAM, Dato’ Ong Kim Swee dan menjelaskan ia merupakan program jangka masa panjang. Kumpulan ini mahu disiap siagakan lebih awal bagi memburu tempat ke Sukan Olimpik 2024.

“Keputusan ini sudah dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM sebelum ini dan telah mendapat persetujuan serta kelulusan daripada Jawatankuasa Eksekutif FAM”

“Kelompok pemain ini akan kita sediakan lebih awal bermula tahun ini bagi menghadapi dua kitaran pusingan kelayakan Piala Asia B23 2022 pada Oktober ini dan kelayakan Piala Asia B23 2024 pada tahun 2023 selain dari dua edisi Sukan SEA di Vietnam dan Kemboja.” Ong Kim Swee, Pengarah Teknikal FAM

Itu adalah strategi FAM dengan impiannya ke Sukan Olimpik 2024. Bermakna FAM hanya mahu memberi fokus kepada ‘1 pasukan khusus’ untuk merealisasikan impiannya dan akan menggunakan platform pasukan B23.

Kaedah ke Sukan Olimpik

Sukan Olimpik tidak termasuk dalam kalendar Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan juga Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) namun ia merupakan platform terbaik bagi setiap negara melihat prestasi kumpulan pemain B23.

Dalam konteks Malaysia sebagai negara dari Asia Tenggara, terdapat 4 platform untuk pasukan B23 iaitu Kejohanan Asia, Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

Sejak 2013, AFC telah mewujudkan kejohanan Asia B23. Pusingan akhir kejohanan tersebut juga menjadi mekanisma kelayakan ke Sukan Olimpik dimana 3 hingga 4 pasukan teratas layak ke sukan tersebut.

Kejohanan Asia dilangsungkan secara dwi tahunan -bermakna 1 edisi hanya kejohanan Asia dan 1 edisi lagi ia bertindak sebagai kejohanan Asia merangkap kelayakan Sukan Olimpik.

Dalam tempoh tersebut Malaysia layak 1 kali (2018) ke pusingan akhir dan pada edisi seterusnya Malaysia hampir layak namun keputusan seri pada perlawanan terakhir melenyapkan impian Malaysia.

2018: Malaysia layak ke pusingan akhir kejohanan Asia B23, mara ke pusingan peringkat kalah mati sebelum ditewaskan Korea Selatan

Malaysia mempunyai kumpulan pemain B23 yang lebih baik berbanding pasukan senior tertutamanya dalam kejohanan peringkat umurnya. Pada tahun 2013, Malaysia memberi saingan kuat dalam kempen kelayakan, pintu ke pusingan akhir ditutup pada perlawanan terakhir.

Malaysia kalah kepada Myanmar pada perlawanan terakhir, menutup pintu ke pusingan akhir

Rumusannya, Malaysia boleh mencabar pasukan lain dan hanya selangkah sahaja ke pusingan akhir, namun Malaysia belum lagi pasukan regular.

Sebelum FAM bercita-cita ke Sukan Olimpik, Malaysia perlu menjadi pasukan yang sentiasa ke pusingan akhir kejohanan tersebut. Kejohanan itu masih ditakrifkan sebagai kejohanan pembangunan kerana ia dijalankan setiap 2 tahun.

Adakah strategi FAM tepat?

Sama sekali tidak.

Terdapat pelbagai cara yang dilakukan oleh dunia bagi membina skuad Olimpik. Salah satu cara yang sering digunapakai dulu, membina pasukan projek Olimpik dan bermain di liga. Malaysia pernah menggunakan formula tersebut dan ianya gagal teruk.

Cara yang paling mudah adalah ikut sahaja jalan lurus iaitu skuad B23 mantap perlu bermula dari skuad B21, B19 dan B17 padu. FAM perlu memperkemaskan skuad B21 dan B19 sekarang untuk mendapat pemain yang bagus bagi menggalas cabaran B23 pada masa hadapan.

Setiap peringkat umur tersebut mempunyai kejohanannya tersendiri. Jika FAM membentuk ‘1 pasukan khusus’ dan menggunakan semua platform B23 ia boleh merencatkan ‘pembangunan akhir’ pemain Malaysia.

Malah kelompok pemain B23 sebelum ini tidak mempunyai masalah kritikal. Lihat sahaja 4 proses kelayakan kejohanan B23 Asia tadi.

FAM perlu sedar dan menerima hakikat

FAM perlu sedar, untuk bermain di Sukan Olimpik, Malaysia kena terlebih dahulu regular di Kejohanan B23 Asia. Sebelum regular, Malaysia harus menjadi pasukan pilihan dalam setiap proses kelayakan.

Hakikat sekarang Malaysia bukan lagi pasukan kuat dalam proses kelayakan itu. Tetapi Malaysia telah menunjukkan tanda-tanda positif.

“Apabila kami berjanji mahu layak ke Sukan Olimpik 2024, saya tidak janjikan kami akan layak.”

“Pemain ini adalah generasi bola sepak masa hadapan, perancangan adalah penting untuk persiapan skuad B23” Ong Kim Swee

Untuk meletakkan ‘1 pasukan khusus’ berbanding menjaga kesemua pemain dalam peringkat umur masing-masing memperlihatkan FAM tidak mahu membina pasukan kuat secara holistik.

Malaysia sebenarnya bertuah kerana memiliki pemain B19, B21 dan B23 yang lebih baik berbanding pasukan senior. Kumpulan pemain ini agak baik dalam kejohanan AFF, kejohanan Asia malah Sukan SEA.

Kumpulan pemain ini perlu diberi pendedahan step by step mengikut peringkat umur. Tidak boleh skip untuk menggapai sasaran yang tidak realistik.

Kenyataan dari FAM sasar layak ke Sukan Olimpik mengulangi kenyataanya pada satu masa dahulu yang mahu layak ke Piala Dunia.

Bercita-cita besar tanpa cara. Sekadar meletakkan 30-40 pemain dalam ‘programnya’ dan berharap dapat melahirkan 20 pemain terbaik di Asia.

Kesan buruk dari perancangan FAM

Setiap tahun Malaysia akan mempunyai pemain yang berada dalam kelompoknya umurnya sendiri.

Apabila FAM memutuskan untuk mengangkat terus pemain kelompok B20 bermain di kejohanan B23 ia akan menafikan peluang pemain yang sedang berada dalam lingkungan umur 21-23 tahun.

Disudut lain ia akan menggandakan peluang pemain yang berumur 18-20 tahun. Perkara tersebut merencatkan proses perkembangan akhir pemain Malaysia.

Hari ini, terdapat ramai pemain yang berusia 21-23 sedang berkembang dengan baik di liga, pemain ini belum memecah masuk ke dalam skuad senior namun sudah membuat penampilan dalam skuad junior.

Faktor skuad Malaysia yang dipenuhi dengan pemain naturalisasi dan kacukan juga menjadi sebab utama ‘pemain lahir di Malaysia’ sukar mendapat peluang tersebut. Platform B23 merupakan pentas terbaik untuk mereka membuktikan dirinya layak menyarung jersi Malaysia.

Syukri Baharun, Danial Asri, Shahrul Nazeem Zulpakhar, Hakimi Abdullah, Shahrul Nizam Ros Hasni, Izzuddin Roslan, Adib Raop, Sunnil Chandran, K.Thivandaran, Syahmi Zamri dan ramai lagi bakal terlepas peluang untuk menampilkan aksinya.

Siapakah pemain yang disenaraikan di atas?

Kumpulan pemain B23 yang mula memecah masuk dalam Liga Super iaitu divisyen tertinggi di Malaysia. Shahrul Nazeem dan Alif Haiqal merupakan pemain yang sedang diberi kepercayaan besar oleh Karsten Nitzel di Selangor.

Pada musim lepas Danial Asri memegang status penjaring terbanyak Liga Perdana (tempatan).

Syukri Baharun menampung ketiadaan Azzizan Nordin akibat mengalami kecederaan dengan baik. Shahrul Nizam Ros Hasni dan Hakimi dibangunkan oleh Nafuzi Zain. Sunnil Chandran dan Syahmi Zambi mengemudi pasukan tanpa import, PJ City.

Kesemua ini telah dinafikan peluangnya kerana strategi FAM yang salah.

Jepun menghantar pasukan B20 ke kejohanan Asia B23/2018 kerana mereka mahu menyiapkan pasukannya sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2020.

Malaysia menghantar pasukan B20 pada kelayakan B23 kerana mahu layak ke Sukan Olimpik -dimana Malaysia belum tentu lagi layak.

Baca yang lain

Cassano Anggap Leao Perasan Bagus

Antonio Cassano sekali lagi membuat kenyataan kontroversi, kali ini dia mensasarkan kepada Rafael Leao. Dia melabel pemain Milan itu sebagai pemain yang