Impian TMJ Mahu Melihat JDT Berjaya Di Liga Juara Asia. Apa Cabarannya?

Baru-baru ini TMJ telah berkongsi sasaran kelabnya di pertandingan Liga Juara Asia. Beliau mahu melihat JDT melepasi peringkat kumpulan dan berharap boleh mencapai peringkat suku akhir.

Melihat kepada kesukaran kelab dari Asia Tenggara di pertandingan itu, sasaran tersebut boleh dikelaskan sebagai impian besar walaupun hanya ke peringkat kalah mati.

Bagaimanapun semua para peminat bola sepak di Malaysia tahu tentang karektor TMJ, beliau akan melakukan apa sahaja untuk menjayakan kata-katanya.

1. Cabaran pertama yang dihadapi oleh TMJ

Membina pasukan kuat. Untuk peringkat domestik JDT sudah lama berjaya membina pasukan yang super kuat dan sukar ditandingi oleh mana-mana pasukan.

JDT mengumpul secara total pemain terbaik yang ada di Malaysia. Langkah seterusnya JDT menambah kekuatan pasukan melalui pemain kacukan dan naturalisasi.

Antara yang dikatakan akan menjadi pemain naturalisasi seterusnya adalah Gonzalo Cabrera dan Endrik dos Santos. Endrik dikhabarkan akan bergabung dengan pasukan itu pada musim depan selepas cukup 5 tahun bermain di Malaysia.

JDT sekarang sudah melihat Asia sebagai lawan sebenarnya. Mereka tidak lagi membina pasukan untuk saingan domestik.

2. Platform Liga Juara semakin sukar

Pada edisi 2021 Liga Juara mengalami pembesaran buat kali ke-3 sejak mula diperkenalkan 19 tahun lepas (2002 hingga 2021).

Mula dijenamakan dengan nama Liga Juara pada 2002/03 dimainkan oleh 16 pasukan dalam 4 kumpulan. Setahun kemudian ia dibesarkan menjadi 7 kumpulan melibatkan 28 pasukan.

Pada tahun 2009 pertandingan ini mempunyai 8 kumpulan dan pada tahun ini ia dibesarkan kepada 10 kumpulan.

Ia bermakna JDT perlu menjuarai peringkat kumpulan untuk layak secara terus ke pusingan 16 pasukan. Status naib juara perlu ditentukan melalui kaedah 6 naib juara yang mempunyai pungutan mata terbaik dari 10 naib juara.

Sebelum ini naib juara layak secara terus dan platform sekarang akan menjadi cabaran baru kepada mana-mana pasukan yang mahu ke peringkat seterusnya termasuk JDT.

3. Sejarah pasukan dari Asia Tenggara

Pertandingan Liga Juara boleh dilihat bermula dari 2009 kerana pada ketika itu formatnya lebih mirip dengan apa yang ada sekarang. Sebelum tahun 2009 pusingan 16 masih belum wujud.

Apabila dikira kelab dari Asia Tenggara pernah terlibat dalam pertandingan ini sejak edisi pertama, ia berjumlah 48 pasukan namun hanya 36 pasukan yang terlibat sejak 2009.

Daripada 36 pasukan tersebut hanya 2 pasukan yang pernah melangkah ke peringkat kalah mati. Buriram United melakukan 2 kali pada tahun 2013 dan 2018. Muangthong United melepasi peringkat kumpulan pada tahu 2017.

Aksi Buriram United di suku akhir Liga Juara Asia

Walaupun hanya 3 kali kejayaan tersebut sedikit sebanyak membantu Thai League 1 menjadi liga ke-4 terbaik zon timur Asia sekarang. Mengenepikan A-League buat kali pertama.

Melihat kepada pencapaian Buriram United mereka memerlukan 4 musim bermain di pertandingan itu. Pada kali ke-4 Buriram United melakukan apa yang kelab Asia Tenggara tidak pernah lakukan. Lebih mengagumkan ketika mereka melangkah ke suku akhir, mereka bermula dari peringkat kelayakan.

Itulah pencapaian tertinggi yang pernah diraih oleh kelab dari Asia Tenggara. Ia menjadi rekod terbaik sehingga ke hari ini.

TMJ memasang sasaran yang agak jarang dilakukan oleh majoriti pasukan dari Asia Tenggara di pertandingan tersebut.

Namun semua orang tahu pemilik JDT ini akan melakukan segalanya untuk melihat kelabnya berjaya di peringkat yang lebih tinggi.

Cabaran terbesar TMJ dan JDT adalah sejarah. Mereka perlu memadam sejarah dan menulis sejarah baru.

Namun mereka juga sudah menulis sejarah baru di Liga Malaysia dan Piala AFC.

Baca yang lain

Tuchel Tuduh Pengadil Memihak Arsenal

Thomas Tuchel menuduh pengadil sebagai berat sebelah memihak kepada Arsenal. Ini selepas beberapa keputusan pengadil dianggap memihak Arsenal dan tidak kepada Bayern.