Indeks Harga Pengguna Malaysia Februari 2020

RINGKASAN PENEMUAN

Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 1.3 peratus pada Februari 2020 kepada 122.4 berbanding 120.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Kenaikan indeks keseluruhan ini adalah didorong oleh kenaikan indeks Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (2.5%), Pengangkutan (2.4%), Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (1.6%) dan Komunikasi (1.5%). (Carta 1)

Bagi perbandingan bulanan, IHP kekal tidak berubah 122.4 berbanding bulan Januari 2020. Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga Februari 2020 mencatatkan peningkatan 1.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Indeks Subkumpulan Makanan dan Minuman bukan Alkohol

Indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol meningkat 0.8 peratus pada Februari 2020 berbanding tempoh masa yang sama pada tahun sebelumnya.

Kenaikan ini didorong oleh kenaikan subkumpulan Sayur-sayuran (6.3%), Keluaran Makanan yang tidak dikelaskan di mana-mana (2.1%) dan Beras, Roti & Bijiran Lain (0.7%).

Antara indeks barangan yang menunjukkan kenaikan harga di kebanyakan negeri adalah Bawang Kecil (33.8%), Bawang Putih (33.4%) dan Bawang Besar (21.8%).

Indeks Makanan Di Luar Rumah meningkat 1.6 peratus pada Februari 2020 berbanding Februari 2019.

Kenaikan harga bagi Nasi Lemak, Nasi Putih Berlauk dan Nasi Goreng telah menyumbang kepada kenaikan indeks bagi subkumpulan ini. (Jadual 1)

Indeks Harga Pengguna Mengikut Negeri

Empat negeri iaitu Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.6%), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.5%), Pahang (1.5%) dan Johor (1.4%) menunjukkan kenaikan melepasi paras IHP nasional 1.3 peratus pada Februari 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Semua negeri kecuali Melaka mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Johor (1.3%) diikuti oleh Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.2%), Pulau Pinang (1.0%) dan Perak (0.9%) dan ia melebihi paras nasional 0.8 peratus bagi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol pada Februari 2020. (Carta 2)

Indeks Teras

Indeks teras meningkat 1.3 peratus pada Februari 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (2.5%), Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (1.9%), Komunikasi (1.5%), Pendidikan (1.3%) dan Kesihatan (1.3%).

Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal. (Jadual 2)

https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/1_Articles_By_Themes/Prices/CPI/CPI%20Feb%202020/Harga%20Purata%20Februari%202020.pdf