Ini Dia Charlie McNeill: Prospek Dengan Rekod 600+ Gol & Kontrak Adidas £1 Juta

Akademi Manchester United tidak pernah ketandusan bakat luar biasa. Jika di skuad utama mereka ada bintang seperti Cristiano Ronaldo, di peringkat akademi mereka juga ramai bintang yang berkilauan, antaranya Charlie McNeill.

Pemain yang beraksi sebagai penyerang tengah ini merupakan pemain B-23 dan B-19 Manchester United. Di adalah pemain muda yang kini menjadi perhatian kelab kelab di England dan juga di seluruh eropah.

McNeill baru sahaja berusia 18 tahun. Striker muda itu ditandatangani Setan Merah dengan nilai £750k dari kelab seteru sebandar mereka, Manchester City.

Jadi, bukan Jadon Sancho sahaja bekas pemain akademi Man City yang memilih untuk bertukar tukar kelab sebandar dalam pasukan Man United pada hari ini.

Pemain muda dengan kontrak Adidas

Bakat besar yang dimiliki oleh McNeill telah membuatkan Adidas terus mengikat pemain itu dengan kontrak yang bernilai £1 juta setahun. Umur 18 tahun, tiada penampilan senior, namun dah ada kontrak besar dengan Adidas!

McNeill membuktikan kepada semua bahawa dia memang bakat luar biasa. Pada musim pertamanya bersama United, dia menjaringkan 24 gol dalam 21 penampilan dalam Liga Perdana Bawah 18 tahun. Malah, secara keseluruhan, McNeill telah menghasilkan 600 gol dalam semua perlawanan persaingan junior.

Ianya rekod yang sangat luar biasa untuk pemain muda.

McNeill merupakan pemain akademi yang pernah sepasukan dengan Mason Greenwood. Seorang lagi bakat yang dianggap prospek cerah.

Namun pada 2014, McNeill telah berpindah ke Manchester City. Di sana, dia membuktikan dirinya sebagai salah seorang penyerang muda yang paling mengagumkan dalam bola sepak peringkat remaja di England.

Rekod gol McNeill adalah tidak masuk akal. Bersama Man City U-15, McNeill menjaringkan 110 gol dalam 72 perlawanan. Dia juga turut mencatat 38 assist pada ketika itu.

Manchester United kemudian berusaha membawa pulang bekas pemain akademi mereka itu. Namun berdepan dengan saingan daripada Juventus dan RB Leipzig. Kedua-dua kelab tersebut turut menjanjikan bayaran yang tinggi dan kontrak yang sangat menarik.

Namun Charlie McNeill akhirnya memutuskan untuk menyertai Manchester United sekali lagi dan kembali ke Carrington. Dalam kepulangan semulanya, McNeill meneruskan prestasi luar biasanya.

Pada penampilan sulungnya dalam pasukan bawah 18 tahun, dua gol McNeill membantu Manchester United menang 4-0 ke atas Derby County. Kemudian, dia menjadi senjata utama United dalam kemenangan menakjubkan 4-3 ke atas Liverpool.

Naluri penyudah semulajadi

McNeill adalah seorang pemain yang tahu secara naluri di mana jaring berada. Cara dia menyudahkan bola mengingatkan kita kepada Ruud Van Nistlerooy yang sangat semulajadi – malah tidak perlu menoleh sekalipun untuk melihat di mana kedudukan gawang.

Dia sangat bijak dalam mencari kedudukan terbaik di dalam kotak penalti untuk menerima bola.

Skuad utama Manchester United ketika ini memiliki bakat muda seperti Zidane Iqbal, Charlie Savage, Anthony Elanga yang dimasukkan ke dalam pasukan utama mereka pada musim 2021/22. McNeill dijangka akan bergandingan dengan pemain pemain tersebut di masa akan datang. Malah dia mungkin boleh bergandingan dengan Rashford dan Sancho.

Mungkinkah kita akan menyaksikan Charlie McNeill muncul dalam debut seniornya pada baki saingan musim baharu? Terutama sekali Man United tidak menandatangani no.9 setakat ini.

Siapa tahu kan?

Apa yang pasti, Charlie McNeill boleh menjadi bakat elit dalam bola sepak jika dibangunkan dengan sebaik dan sebetulnya oleh Manchester United.

Dan yang paling penting, buat masa ini, Charlie McNeill harus elakkan 3 perkara yang boleh menjatuhkan negara iaitu: rasuah, tak menepati masa dan cinggey.

Saksikan kompilasi gol beliau musim ini di sini:

Baca yang lain

Mike Tyson vs Jake Paul Julai Ini

Pertarungan petunjukkan antara Mike Tyson menentang YouTuber, Jake Paul akan dijadualkan berlangsung pada 20 Julai 2024. Pertarungan itu akan disiarkan secara langsung