Ini Maksud Keraian Simbol 304 Lamine Yamal Dan Dua Bendera Pada Kasutnya

Lamine Yamal meraikan golnya dengan simbol tangan 304. Ianya adalah poskod tempat tinggal dia Rocafonda, Catalonia.

Tempat tersebut seringkali disebut oleh segelintir puak far-right Sepanyol, parti VOX sebagai kawasan ‘timbunan najis’ yang menempatkan pendatang asing terutama sekali dari Afrika.

Namun Lamine Yamal menyatakan dia sentiasa berbangga dengan kawasan tempat tinggalnya itu.

Lamine Yamal menarik perhatian dunia dengan gol luar biasa dalam kemenangan Sepanyol ke atas Perancis pada aksi separuh akhir Euro 2024.

Gol tersebut terhasil dengan lencongan cantik menewaskan Mike Maignan yang sedang dalam prestasi terbaiknya pada kempen Euro kali ini. Ia telah menjadikan Lamine Yamal sebagai penjaring termuda dalam sejarah Euro.

Ketika itu, Sepanyol sedang ketinggalan selepas gol oleh Randal Kolo Muani. Gol Lamine Yamal telah mengikat kedudukan. Dan tidak lama selepas itu, Dani Olmo mencetak gol kemenangan untuk membolehkan Sepanyol mara ke final.

Berbalik kepada keraian 304 Lamine Yamal, dia mendedikasikannya kepada poskod tempat tinggalnya di Rocafonda.

Kawasan yang digelar sebagai timbunan najis oleh Parti VOX itu adalah salah satu tempat paling mundur dan kotor di Catalonia.

Di mana penduduk di situ rata rata hidup dalam kemiskinan dan kawasan yang kotor berpenyakit. Di situlah Lamine Yamal membesar dengan berlaku diskriminasi perkauman dan xenophobia yang teruk ke atas mereka sebagai bangsa pendatang yang bermastautin di Catalonia.

Lamine Yamal turut memakai boot yang ada bendera Equatorial Guinea – negara asal ibunya – dan bendera Maghribi yang merupakan negara asal ayahnya.

Ianya sebagai mesej jelas daripada pemain berusia 16 tahun itu bahawa dia tidak pernah lupa dengan asal usul keturunannya walaupun ketika ini dia bermain mewakili Sepanyol.

Ini bukanlah kali pertama dia meraikan gol dengan menunjukkan simbol 304 itu. Kerana ketika di peringkat kelab, bersama Barcelona, dia menggunakan keraian yang sama setiap kali menjaringkan gol.

Nama Lamine Yamal menjadi perhatian sejak musim lalu lagi. Di mana Xavi telah memberikan kepercayaan kepada remaja berusia 16 tahun itu menjadi penggempur pasukan utama Barcelona.

Sejak itu dia berkembang menjadi bakat luar biasa, dan mendapat panggilan skuad kebangsaan.

Ketika wawancara bersama wartawan sebelum Euro, Lamine Yamal sempat memberitahu dia membawa sekali buku sekolahnya untuk menyiapkan kerja rumah yang diberikan kepadanya oleh gurunya. Kerana tahun ini adalah tahun peperiksaan untuknya.

Dia juga sempat meminta maaf kepada gurunya jika tidak dapat mengikuti kelas online kerana terlibat dengan latihan pasukan. Cerita Lamine Yamal itu membuatkan ramai memujinya sebagai seorang remaja dan pelajar yang beradab dengan gurunya.

Selain daripada gol penting menentang Perancis, pemain berusia 16 tahun itu sudah mencatatkan 3 assist dalam Euro 2024 kali ini. Menjadikan dia di landasan untuk bersaing mendapatkan anugerah pemain terbaik Euro 2024.