Ini Sebab Guardiola Sanggup Pangkah Peraturan Polisi Perpindahan Man City Kerana Gundogan

Pep Guardiola telah mengakui bahawa dia telah melanggar peraturan yang tidak bertulis dalam polis perpindahan Manchester City yang dia wujudkan sebelum ini.

Ini selepas Ilkay Gundogan kembali ke Stadium Etihad pada hari Jumaat, menandatangani kontrak setahun dengan pilihan 12 bulan lagi.

Pemain berusia 33 tahun itu meninggalkan City pada musim panas lalu selepas tamat kontrak sebelumnya, di mana ketika itu Gundogan baru sahaja lepas menjulang Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam kariernya.

Tetapi Barcelona membenarkannya meninggalkan kelab kerana masalah kewangan mereka yang berterusan, yang menghalang mereka daripada mendaftarkan pemain dianggap pembelian marquee Dani Olmo.

Menurut The Athletic, Gundogan telah mengekalkan hubungan rapat dengan City walaupun selepas berpindah dari kelab itu. Guardiola dikatakan telah membantu pemain tengah Jerman itu dan keluarganya mencari rumah di Catalonia, dan dia juga bertemu dengan beberapa pemain termasuk Bernardo Silva.

Guardiola mengakui dalam sidang akhbar mingguannya pada hari Jumaat bahawa dia mengambil peluang untuk menandatangani Gundogan sekali lagi selepas jelas ada peluang untuk berbuat demikian. Dan dia berkata dia melanggar peraturan perpindahan tidak bertulis untuk membawa pemain tengah itu kembali ke Manchester.

Dia menjelaskan: “Sebagai pengurus, saya bukan seorang yang suka dengan idea untuk menandatangani semula pemain pada usia ini. Tetapi saya mengenalinya dengan baik dan mentalitinya betul. Dia pesaing besar. Dan dengan situasi kewangan di Barcelona, ​​dia kembali secara percuma.

“Kami bercakap tentang itu dan berkata, ‘OK, kami boleh melakukannya’. Rundingan antara kelab bukan urusan saya dan gaji juga.

“Dia boleh bermain di posisi yang sama seperti Rodri, seperti Kovacic, seperti Nico [O’Reilly], seperti Matheus [Nunes].

“Rodri dan Gundogan boleh bermain sebagai pemain tengah menyerang, atau dia boleh bermain sebagai false nine.”

Selain itu, Guardiola menegaskan sebab lain dia sukakan Gundogan kerana selalu bersikap jujur tentang rakan sepasukannya atau dirinya sendiri. Walaupun sikapnya itu kurang disenangi pemain muda Barcelona, Ronald Araujo sebelum ini.

Namun di Man City, Guardiola menegaskan bahawa Gundogan bukan suka suka mengkritik secara kosong. Kerana dia ada analisisnya yang tersendiri yang penting untuk pasukannya.

Pep menambah: “Semua orang menghormati Gundo. Dia sangat bijak dan dia jujur ​​dalam analisisnya, dan meletakkan pasukan dan kelab di hadapan persembahannya sendiri.”