Ini Sebab Kahn Dan Salihamidizic Dipecat Hanya Beberapa Minit Selepas Bayern Juara

Hanya beberapa minit selepas Bayern mengesahkan kejuaraan Bundesliga secara dramatik, Pengarah Sukan, Hassan Salihamidzic dan Oliver Kahn dipecat.

Kahn benar benar kecewa dengan pemecatan itu menegaskan dia dilarang untuk meraikan kejuaraan Bundesliga.

Alasan di sebalik pemecatan Kahn dan Salihamidzic didedahkan. Di mana pengurusan tertinggi Bayern dilaporkan tidak setuju dengan cara mereka memecat Julian Nagelsmann di tengah musim.

Bayern Munich merangkul kejuaraan Bundesliga ke-11 berturut-turut dengan kemenangan 2-1 ke atas Koln pada hari terakhir aksi yang menakjubkan di Jerman.

Musuh tradisi mereka, Borussia Dortmund mensia-siakan kelebihan dua mata dengan seri di tempat sendiri kepada pasukan di pertengahan carta, Mainz dan gol kemenangan lewat daripada Jamal Musiala memastikan kejuaraan untuk Bayern.

Gol Musiala pada minit ke-89 bermakna Bayern sekali lagi menjadi juara Jerman tetapi ia tidak akan dapat menafikan fakta bahawa musim ini telah menjadi bencana buat kelab Bavaria itu.

Julian Nagelsmann dipecat secara mengejutkan pada Mac dan jurulatih baharu Thomas Tuchel telah bergelut untuk konsisten di kelab baharunya.

Tuchel membuatkan Bayern tersingkir dalam dua pertandingan piala. Dan hampir terlepas kejuaraan kepada Dortmund.

Salihamidzic menikmati tempoh sembilan tahun sebagai pemain di Bayern dari 1998-2007, kembali sedekad kemudian untuk mengambil alih sebagai pengarah sukan.

Oliver Kahn menyertai kelab itu pada tahun 1994 dan membina reputasi sebagai salah seorang penjaga gol terbaik dalam generasinya selama 14 tahun sebagai pemain di kelab itu.

Beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada 2021 tetapi tempoh perkhidmatannya dalam peranan ini hanya bertahan selama dua tahun.

Mengapa Bayern Munich memecat Kahn dan Salihamidzic?

Kedua-dua mereka mempunyai sejarah yang luas dengan kelab Bavaria itu tetapi mereka telah gagal menepati jangkaan tinggi lembaga pengarah musim ini.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Bayern sering kali menjulang kejuaraan dengan baki beberapa perlawanan tetapi mereka kali ini terpaksa bergantung kepada keputusan Dortmund.

Bayern juga dilihat tidak stabil oleh beberapa isu luar padang musim ini.

Kelab itu berbelanja besar pada musim panas lalu untuk membawa masuk Sadio Mane dari Liverpool, membelanjakan sejumlah besar untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 30-an.

Bukan sahaja dia gagal mempamerkan aksi terbaiknya di atas padang, dia baru-baru ini digantung oleh kelab selepas menyerang rakan sepasukan Leroy Sane.

Paling penting, mungkin, adalah pemecatan Julian Nagelsmann pada bulan Mac. Kahn dianggap telah mengetuai langkah untuk menyingkirkan Nagelsmann, yang telah memenangi kejuaraan berganda pada musim pertamanya di kelab itu dan telah mengemudi pasukan itu ke kempen Liga Juara-Juara tanpa sebarang masalah pada 2022/23.

Selain itu dari segi imej kelab, lembaga pengarah menganggap cara Kahn memecat Nagelsmann sebagai tak betul.  Nagelsmann dipecat ketika sedang bercuti di Austria dan tak dimaklumkan secara terus.

Nagelsmann menyatakan dia hanya tahu dia dipecat daripada media. Dan ketika dia kembali dari bercuti barulah Kahn dan Salihamidzic memberitahunya.

Ianya dianggap tindakan tidak profesional dan mencemarkan imej Bayern. Terutama sekali ianya memaksa Bayern mengeluarkan wang pampasan yang tinggi.

Kahn dan Salihamidzic dikatakan menjadi gelabah apabila mendengar Tuchel mulai berunding dengan kelab lain. Dan memulakan langkah untuk memecat Nagelsmann dengan alasan yang dianggap tidak cukup bagus pada masa yang tidak tepat.

Kahn mengakui pemecatan itu memberikan kesan kepada kedudukannya sebelum ini. Namun dia mempertahankan tindakannya sebagai tindakan tepat.

Selepas penyingkiran Nagelsmann, Bayern telah disingkirkan daripada Liga Juara-Juara oleh Manchester City dan kelihatan bimbang bakal berdepan masalah sama dalam Bundesliga.

Masa pertukaran pengurusan menyebabkan ramai yang mempersoalkannya dan Kahn dianggap bertanggungjawab.

Di Bayern, apa-apa yang kurang daripada penguasaan domestik tidak boleh diterima dan prestasi musim ini telah jatuh jauh dari tahap itu.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini kelab itu bergantung kepada bimbingan bekas pemain dalam jawatan eksekutif utama tetapi terdapat beberapa pandangan bahawa polisi itu membuatkan mereka terikat daripada mendapatkan yang lebih baik.

Musim panas ini gergasi Jerman akan mahu memastikan bahawa mereka dapat mengetatkan cengkaman mereka di Bundesliga dan kembali bersaing dengan yang terbaik di UCL.

Baca yang lain