Wartawan yang dianggap rapat dengan pasukan utama Argentina, Gaston Edul menjelaskan kenapa aksi antara Argentina dan Maghribi disambung balik walaupun pada awalnya pegawai perlawanan menyatakan bahawa gol Medina itu adalah aksi terakhir dalam perlawanan tersebut.
Ketika kedudukan 2-1, pengadil memberikan masa kecederaan 15 minit. Masa kecederaan itu dianggap terlalu panjang oleh penyokong Maghribi. Kemudian Medina menjaringkan gol minit ke-116, membuatkan penyokong mengamuk dan masuk ke dalam padang.
Penyokong turut membaling objek ke arah pemain pemain Argentina. Dan akhirnya komisioner perlawanan menghentikan seketika perlawanan.
Menurut Javier Mascherano, ketika berada di terowong, kedua dua pasukan dimaklumkan bahawa aksi sudah berakhir dan kedua dua pasukan setuju.
Mascherano berkata: “Kami diberitahu bahawa aksi sudah berakhir 2-2. Dan Maghribi pun tidak meminta untuk meneruskan permainan.”
Apa yang mengejutkan kedua dua pasukan kemudian dimaklumkan aksi akan disambung selepas stadium dikosongkan. Mascherano menganggap tindakan itu sebagai jenaka paling teruk dia pernah tengok.
Ketika perlawanan disambung, pengadil menyemak VAR dan membatalkan gol Medina. Aksi bersambung kira kira 3 minit lagi dan perlawanan pun tamat. Membuatkan Argentina kalah 1-2 dalam perlawanan itu.
Mascherano tidak berpuas hati kalah dengan cara sebegitu. Namun Gaston Edul menjelaskan, pengadil awalnya memang sudah memberitahu menamatkan permainan atas nasihat pegawai FIFA. Kerana gol Medina itu betul betul selepas masa kecederaan minimum dilepasi.
Namun pengadil mendapat tahu bahawa VAR menasihati agar gol itu disemak semula. Lantas pengadil mengarahkan kedua dua pasukan memanaskan badan dahulu setelah aksi tergendala 2 jam. Jika gol itu sah, perlawanan akan ditamatkan pada skor 2-2.
Dan jika gol itu tak sah, maka aksi akan disambung semula. Malangnya untuk Argentina gol itu tak sah kerana ofsaid dan aksi terpaksa disambung semula dengan mereka kehilangan 1 gol.
Gaston Edul dalam penjelasannya berkata: “Situasi dia begini, pemain diarahkan keluar untuk memanaskan badan. Pengadil mahu menyemak semula gol itu menerusi VAR. Jika ia tak gol, maka 3 minit lagi harus dimainkan oleh kedua dua pasukan.
“Dan jika gol itu sah, maka aksi itu berakhir 2-2. FIFA mahukan perlawanan itu ditamatkan serta merta, namun pengadil mahu menyemak gol tersebut.”
Esta es la situación:
Los jugadores salen a calentar. El árbitro va a revisar la jugada en el VAR.
Si no es gol, se juegan tres minutos más.
Si es gol, se termina.
FIFA quería terminarlo y el árbitro quería revisarla. pic.twitter.com/92ON4Ay3Bg— Gastón Edul (@gastonedul) July 24, 2024