Reputasi Barcelona menjadi salah satu pasukan paling menghiburkan di dunia adalah kerana keupayaannya melahirkan pemain terbaik dunia. Terutamanya playmaker.
Pemain kreatif seperti Pep Guardiola, Ivan de la Pena dan Xavi menyertai pemain pemain asing hebat dalam pasukan seperti Michael Laudrup dan Bernd Schuster bagi memenuhi harapan peminatnya.
Selepas itu muncul seorang lagi permata yang bernama Andres Iniesta, lahir dari pasukan remaja Barcelona. Iniesta mula bersinar pada Piala Dunia bawah umur di UAE.
Sepanyol mara ke perlawanan akhir namun tewas kepada Brazil.
Lebih menyerang dari Guardiola, kurang berisiko berbanding de la Pena. Setaraf dengan Xavi dan tiada kesilapan dalam permainan. Beliau mempunyai gaya dan caranya yang tersendiri.
Sentiasa bersama pertahanan untuk bertahan, sering bersama penyerang untuk menyerang. Mengalir melalui lubang jarum -merujuk kepada permainanan beliau yang mampu keluar dari ruang sempit yang dikawal oleh ramai pemain lawan.
Mengawal bola seperti ahli silap mata dan bola ibarat dilekatkan gam pada kasutnya. Iniesta telah mengagumkan para peminat dan jurulatih bola sepak sejak berusia 12 tahun pada kejohanan 7 sebelah di bandarnya, Albecete.
“Anda tidak perlu mengajar Iniesta kerana dia yang akan mengajar anda tentang bola sepak.” Kata bekas jurulatih Sepanyol, Inaki Saez
“Mempunyai akal yang fantastik dan teknik yang luar biasa.” kata jurulatih belianya, Juan Santisteban.
Faktanya Iniesta begitu kaya dengan bakat sejak usia muda lagi.
Pada usia 12 tahun Iniesta muncul dalam beberapa kejohanan junior di Brunete mewakili pasukan Albecete, tempat beliau dilahirkan. Ia mendapat perhatian Real Madrid.
Ibu bapanya mahu Iniesta menyertai akademi Real Madrid dan menerima tawaran dari kelab tersebut dimana ia akan menjadi langkah pertama dalam karier anaknya.
Bagaimanapun ketika mereka pergi kesana, tempat tersebut terlalu hampir dengan kawasan pelacuran membuatkan keluarganya berfikir semula.
Jurulatih pasukan remaja Barcelona, Enrique Orizaola mengenali ibu bapa Iniesta. Beliau memujuk mereka dengan menyakinkan pemain ini akan menjadi lebih baik di Barcelona. Iniesta akan tinggal di La Masia.
Keluarga Iniesta hanya pergi sekali sahaja ke Nou Camp untuk melihat apa yang ditawarkan dan terus bersetuju, yang mana akhirnya mereka tidak akan menyesal dengan keputusan yang dilakukan pada ketika itu.
Ketibaan Iniesta di dalam skuad utama mendapat respon dari kapten pasukan, Pep Guardiola. Guardiola berkata kepada rakan sepasukan, Xavi.
“Pemain ini (Iniesta) akan membuatkan anda bersara. Dia akan membuatkan kita semua bersara.”
Selepas itu Iniesta menjadi pelengkap kepada Xavi. Mereka berdua membawa satu filosofi indah untuk Barcelona ke atas padang sejak era Johan Cruyff sebagai pengurus.
Mereka adalah pemain yang berbeza, namun sama penting bagi Barcelona. Jangan minta saya pilih salah seorang kerana saya tidak boleh. – Ulas Yaya Toure kepada BBC Sport
Pada musim terakhir Iniesta bersama Barcelona, pasukan ini membelasah Sevilla 5-0 pada perlawanan akhir Copa del Rey dan meraih La Liga ke-3 dari 4 musim terakhirnya.
Ia menjadi trofi ke-33 pemain ini sejak bersama Barcelona. Rekod terbanyak bersama Lionel Messi pada ketika itu.
9 La Liga, 7 Piala Sepanyol, 6 Copa del Rey, 4 Liga Juara Eropah, 3 Piala Kelab Dunia dan 3 Piala Super Eropah.
Selepas semusim berhijrah ke Jepun menyertai Vissel Kobe, beliau menambah 2 lagi trofi apabila memenangi Piala Emperor’s dan Piala Super Jepun.
Iniesta juga menjadi sebahagian dari sejarah Sepanyol apabila menjuarai Piala Eropah pada tahun 2008 dan Piala Dunia 2010. Ia merupakan kejuaraan pertama negaranya dalam kedua-dua kejohanan major tersebut.
Iniesta mencipta peluang ketika Fernando Torres menjaringkan gol kemenangan Piala Eropah dan beliau sendiri menjaringakan gol tunggal perlawanan akhir Piala dunia.