Inter Mara Ke Final UCL Selepas 13 Tahun, Singkir AC Milan Di San Siro

INTER MILAN marak ke final Liga Juara-Juara Eropah pertama mereka sejak 13 tahun apabila gol tunggal Lautaro Martinez pada perlawanan itu memberikan mereka kemenangan agregat 3-0 menentang AC Milan pada Selasa.

Inter akan bertemu sama ada Real Madrid atau Man City dalam final yang akan berlangsung pada 10 Jun akan datang.

Inter mengharungi kempen Serie A yang turun naik musim ini. Malah dikecam peminat mereka ketika melepaskan kedudukan 4 teratas sebelum ini.

Namun prestasi mereka di UCL benar benar berbeza. Mereka menjadi antara pasukan yang terbaik di UCL musim ini.

Walaupun mereka dianggap under dog dalam final nanti, tak kira sama ada lawan mereka Man City atau Real Madrid.

Momen paling penting pada malam di San Sirom, hadir apabila Martinez bertukar hantaran dengan pemain gantian Romelu Lukaku dan melakukan rembatan dari dalam kotak penalti yang melepasi Mike Maignan di near post.

Gol itu meletakkan Inter 3-0 secara agregat menjelang babak akhir perlawanan, dan sah mematikan sisa sisa perjuangan AC Milan.

AC Milan mengejar defisit 2 gol agregat daripada perlawanan pertama. Kehadiran semula Rafael Leao memberikan sengat di barisan serangan mereka. Namun ketumpulan dalam produk akhir menjadi masalah.

Giroud beberapa kali menunjukkan reaksi tak berpuas hati dengan kelemahan kualiti hantaran yang dia terima sebagai target man.

Maignan cemerlang menafikan percubaan jarak dekat Edin Dzeko. Namun dia harus melakukan lebih baik ketika mengendalikan rembatan rendah Lautaro.

Tamat perlawanan Inter 1 Milan 0. Inter mara secara agregat dengan cemerlang sekali, 3-0.

Kali terakhir Inter mara ke final UCL adalah pada 2010. Pada ketika itu mereka bergelar juara dan melengkapkan musim sebagai pemenang treble.

Inter ketika itu dikendalikan oleh Jose Mourinho dan diketuai oleh Javier Zanetti di atas padang.

Inter pada masa itu turut dianggap bukan pasukan pilihan dalam kempen UCL tersebut. Namun membuktikan mereka selesa dengan status underdog tersebut. Perkara yang harus diambil serius oleh Real Madrid atau City pada final nanti.

Sementara itu Lautaro Martinez mengembalikan kepercayaan peminat kepadanya. Selepas dikritik hebat pada awal musim dan ketika Piala Dunia 2022.

Begitu juga dengan Lukaku yang baru kembali daripada kecederaan. Dia bergelut musim ini. Dan berharap kejayaan menjulang UCL akan membolehkannya mendapat kontrak tetap di Inter.

Lukaku memberikan impak besar dalam aksi separuh akhir kedua ini ketika dimasukkan.

Adakah Inter akan berjaya memenangi 1 lagi UCL dalam sejarah kelab mereka?