Isu Gaji: Sanusi Berkeras Enggan Guna Wang Rakyat, Dan Sedang Bincang Dengan 3 Penaja

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sedang mengadakan rundingan dengan tiga syarikat besar di negara ini bagi mendapatkan penajaan dan membantu menyelesaikan kemelut kewangan yang dihadapi persatuan itu ketika ini.

Presiden KFA Muhammad Sanusi Md Nor berkata setakat ini belum ada keputusan diperoleh memandangkan rundingan masih berjalan, namun syarikat-syarikat tersebut memberi maklum balas yang positif.

“Saya tak boleh umum lagi kerana rundingan belum dapat diselesaikan lagi. Esok pun ada satu lagi penaja yang saya jemput untuk mereka turut menyumbang kepada pembangunan bola sepak Kedah.

Sekurang-kurangnya mereka dapat bantu kita keluar (daripada) kemelut kewangan yang sedang dihadapi oleh KFA, kita sedang berusaha keras untuk itu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Kedah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata memandangkan keadaan ekonomi semasa yang agak suram, syarikat-syarikat terbabit memaklumkan bahawa mereka perlu mengambil kira pelbagai faktor sebelum dapat memberikan penajaan kepada KFA.

“Jadi kita tengok macam mana permintaan penaja, berdasarkan situasi semasa, penonton tak boleh masuk stadium, hanya boleh tengok secara dalam talian. Jadi benda-benda ini yang perlu diambil kira oleh penaja. Saya faham keadaan ini dan saya berterima kasih kepada penaja yang sedia menghulurkan sumbangan bakti menaja pasukan Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut mengulangi pendiriannya untuk tidak menggunakan wang kerajaan negeri seperti diharapkan sesetengah pihak bagi menyelesaikan masalah KFA kerana keutamaan kerajaan negeri adalah menjaga kebajikan rakyat.

“Tapi usaha-usaha jumpa orang, cari orang perniagaan, cari orang ada duit untuk menyumbang (kepada KFA) kita sedang buat,” katanya yang turut memberi jaminan kepada peminat bola sepak Kedah bahawa KFA bersama kerajaan negeri akan terus berusaha memajukan sukan itu.

Ahad lepas, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata masalah yang ditanggung KFA bukan hanya soal tunggakan gaji pemain, tetapi juga melibatkan tunggakan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan penyedia tiket pengangkutan pasukan yang keseluruhannya mencecah RM10.6 juta.

— BERNAMA

 

Baca yang lain