‘Itu Bukti Apa Yang Saya Katakan Adalah Betul’ – Toni Kroos

Toni Kroos jelas sekali percaya bahawa pandangannya tentang Arab Saudi dan bola sepak di negara itu sebagai betul.

Ini selepas dia menerima ejekan boo daripada peminat di Saudi.

Kroos menjadi nama individu yang paling dibenci peminat di Arab Saudi ketika Real Madrid bertandang ke negara itu untuk aksi Piala Super Sepanyol.

Dia pernah mengkritik Arab Saudi dari sudut politik dan pembangunan bola sepak yang dianggap tersasar.

Dari sudut politik, Kroos menganggap Arab Saudi negara yang tidak menghormati hak asasi manusia terutama sekali undang undang yang melarang aktiviti kebebasan hubungan termasuk hubungan sejenis.

Kroos pernah menyatakan dia tak akan bermain di Arab Saudi sama sekali, dan meminta kelab kelab Arab Saudi agar tidak membuang masa untuk cuba memancingnya. Kerana dia tidak setuju dengan negara itu dari sudut pandangan politik.

Kroos turut mengecam pemain pemain muda yang datang ke Arab Saudi ketika mereka masih boleh bermain di Eropah.

Membuatkan Kroos menolak untuk memakai jersi dengan tulisan Arab ketika keraian kejuaraan Piala Super Sepanyol.

Kroos sebelum final itu turut mengusik peminat Saudi yang mengejeknya dengan menyatakan bahawa atmosfera di dalam stadium ketika itu agak menyeronokkan.

Beberapa bulan sebelum ini Kroos seringkali memperlekehkan tindakan pemain pemain yang masih ada ‘peak’ datang ke Arab Saudi semata mata kerana wang.

Dia turut memberikan amaran kepada mana mana kelab Liga Saudi agar tidak pernah terfikir untuk mendapatkan khidmatnya. Kerana dia tak akan datang ke Saudi kerana wang semata mata.

Bukan itu sahaja, Kroos turut mengecam tindakan pemain berusia 21 tahun, Gabri Veiga yang menyertai Al Ahli dari Celta Vigo. Melabel tindakan itu memalukan.

Bercakap kepada Sport Illustrated pada Ogos, Kroos berkata: “Semua orang harus membuat keputusan sendiri, seperti Cristiano Ronaldo yang memilih untuk berbuat begitu pada akhir kariernya.

“Ianya sukar diterima apabila pemain yang masih di pertengahan usia karier mereka yang ada kualiti bermain dengan kelab terbaik di Eropah memutuskan untuk ke Arab Saudi.

“Dan mereka berkata kononnya atas sebab kesukanan untuk mencuba bermain di sana. Namun hakikatnya mereka mengejar wang semata mata. Rumusannya, keputusan dibuat sebab wang, ini bertentangan dengan bola sepak.

“Dan ini permulaan kesukaran dalam bola sepak yang kita minat dan sayang selama ini.”

“Saya tak akan pernah pergi ke Arab Saudi sebab mereka kurang hak asasi kemanusiaan di sana.”

Terbaru, wartawan bertanya, apa pandangan beliau ketika dia diejek seluruh stadium ketika di Arab Saudi.

Kroos berkata, dia baik baik sahaja. Dan ejekan itu secara tak langsung baginya membuktikan bahawa apa yang dia katakan tentang negara itu adalah betul.

Kroos menjawab pendek: “Bagi saya itu adalah pengesahan bahawa semua yang saya katakan dalam wawancara sebelum ini adalah tepat.”