Ivan Toney Pelik Dia Dilarang Berlatih Tetapi Tonali Boleh Pula

Ivan Toney telah mengakui bahawa dia cintanya kepada bola sepak semakin pudar selepas digantung selama 8 bulan daripada bola sepak.

Penyerang Brentford itu juga berkata dia “keliru” apabila pemain tengah Newcastle United, Sandro Tonali dibenarkan berlatih semasa penggantungannya atas kesalahan yang sama.

Sedangkan Toney dilarang langsung daripada terlibat aktiviti bola sepak dengan kelabnya. Dia terpaksa berlatih sendiri di rumah.

Penggantungan Toney berakhir pada 17 Januari dan penyerang England itu akan dapat bermain untuk perlawanan Liga Perdana Inggeris Brentford seterusnya, di tempat sendiri menentang Nottingham Forest pada 20 Januari.

Dalam temu bual dengan Sky Sports, Toney berkata dia berada dalam “keadaan yang lebih baik sekarang” dan bahawa dia akan “lebih laparkan gol” berbanding sebelum ini apabila dia kembali.

Dia turut mengakui bahawa dia merasakan beban sangat berat pada awal dia digantung.

“Saya tidak menonton bola sepak untuk seketika, selama sebulan lebih,” kata Toney.

“Saya hanya benar-benar menonton perlawanan Brentford sahaja, dan kemudian melihat kemaskini skor perlawanan di telefon pintar.

“Sebelum ini, saya menonton setiap perlawanan Liga Perdana Inggeris sebanyak mana yang mungkin. Setiap perlawanan Liga Satu dan Liga Dua di TV, jelas sekali saya datang dari liga tersebut.

“Itu satu cara saya menghukum diri sendiri, dengan tidak menonton perlawanan. Kemudian saya sedar: Ianya sebenarnya tidak benar-benar membantu saya, benda pun dah jadi kan.

“Jadi saya kembali menonton bola sepak, nikmatinya, dan tahu apabila saya kembali, saya ada perkara yang perlu dilakukan.

“Secara mental ia sukar, tetapi saya rasa saya cukup kuat dalam perkara itu. Saya tidak membiarkan perkara itu menjatuhkan saya, jadi saya menepisnya dan meneruskan sahaja ke mana saya nak pergi.

“Ada satu peringkat di mana cinta saya kepada bola sepak mulai pudar sedikit. Tetapi bola sepak adalah satu satunya perkara yang saya tahu sebenarnya. Bermain bola dari kecil, itu sudah biasa saya lakukan.

“Tidak dapat bermain perlawanan buat seketika dan tidak berada di samping rakan sepasukan adalah perkara yang sukar.

“Saya rasa saya adalah seorang personaliti besar di bilik persalinan, saya suka menggembirakan dan memberikan semangat kepada orang lain dan hanya cuba menjadi watak yang menyeronokkan di padang latihan.”

Awal musim ini Tonali, pemain tengah Newcastle dan Itali, telah digantung selama 10 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Itali kerana melanggar peraturan pertaruhan bola sepak. Tonali akan terlepas Kejohanan Eropah musim panas ini tetapi telah dibenarkan meneruskan latihan bersama kelabnya seperti biasa.

Ditanya mengenai Tonali dibenarkan berlatih, sedangkan dia tidak boleh, Toney berkata: “Saya agak keliru tetapi apa yang berlaku sudah selesai sekarang. Saya tidak boleh fikirkan perkara itu sekarang dengan mengatakan ia tidak adil, tetapi hidup memang tidak adil pun. Kita semua tahu ini.”

Toney mempunyai baki 18 bulan dalam kontraknya di Brentford dan masa depannya telah menjadi topik spekulasi berterusan.

Thomas Frank telah menjelaskan bahawa kelab itu tidak berminat untuk menjualnya bulan ini, sambil menambah bahawa ia akan memerlukan kelab lain membida harga tak masuk akal jika mahu membeli Toney.

Toney kini telah berkata bahawa dia mahu “membayar balik” jasa Brentford atas sokongan yang telah mereka tunjukkan kepadanya sejak dia diharamkan daripada bola sepak pada bulan Mei tahun lalu.

“Kelab itu berada betul betul di belakang saya sejak awal,” katanya.

“Peminat berada di belakang saya yang merupakan sebahagian besar daripada mereka yang menyokong saya. Walaupun saya tidak berada di atas padang untuk bermain, mereka masih menyanyikan nama saya. Dan saya mendapat banyak mesej di media sosial.

“Seorang kawan saya menghantar video peminat menyanyikan nama saya, saya terkejut apabila mengetahui bahawa mereka masih berada di belakang saya, walaupun saya tidak berada di sana.

“Semua orang tahu Brentford adalah kelab keluarga, mereka cukup hebat bagi saya. Saya tidak tahu macamana nak berterima kasih kepada mereka, terutamanya peminat. Mereka berada di belakang saya dari minit pertama saya melalui semua ini. Jadi macam banyak yang perlu saya bayar.”

Toney kemudian berterima kasih kepada Thomas Frank dan staf kejurulatihan kelab yang sanggup membuat latihan tambahan khas walaupun pada waktu yang mereka seharusnya bercuti. Ianya dibuat untuk membantu mempersiapkan Toney kembali beraksi.

“Thomas Frank telah menjadi orang yang paling banyak menyokong saya, dan saya tak boleh lagi meminta lebih daripadanya – seluruh kelab telah melakukannya. Daripada membuat sesi tambahan untuk saya, daripada meluangkan masa mereka untuk memulakan sesi dan sanggup berhujan kerana saya pada masa yang mereka patut berada di rumah.

“Perkara-perkara sebegini, banyak yang perlu saya bayar dan saya tidak sabar untuk mencuba dan melakukannya.”

Di tengah-tengah krisis kecederaan, Brentford telah tewas lima perlawanan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris dan kini hanya empat mata di depan zon penyingkiran.

Dengan Bryan Mbeumo cedera dan Yoane Wissa pergi bermain di Piala Negara-Negara Afrika, pasukan bimbingan Thomas Frank sangat memerlukan gol Toney dalam beberapa minggu dan bulan akan datang.

Toney menjaringkan 20 gol dalam 33 perlawanan Liga Perdana Inggeris musim lalu, ketika dia membuktikan dirinya sebagai salah seorang penyerang paling berbisa dalam bola sepak Inggeris dan menjadi pemain antarabangsa England sepenuhnya.

Hujung minggu ini, dia menjaringkan hatrik untuk pasukan B Brentford dalam perlawanan persahabatan tertutup menentang pasukan bawah 23 tahun Southampton.