Jadon Sancho Tidak Ada Dalam Sesi Foto Rasmi Pasukan 2023/24

Jadon Sancho terus disisihkan oleh Erik Ten Hag. Terbaru pemain itu disisihkan daripada sesi bergambar rasmi pasukan untuk musim 2023/24. Dan ianya mengundang reaksi akan kurang senang daripada segelintir penyokong United.

Di mana mereka menganggap tindakan Ten Hag itu sebagai agak melampau. Ini kerana Sancho merupakan pemain yang didaftarkan dalam skuad musim ini.

Sancho dan Ten Hag berkonflik antara satu sama lain. Dengan pengurus itu mengenakan tindakan tegas mengasingkan pemain itu daripada pasukan utama. Pengurusan tertinggi United yang menjadi orang tengah antara Ten Hag dan Sancho, sudah memberitahu pemain itu bahawa dia hanya perlu meminta maaf untuk kembali semula ke dalam pasukan.

Sancho bengang kerana Ten Hag melabel pemain itu tidak menunjukkan kualiti yang ditetapkan oleh United ketika latihan, punca dia tidak dipilih langsung dalam skuad 25 pemain ketika menentang Arsenal. Sancho membidas Ten Hag secara terbuka dengan menuduh pengurus itu sudah lama menjadikannya kambing hitam.

Sambil memberitahu, dia menunjukkan prestasi yang baik semasa latihan dan pasti ada sebab lain kenapa dia tak dipilih. Sancho dikatakan tak puas hati dengan layanan Ten Hag ke atasnya berbanding Antony.

Antony seringkali diturunkan walaupun tidak menunjukkan prestasi yang baik. Sancho pula cepat sahaja dia dikeluarkan atau disisihkan jika melakukan kesilapan.

Sancho kemudian memadamkan post dia mengecam Ten Hag itu. Ramai awalnya menganggap itu petanda keadaan sudah jernih antara mereka. Namun tidak!

Sancho dikatakan terus tak mahu meminta maaf. Kerana menganggap dia juga berhak mempertahankan dirinya selepas difitnah pengurus di khalayak ramai.

Akhirnya, dia turut dilarang menggunakan kemudahan pasukan utama termasuk dilarang berada di dewan makan bersama pemain lain.

Pemain yang dibeli dengan nilai £75 juta itu nampaknya sudah tahu kedudukannya dalam pasukan Ten Hag. Menurut Fabrizio Romano, dengan ketiadaan Sancho dalam sesi foto rasmi pasukan yang baru ini, bermakna pemain itu dijangka akan disingkirkan segera pada Januari ini.

Perpindahan secara pinjaman pilihan utama Ten Hag. Sementara perjanjian pinjaman haruslah ada kewajiban untuk beli tetap.