Jake Paul Malukan Donald Cerrone: “Saya Dah Bosan Bertumbuk Dengan Orang Tua”

Petinju YouTuber, Jake Paul, segera menolak hasrat bekas petarung UFC, Donald Cerrone, yang berminat untuk menjadi pencabarnya di arena tinju.

Jake Paul sebelum ini menyatakan dia sedia menentang mana mana petarung UFC dalam aksi seterusnya.

Lalu, Donald Cerrone berminat untuk menjadi lawan Jake Paul kerana dia bebas daripada sebarang acara promosi UFC di bawah Dana White pada masa ini.

Petarung yang digelar The Cowboy itu telah memutuskan untuk bersara daripada oktagon pada Julai tahun lalu.

Malangnya, hasrat The Cowboy itu telah diperlekehkan oleh Jake Paul yang menyatakan dia tak nak berlawan dengan orang tua kerana dia sudah bosan asyik bertarung dengan mereka yang sudah tua,.

Dalam temu bual baru-baru ini, Cerrone menyatakan minatnya dalam pertarungan penumbuk dengan Jake Paul di gelanggang tinju.

Sudah tentunya Cerrone berminat bertemu dengan Jake Paul kerana petinju YouTuber itu sudah beberapa kali pertarungannya berjaya menjana wang yang besar dalam pertarungan pertunjukannya.

Cerrone sendiri mengakui motivasinya adalah duit.

“Bagaimana saya boleh menolak untuk pertarungan bernilai jutaan dollar,” kata Cerrone.

Sementara itu, Paul membalas dengan segera mematikan harapan Cerrone yang mahu tampil sebagai petinju yang akan menjadi lawan dia yang seterusnya.

Menurutnya, dia sudah penat melawan orang tua. Kini dia mencari petinju muda yang pemberani dan tidak takut rekod mereka calar untuk berhadapan dengannya.

Dia berharap untuk mendapatkan lawan yang lebih muda, tetapi setakat ini sukar untuk mencarinya.

Paul berkata: “[ Donald Cerrone] dia datang mencabar saya? Apa yang dia katakan? Adakah dia telah berhenti dari UFC? Menarik,” kata Paul kepada The Schmo.

“Maksud saya, saya tidak tahu apa yang saya boleh cakap untuk menolak cabaran Cerrone.”

“Saya agak bosan untuk memukul lawan yang lebih tua seperti itu. Anda faham kan?

“Jadi, saya akan cuba mencari pencabar yang lebih muda untuk beraksi di atas gelanggang sana.”

“Tetapi, sejujurnya mereka semua takut. Mereka hanya cuba melindungi rekod pertarungan mereka.”

Baca yang lain