Jamal Musiala: Wonderkid Rebutan Jerman & England Yang Bakal Menggegar Dunia

Ketika perlawanan pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL) diantara Bayern Munchen dan Lazio, seorang pemain muda bertubuh keding menarik perhatian dunia apabila berjaya menjaringkan gol kedua Bayern dari luar kotak penalti.

Pemain yang penulis maksudkan ialah Jamal Musiala, remaja berbangsa Inggeris yang bakal menginjak 18 tahun, 2 hari dari tarikh artikel ini ditulis.

Jaringan beliau pada minit ke-24 itu merupakan rekod baharu bagi pemain Inggeris paling muda menjaringkan gol dalam pentas UCL pada umur 17 tahun 363 hari.

Siapakah gerangan pemain yang memakai jersi bernombor 42 ini? Apa yang best sangat dia ni? Mari bersama penulis kita jejak remaja yang berambut keriting ini.

Profil Ringkas

Musiala dilahirkan di Stuttgart, Jerman tetapi menghabiskan sebahagian besar masa kecilnya di England, di mana dia dan keluarganya berpindah ketika berusia tujuh tahun.

Beliau menghabiskan empat bulan bersama Southampton sebelum disambar oleh Chelsea selepas satu tahun tiba di negara Harry Potter itu.

Dengan prestasi ketika latihan yang mantap, Musiala lantas melakukan debut untuk pasukan U18 Chelsea ketika berusia 15 tahun, dua bulan dan 13 hari.

Kembali ke Jerman

Melihat potensi yang dimiliki Musiala ketika di Chelsea, Bayern dengan pantas menyambar pemain muda itu pada musim panas tahun lepas.

Musiala merekodkan gol atau assist dalam setiap 105 minit permainan ketika berada dalam skuad Bayern U17 sebelum dinaikkan pangkat ke U19.

Lapan penampilan kemudian, dia dinaikkan pula ke pasukan simpanan Bayern sebelum kobis menjelma.

Rekod Demi Rekod Dihasilkan

Pada perlawanan ke-33 Bundesliga musim lepas, Musiala masuk dari bangku simpanan ketika menentang Freiburg untuk menjadi pemain termuda Bayern di Bundesliga pada usia 17 tahun dan 115 hari.

Beliau kemudian menjadi penjaring gol termuda Bayern sepanjang masa, memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang oleh Roque Santa Cruz (18 tahun 12 hari) dalam kemenangan 8-0 ke atas Schalke pada hari pembukaan Bundesliga Ogos lalu pada usia 17 tahun dan 205 hari.

Musiala turut mencetak dua lagi gol ketika menentang Eintracht Frankfurt & RB Leipzig pada saingan Bundesliga musim ini.

Rebutan England & Jerman

Musiala mempunya banyak pilihan negara untuk diwakili memandangkan bondanya ialah orang Jerman manakala abahnya merupakan kacukan British-Nigeria.

Menariknya, beliau bermain untuk pasukan England U15 ketika baru berusia 13 tahun dan terus mewakili negara di peringkat U16. Musiala kemudian membuat dua penampilan untuk negara kelahirannya, Jerman, dan pasukan U16 mereka pada bulan Oktober 2018.

Musiala tampil dalam lapan penampilan untuk pasukan U17 dari England, menjaringkan gol dalam dua pertandingan pertamanya, dan kini mencapai tahap U21 dengan skuad Three Lions.

Haa, kejap sana, kejap sini.

Menurut laporan, Musiala akhirnya memilih untuk mewakili Jerman pada peringkat senior apabila dikhabarkan menelefon Gareth Southgate berhubung perkara tersebut.

Baca yang lain