Pengurus Juventus, Massimiliano Allegri, berang dengan wartawan yang menemu bualnya selepas Old Lady dilabel bermain buruk dalam aksi Serie A terbaru mereka.
Juventus sekali lagi gagal menang dalam Serie A. Diikat oleh Genoa 0-0 di laman sendiri. Ianya antara aksi terburu Juventus yang hanya melakukan 2 percubaan tepat ke gawang lawan.
Disebabkan keputusan ini, Juventus kini ketinggalan 3 mata di belakang AC Milan yang menduduki tempat kedua dalam kedudukan Serie A.
Beberapa jam selepas Juventus tersandung di markas sendiri, AC Milan berjaya menewaskan Hellas Verona 3-1.
Juventus kini berada dalam prestasi yang tidak konsisten dalam Serie A, dengan hanya menang sekali dan tewas 3 kali dalam 8 perlawanan terakhir mereka.
Taktikal Allegri kini menjadi subjek kritikan oleh wartawan. Baru-baru ini jurulatih Massimiliano Allegri berkeras untuk menggunakan formasi 3-5-2 dengan Federico Chiesa sebagai penyerang.
Malah, Chiesa pada asalnya adalah pemain sayap yang efektif. Taktikal Allegri dianggap telah membuatkan Chiesa tidak dapat mempamerkan aksi terbaik di posisi terbaiknya.
Apabila ditanya mengenai strategi pilihannya, Allegri menjadi marah dan mengingatkan wartawan agar tidak mengajarnya tentang cara menjadi jurulatih.
“Adakah anda tahu bagaimana untuk menjadi jurulatih? Saya tidak tahu bagaimana menjadi seorang wartawan.
“Saya tidak akan berani mengajar wartawan bagaimana melakukan tugas mereka.
“Jadi jangan ajar saya cara melakukan kerja saya. Saya tidak mengikut apa yang orang ramai katakan, saya melakukan yang terbaik untuk pasukan.
“Bagaimana kami mendapat 46 mata dalam 19 perlawanan pertama?,” tegas beliau dalam nada marah.
Dia menyambung: “Jawapannya sama. Jika anda bertanya soalan yang lebih bijak, maka saya akan memberi anda jawapan yang lebih bijak juga.
“Tugas awak tanya saya, kemudian ada yang faham dan ada yang tidak.
“Saya hanya tahu tugas saya adalah untuk membawa pasukan menamatkan saingan dalam kelompok 4 terbaik.
“Kami berada di landasan itu. Kami kini berada di kedudukan ke-3 dalam kedudukan carta liga.
“Kalau tidak silap, kami hanya memerlukan 11 mata daripada 9 perlawanan untuk memastikan kedudukan itu terjamin.
“Mungkin saya salah kerana tidak menggunakan 3 penyerang, mungkin saya betul. Sudah tentu, saya gembira dengan prestasi pemain hari ini.
“Prestasi ini adalah titik berlepas yang baik untuk 9 perlawanan seterusnya,” tegas beliau.