Javier Zanetti: Kapten Tunggal Treble Di Itali Yang Menjadi Legenda Sejati Inter Milan

Pada suatu petang tahun 1995, Javier Aldemar Zanetti berlatih seperti biasa di pusat latihan kelab Banfield.

Tiba-tiba ada satu suara memanggil Zanetti.

“Zan, datang sini kejap!”
“Ada apa bang?” Tanya Zanetti sambil membetulkan rambut belah tepinya.
“Macam ni Zan. Ada kelab Itali berminat nak beli kau. Kau nak pergi tak?”
“Kelab mana bang?” Tanya Zanetti lagi.
“Inter Milan.”
“Inter Milan yang power tu nak beli aku? Kau biar betul bang. Jangan bergurau kasar bang. Aku terajang kau nanti.”
“Ya, Inter Milan yang power tu lah. Aku serius ni.”
“OK aku setuju bang. Kasi jadi!”

Begitulah lebih kurang perbualan antara Javier Zanetti dan jurulatih Banfield pada ketika itu.

Musim panas tahun 1995, Zanetti secara rasminya menjadi pemain Internazionale Milano FC, dan diberikan jersi bernombor 4.

Beliau merupakan pemain pertama yang dibeli oleh Massimo Moratti, yang baru sahaja membeli Inter Milan ketika itu.

Perkembangan karier

Sebelum berhijrah ke Itali, Zanetti bermain untuk kelab Talleres dan Banfield.

Ketika usianya menganjak 16 tahun, Zanetti pernah mencuba nasib dengan kelab Independiente, tetapi ditolak dengan alasan kekurangan dari segi fizikal.

Ada pepatah Inggeris menyebut, “their losses is our gain.”

Kata-kata inilah yang dipegang oleh Zanetti untuk membuktikan kepada pengurusan Independiente bahawa mereka silap kerana menolaknya dahulu.

Walaupun baharu dibeli Inter, Zanetti pantas menjadi pemain tunjang kelab, namun pingat kejuaraan pertama beliau hanya hadir pada tahun 1998.

Ianya selepas Nerrazzuri menewaskan Lazio 3-0 pada perlawanan akhir Piala UEFA (kini dikenali Europa League).  Lebih manis, Zanetti menjaringkan satu gol dalam perlawanan akhir itu.

Zanetti kemudiannya terpaksa menunggu musim 2004/05 untuk mengecapi kejuaraan kedua setelah Inter menjulang Piala Itali musim itu.

Terus mekar

Selepas musim 2004/05, saat gemilang Zanetti tidak berhenti apabila terus memimpin barisan pemain Nerrazzuri menjuarai pelbagai gelaran domestik, benua mahupun dunia, dan kemuncaknya pada tahun 2009/10.

Zanetti diberikan lilitan kapten kelab pada tahun 2001 bagi menggantikan Ronaldo yang telah berhijrah ke Real Madrid. Zanetti memakai lilitan kapten Inter selama 14 tahun.

Sepanjang menjadi kapten Inter, detik paling agung beliau sudah pastilah pada musim 2009/10 apabila Inter menjulang gelaran “treble” di bawah kendalian Jose Mourinho, selepas Inter merangkul trofi Serie A, Piala Itali dan Piala Liga Juara-Juara.

Ketika itu usia beliau sudah mencecah angka 37 tahun, dan beliau diturunkan dalam setiap perlawanan.

Rekod dan pencapaian

Zanetti memegang rekod pemain terbanyak membuat penampilan untuk Inter iaitu sebanyak 858 penampilan.

Dalam masa yang sama, beliau juga memegang rekod sebagai kapten pasukan membuat penampilan tertinggi di saingan UCL iaitu sebanyak 82 penampilan.

Diperingkat antarabangsa pula, Zanetti merupakan pemain kedua terbanyak mewakili La Albiceleste di belakang Javier Mascherano, bermain sebanyak 143 kali untuk skuad kebangsaan Argentina bermula dari tahun 1994 hingga tahun 2011.

Malangnya tuah seakan tidak memihak Zanetti ketika mewakili Argentina kerana tidak banyak kejuaraan yang beliau kecapi apabila hanya muncul sebagai naib juara Copa America sebanyak dua kali dan Piala Konfederasi, juga sebanyak dua kali.

Lebih malang pada tahun 2010, beberapa bulan selepas cemerlang membantu Inter menjulang Piala Liga Juara-Juara Eropah, nama Zanetti digugurkan oleh Diego Maradona daripada senarai pemain ke Piala Dunia 2010.

Walaupun beliau menjadi pemain utama dalam perlawanan peringkat kelayakan.

Tempat beliau digantikan oleh Jonas Gutierrez. Lilitan kapten pula diberikan kepada Javier Mascherano.

Ironinya, beberapa bulan sebelum itu, Maradona memuji Zanetti dengan berkata, “Zanetti lebih baik daripada kesemua pemain kami.”

Sehingga kini, ianya kekal satu misteri yang hanya Maradona sahaja tahu kenapa Zanetti digugurkan.

Namun nasibnya sangat berbeza sepanjang 16 tahun kariernya di Inter apabila berjaya menjulang 16 trofi pelbagai kejuaraan. Antaranya: –

5 kejuaraan Serie A.
4 Piala Itali.
4 Piala Super Itali.
1 Piala Liga Juara-Juara Eropah.
1 Piala Dunia Kelab.
1 Piala UEFA.

Dek kerana stamina kudanya berlari ke atas dan ke bawah untuk menyerang dan juga membantu pertahanan sepanjang 90 minit, beliau diberi gelaran El Tractor.

Oleh kerana kekuatan stamina disamping rejim latihan berasaskan kecergasan, Zanetti mampu mengekalkan kecergasan dan bermain sehingga usia 41 tahun.

Keterampilan

Dalam satu wawancara, wartawan bertanyakan tentang fesyen rambutnya yang menjadi imej malar segarnya sepanjang zaman, dan bagaimana ianya boleh kekal kemas dan tidak pernah berubah walau sedikit pun.

“Kalau ada sehelai rambut aku terkeluar atau tidak kemas, aku takkan rasa selesa. Aku ialah orang yang sentiasa mementingkan ketepatan dalam apa juga yang dilakukan. Rambut yang kemas memberikan aku keyakinan.

Ianya bukan sekadar imej, ianya juga melambangkan karakter.”

Kehebatan Zanetti juga seringkali dipuji lawan. Paolo Maldini menganggap Zanetti sebagai lawannya yang paling dihormati.

Ryan Giggs pula menganggap Zanetti “lawan yang paling sukar” dan “pemain lawan paling lengkap.”

Jose Mourinho menyatakan, dalam sesebuah pasukan itu, tak semua ketua pasukan itu pemimpin. 

Namun apabila anda ada seorang kapten yang merupakan pemimpin, maka ia akan memudahkan tugasan pengurus. Zanetti antara pemain di dalam senarai kapten dan pemimpin, menurut Mourinho – sama seperti John Terry.

Sebagai tanda penghargaan kepada jasa dan kesetiaanya terhadap kelab, nombor 4 telah dibersarakan oleh pengurusan Inter Milan, seterusnya nama beliau dimasukkan di dalam Dewan Kemahsyuran (Hall of Fame) kelab & negara Itali pada tahun 2018.

Javier Zanetti, legenda nombor 4 Argentina & Inter yang tiada galang ganti.

Saksikan video Zanetti membawa bola terus ke kawasan AC Milan dengan larian trademarknya pada usia 39 tahun.