Jawapan Ringkas Dan Padu Sugu Pavithra Ketika Dikecam Kerana Pakai Bahasa Melayu Bukannya Tamil

Nama Sugu Pavithra telah menjadi salah satu benda terbaik di Malaysia ketika PKP ini. Wanita itu bersama suami dan anaknya telah menjadi wajah kesayangan dan peneman rakyat Malaysia menerusi siaran Youtubnya yang kini sudah ada lebih 440 ribu subscribers.

S.Pavithra, 28, dan suaminya M.Sugu, 29, yang berjinak-jinak sebagai YouTuber menggunakan nama ‘Sugu Pavithra’ sejak Januari lalu, sudah mempunyai seramai 160,000 pelanggan sekali gus menjadikan mereka sebagai Rakan YouTube.

Pasangan yang tinggal di kuarters ladang kelapa sawit di sini itu juga boleh menarik nafas lega kerana sebagai Rakan YouTube, mereka mampu memperoleh pendapatan sampingan bulanan dengan bayaran mengikut mata wang Dolar Amerika Syarikat (USD).

Pavithra yang mempunyai perwatakan lemah lembut serta petah berbahasa Melayu itu berkata dia mula memuat naik video masakan di YouTube selepas mendapat saranan daripada seorang rakan baik yang juga seorang YouTuber.

“Menu pertama adalah ikan tilapia bakar dan saya tunjukkan cara-cara memasak dengan mengggunakan bahasa Melayu. Dalam masa empat hari sahaja seramai 5,000 telah mengikut akuan YouTube saya dan selepas itu telah dapat e-mel daripada YouTube untuk menjadi rakan,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Pavithra, ibu kepada dua anak yang berasal dari Buntong, Ipoh berkata dia dan suami tidak menyangka ramai yang menonton video memasaknya serta terus melanggan, dan dianggap sebagai dorongan untuk mereka terus menghasilkan bahan lebih menarik.

“Saya pandai cakap bahasa Melayu jadi tidak salah kalau saya buat video memasak dalam bahasa ini. Kalau saya cakap bahasa Tamil tidak semua faham, jadi saya pilih gunakan bahasa Melayu biar semua rakyat Malaysia boleh tengok dan faham.

“Paling menyeronokkan dan memberi semangat apabila ramai yang memberikan komen positif dan meminta saya teruskan usaha ini. Tidak kurang juga ada yang minta kami tunjukkan cara masak makanan India, ini sangat menyeronokkan,” katanya.

Tambah menarik dan teruja apabila ada selebriti tanah air yang bukan sahaja mengikuti akaun YouTube mereka malah turut mencuba resepi itu dan kemudian berkongsi di akaun laman sosial masing-masing sambil menyatakan ia adalah idea ‘Sugu Pavithra’.

Antara yang mencuba resepi ‘Sugu Pavithra’ adalah atlet bina badan negara, Sazali Samad dan YourTuber Jepun ‘IChang RM’ dengan memasak kari ayam.

Pavithra berkata dia dan suami memilih untuk memasak makanan mudah antaranya terung bulat tumis belacan, kuih ketayap dan kangkung tumis dengan bahan digunakan biasanya ada di dapur setiap rumah agar lebih ramai mencuba resepi yang dikongsikan.

Satu yang menarik mengenai Pavithra, dia tidak memerlukan peralatan yang banyak atau canggih untuk memasak, tapi cukup dengan satu kuali, sudip dan dua periuk termasuk satu periuk untuk memasak nasi.

Malah, untuk merakam aksinya di dapur, Pavithra hanya menggunakan telefon pintar yang diletakkan di atas cawan di tempat kukuh, tapi tetap menghasilkan klip video yang cantik dengan bantuan suaminya.

“Jika suami masak, saya yang banyak bercakap termasuk kenalkan bahan-bahan dan cara-cara kerana suami pemalu,” katanya, memaklumkan tugas menyunting klip video dibuat selepas makan serta dua anaknya tidur.

Pasangan suami isteri itu bagaimanapun tidak menganggap diri sebagai selebriti sebaliknya masih Sugu dan Pavithra yang sama, dan meminta orang ramai terus mengikuti serta mencuba resepi yang dikongsikan.

Namun di sebalik segala yang indah, ada juga yang tak senang dengannya. Malah ada beberapa komen berbentuk buli siber ke atas Sugu.

Lebih menyedihkan ada yang mempersoalkan kenapa beliau tidak menggunakan bahasa Tamil dan menggunakan bahasa Malaysia.

Seorang pengkomen telah menyuruhlah berbahasa Tamil.

Sugu memberikan balasan komen yang membuatkan ramai tersentuh dan memberikan sokongan kepadanya.

Sugu membalas: “Saya cakap bahasa Melauyu sebab 1 Malaysian boleh faham pertuturan saya, salah ke?”

Rata rata netizen berdiri teguh menyokong pendirian Sugu.

Boleh sahaja Sugu menukar konten kepada Bahasa Inggeris untuk mendapatkan audien antarabangsa dan lebih masyuk. Namun ternyata gadis dari Malaysia ini bangga dengan negaranya dan menggunakan bahasa kebangsaan Malaysia.

Sugu Pavithtra digemari pengikutnya kerana bahasanya lemah lembut dan tidak seperti ramai Youtubers hari ini yang menggunakan bahasa kasar.

Selain itu netizen juga memuji kebersihan dapurnya walaupun dapur biasa dari rumah. Masakannya juga nampak menyelerakan dan ramai yang sudah mencuba.

Malah ada yang menekan butang notifikasi untuk memastikan mereka tak ketinggalan konten terkini daripada wanita itu.

Paling mengejutkan Sugu apabila beliau mendapat hadiah khas daripada Perdana Menteri menghargai usahanya yang sedikit sebanyak membantu dalam memastikan rakyat yang berada di rumah ada konten untuk ditonton.

Dipetik dari BH Online, Sugu berkata: “Sangat gembira kerana kami tidak menyangka dapat hadiah daripada pemimpin negara.”

“Tiba-tiba (hadiah) datang, saya pada mulanya tidak percaya, pada kad pula tiada tandatangan jadi saya fikir mungkin bukan dari PM dan dihantar orang lain.”

“Tetapi selepas itu mendapat panggilan dari Jabatan Perdana Menteri bertanyakan sama ada ‘parcel’ sudah sampai atau tidak, baru saya percaya hadiah memang daripada PM,” katanya.

Dia sememangnya tidak dimaklumkan lebih awal oleh Pejabat Perdana Menteri berkenaan hadiah istimewa itu.

“Kami mendapat hadiah tripod, ketuhar gelombang mikro, ketuhar dan barang masakan seperti beras, minyak dan rempah, dan PM juga ada memberi kad ucapan dengan tulisan ‘keep up the good work and stay at home’ (teruskan usaha baik dan duduk di rumah).”

“Kalau boleh hendak berjumpa dengan PM untuk mengucapkan terima kasih secara berdepan tetapi sebab PKP mungkin tidak boleh,” katanya.

Menurutnya, dia masih belum menggunakan barang masakan yang dihadiahkan oleh Perdana Menteri itu.

“Barang masakan masih disimpan dan belum digunakan lagi, PM juga ada berkata (pesan) kalau boleh masak dan bagi jiran merasa,

Teruskan usahamu Sugu. Secara tak langsung kamu sekarang sedang menjadi insan yang memperkasakan lagi perpaduan di negara kita serta kebanggaan kepada bahasa kebangsaan kita.

Rujukan: BERNAMA / BH Online