Bintang Jepun Ucap Terima Kasih Arab Saudi: “Mereka Jadi Motivasi Kami”

Kapten Jepun, Maya Yoshida dan beberapa rakannya mewakili suara pasukan Jepun telah mengucapkan terima kasih kepada Arab Saudi selepas berjaya memberikan inspirasi kepada mereka.

Sebelum ini wakil Asia dianggap lauk oleh gergasi Amerika Selatan dan gergasi dari Eropah.

Namun kali ini, dua wakil Asia iaitu Arab Saudi dan Jepun berjaya mengejutkan 2 pasukan pilihan iaitu Argentina dan Jerman.

Kedua dua pasukan tidak lagi menunjukkan rasa ‘terlalu hormat’ kepada lawan mereka seperti mana yang kerap berlaku sebelum ini.

Aksi berani menyerang dan keyakinan yang ada pada mereka membuatkan Argentina dan Jerman merana.

Dalam aksi sebelum ini, Arab Saudi menang 2-1 ke atas Argentina. Ianya dianggap peristiwa paling penting dalam bola sepak Arab Saudi setakat ini.

Oleh itu, Raja Salman telah mengumumkan cuti umum buat negara mereka.

Dalam perlawanan seterusnya, Jepun menjadikan Arab Saudi motivasi untuk mereka, ketika berdepan Jerman.

Jepun mencatat skor yang sama, dan menang 2-1 ke atas juara dunia 4 kali, Jerman.

Menariknya, kedua dua pasukan ketinggalan awal kerana gol penalti lawan dan kemudian bangkit menjaringkan 2 gol dalam perlawanan tersebut untuk menang 2-1.

Yoshida berkata: “Kami menukar sedikit sistem dan tempo permainan kami pada separuh masa kedua.”

“Dan juga, kami mendapat motivasi daripada kejayaan Arab Saudi yang ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama dan kemudian bangkit untuk menang, itu adalah pencapaian yang sangat luar biasa.”

“Kejayaan Arab Saudi itu membuatkan kami lebih percayakan diri bahawa kami pun boleh melakukannya, kami boleh menjadi seperti mereka.”

“Semalam kami melihat Arab Saudi menewaskan Argentina selepas ketinggalan 1-0, dan kami tahu, kami pun boleh melakukannya.”

Pemain pertahanan Hiroki Sakai mengakui perkara yang sama. Beliau berkata: “Semalam, Arab Saudi memberikan kami pengajaran paling berguna selepas mereka berjaya menang ke atas Argentina. Jika kami terus mengekalkan defisit cuma 1 gol, tiada siapa yang akan tahu apa yang akan berlaku seterusnya.”

Bintang La Liga, Takefusa Kubo menambah: “Kami ketinggalan 1 gol di belakang pada separuh masa pertama, sama seperti Arab Saudi. Dan seperti mereka juga, kami berjaya mencipta kebangkitan terhebat dan menang.”

Sebagai tambahan, di dalam sejarah bola sepak Jepun dalam temasya Piala Dunia, mereka sebelum ini tidak pernah menang mana mana perlawanan Piala Dunia, di mana mereka ketinggalan terlebih dahulu. Rekod itu sudah dileburkan oleh Jepun.

Piala Dunia 2022: Jepun Bangkit Dan Selamber Tewaskan Jerman

Pasukan Asia sekali lagi menunjukkan aksi cemerlang dalam Piala Dunia kali ini. Sebelum ini Arab Saudi berjaya mengejutkan Argentina.

Sementara Jepun pula berjaya mencipta skrip hampir sama ketika menewaskan pasukan gergasi Jerman dalam aksi pembukaan kedua dua pasukan.

Mana tidaknya, Jepun ketinggalan kerana gol penalti dan bangkit dengan 2 gol pada separuh masa kedua. Kisah yang mirip kepada cerita Arab Saudi ketika menewaskan Argentina semalam.

Jerman dominan namun tak cukup tajam

Jepun hampir di hadapan pada minit ke-8. Kesilapan Gundogan dimanfaatkan pemain pemain Jepun yang terus mencipta peluang gol. Maeda menolak bola mudah untuk masuk. Malangnya penjaga garisan sudah mengangkat bendera ofsaid.

Kai Havertz dan Jamal Musiala menjadi ancaman utama pasukan Jepun dalam perlawanan ini.

Jerman akhirnnya diberikan sepakan penalti pada minit ke-33. Dan ianya dengan tenang disudahkan oleh Ilkay Gundogan pada minit ke-33.

Kai Havertz kemudian hampir meletakkan Jerman 2 gol di hadapan tetapi gol dibatalkan kerana ofsaid,

Jerman menamatkan separuh masa pertama dengan dominan. Dan sedia untuk meneruskan rentak bertenaga itu pada separuh masa kedua.

Jerman terus menyerang untuk mencari gol kedua dalam perlawanan ini. Namun malangnya mereka pula yang dikejutkan Jepun dengan gol penyamaan.

Pemain gantian Mitoma bergandingan dengan seorang lagi pemain gantian yang baru masuk, Takumi Minamino. Yang kemudian mencipta ancaman bahaya. Bola disudahkan oleh Ritsu Doan.

Gol ini adalah melibatkan 3 orang pemain gantian pasukan Jepun dan menyamakan kedudukan pada minit ke-75.

Jerman tersentak dengan gol tersebut. Peminat mereka mulai tergamam di tempat duduk penyokong.

Mereka pasti tidak mahu peristiwa ketika dikejukan Korea Selatan dahulu berulang.

Dan itulah yang berlaku.

Organisasi pertahanan yang kucar kacir membuatkan Takuma Asano kekal tidak ofsaid dan meluru ke byline sebelum melepaskan rembatan laju melepasi Neuer.

Jepun mendahului 2-1.

Jerman kemudian meningkatkan lagi usaha memburu gol. Tetapi penjaga gol Jepun terus kebal. 1 permintaan penalti mereka tidak dilayan VAR.

Manuel Neuer kemudian naik ke atas untuk sepakan percuma terakhir perlawanan untuk Jerman. Neuer hampir berjaya menanduk bola yang dihantar ke dalam kawasan penjaga gol Jepun.

Tamat perlawanan Jepun 2 Jerman 1. Jepun sebelum ini tak pernah menang mana mana perlawanan bola sepak, selepas mereka ketinggalan terlebih dahulu.

Baca yang lain