Ketika tulisan ini ditulis, Chritopher Jackson masih dalam penilaian kejurulatihan Kelantan.
Mengenali Jackson, liga dan negaranya
Beliau hanya seorang pemuda 24 tahun yang mengikuti jejak puluhan rakan senegaranya keluar mencari kehidupan yang lebih baik dengan bermain bola sepak.
George Weah telah meletakkan tanda aras yang begitu tinggi bagi generasi selepasnya untuk mengikuti jejak langkahnya.
Liberia tidak mempunyai liga yang lumayan. Pada 2012 penjaring terbanyak liga ini pernah merungut bahawa beliau sudah letih untuk bermain bola sepak secara percuma.
Divisyen 1 Liberia bukanlah antara 12 liga terbaik di Afrika. Mereka hanya mendapat 1 slot saguhati untuk bermain di Liga Juara Afrika, perlu melalui pusingan kelayakan.
Cuma, Afrika mempunyai kejohanan negara yang agak baik. 24 negara bermain di Piala Afrika selama sebulan, setiap 2 tahun.
Ia menjadi satu kejohanan yang boleh memasarkan pemain mereka, perpindahan kemahiran antara pemain yang bermain di Eropah dan benua lain ke Afrika.
Liberia meraih manfaat kejohanan ini. Negara ini kerap layak ke pusingan akhir.
Jackson berjaya… tetapi gagal dan perlu kembali semula
Christopher Jackson berjaya menembusi pasaran eropah apabila mendapat tawaran bermain bersama Syakhtyor Soligorsk.
Salah satu pasukan yang sentiasa berada di top 3 divisyen 1 Belarus (Belarusian Premeir League).
Pasukan ini sering meraih slot kelayakan Piala Europa. Namun Jackson gagal menembusi skuad utama disana.
Bagaimanapun ia satu percubaan dan pengalaman baik bagi anak muda berusia 22 tahun pada ketika itu.
Jackson pulang ke negaranya dan perlu kembali ke liga murah. Beliau perlu membuktikan kemampuannya sekali lagi dan cuba keluar mencari liga yang lebih baik.
Tetapi ia bukanlah satu perkara yang mudah apabila beliau hampir berjaya menembusi eropah dan terpaksa kembali dari langkah pertama semula.
“Apabila saya kembali dari eropah ia menjadi detik sukar bagi saya, namun jurulatih Tapha Manneh membantu dan mendorong saya supaya terus maju.” kata Jackson ketika menerima anugerah MVP 2019
Jackson Bangkit
Bersama LISRC. Beliau menjaring 12 gol ketika kempen liga divisyen 1 berada dipertengahan musim.
Menambah 5 jaringan pada baki separuh musim dan mengumpul 17 jaringan secara keseluruhan.
17 jaringan tersebut meletakkannya sebagai penjaring terbanyak liga divisyen 1 Liberia bersama-sama Varny Dukuly dari Nimba United.
LISRC menamatkan kempen liga di tangga ke-2 dibelakang LPRS Oilers yang melakukan invinsible season.
Jackson bangkit dari kegagalan. Gagal di eropah, kembali ke liganya dan menjadi pemain paling bernilai (MPV) 2019.
Ternyata negaranya hanya mempunyai liga miskin tetapi mempunyai pemain berkualiti
Dua anugerah yang diperolehinya pada November 2019, menyaksikan beliau membawa pulang wang tunai sebanyak L$475 ribu atau sekitar RM 10 ribu. Disamping itu beliau menerima sebuah kereta Toyota Corolla tahun 2013 dan 2 buah telefon bimbit.
Mungkin ia akan menjadi bahan ketawa bagi kita di Malaysia melihat hadiah tahunan bola sepak mereka, tetapi apabila melihat kejayaan pemain-pemain mereka di luar negara, mereka mungkin jauh lebih baik.
Ke Malaysia dengan motivasi kejayaan 2019 di Liberia
Jackson terbang ke Pahang tetapi dalam tempoh 24 jam beliau tidak diterima disana dan terus menuju ke Kelantan.
Sehingga kini beliau masih lagi dalam pemantauan pasukan ini sebelum tahu keputusan sama ada akan bermain disini atau perlu mengintai peluang lain.
Jackson sedang memegang status pemain paling bernilai negaranya pada musim sebelumnya. Ia dipilih melalui undian dari semua ketua jurulatih, kapten pasukan dan beberapa wartawan sukan yang diiktiraf.
“Saya berasa sangat gembira apabila diumumkan sebagai pemenang.”
“Saya tidak pernah mempunyai perasaan ini sebelumnya. Anugerah itu memberi banyak makna kepada saya.”
Dalam salah satu laman sukan Sakafrika, terdapat 50 nama pemain Liberia terbaik yang bermain diluar negaranya. Mengejutkan, Kpah Sherman berada di tangga pertama.
Agogo Kromah juga berada dalam senarai tersebut. Jika Jackson berjaya bermain di mana-mana liga luar negara sudah pasti pada November ini, namanya akan berada dalam senarai 50 tersebut.
Pemain ini mempunyai motivasi baik untuk membuktikan sesuatu selepas kembali hidup (MPV Liberia) dari kegagalan (di Eropah).
“Anugerah ini merupakan satu cabaran kepada saya. Jika saya kekal bermain di Liga Liberia, saya perlu kekalkan anugerah ini.”
Rumusan jika beliau akan bersama Kelantan.
1. Pemain ini masih muda dan perlukan dorongan. Seperti apa yang dilakukan Tapha Manneh sehingga berjaya menjadikan pemain ini menjadi pemain terbaik di liganya, Yusri Che Lah juga mempunyai tanggungjawab yang sama.
Jackson telah kembali menemui motivasi selepas gagal di eropah dan kembali sekali lagi mencari peluang bermain di luar negara.
2. Para penyokong dan peminat bola sepak Kelantan perlu melihat Jackson hanya seorang anak muda berusia 24 tahun yang mengembara mencari kehidupan yang lebih baik dari negaranya melalui bola sepak.
Beliau sudah menyelesaikan tugasnya di Liberia. Anak muda ini perlu didorong oleh penyokong supaya kekal dengan prestasinya. Beliau perlukan masa untuk penyesuaian persekitaran.
3. Persatuan Bola Sepak Kelantan perlu menilai potensi Jackson dan jika yakin, perlu lebih berani mengikatnya selama 2 musim. Bagi mengelakkan peningkatan gaji terlalu tinggi jika ianya berjaya.
Jika tidak, ia bukan satu kegagalan dan masih boleh diperbaiki dari dalam.
Nota: Pandangan ini tidak mewakili mana-mana pihak dan hanya pandangan peribadi penulis.
Sebarang keputusan dari Persatuan Bola Sepak Kelantan akan dihormati.