John Cena Berharap McGregor Sertai WWE

Bintang mega WWE, John Cena telah menyatakan yang beliau percaya Conor McGregor bakal menjadi penambahan yang menakjubkan andai petarung dari Ireland itu berminat untuk bertukar gelanggang.

Cena percaya McGregor akan mampu bersinar dan berjaya andai beliau berminat untuk ceburi dunia gusti profesional selepas ini.

Selepas berjaya dalam dunia gusti profesional, Cena cemerlang mencipta nama dalam dunia Hollywood dan menjadikan namanya antara bintang hiburan terbesar di dunia.

Walau bagaimanapun, dalam satu temu bualnya baru-baru ini, Cena mendakwa yang beliau rasa dirinya masih sama seperti semua orang di muka bumi ini, seorang peminat.

Dan sebagai peminat, beliau sangat teringin untuk melihat Conor McGregor berhijrah dari UFC ke WWE dan menjadi bintang dalam dunia gusti profesional.

Bercakap dalam Dan Patrick podcast, beliau mendakwa yang McGregor bakal menjadi bintang yang sungguh menakjubkan di WWE.

“Dia akan jadi bintang yang menakjubkan. Dia adalah apa yang kami lakukan. (Gusti adalah) satu hal yang sedikit sukar untuk diramal.”

Jelas Cena.

“Kejutan kalau dia bersama kami adalah membuat kemunculan secara rawak dan diberikan kebebasan untuk memilih cara kita suka.”

“kejutan mereka pula adalah patah beberapa gigi atau perlu jalani pembedahan. Tapi saya tidak kata yang hal itu tidak berlaku pada kami, tapi dalam bidang dia, ia bukan kesilapan.”

Cena memaksudkan yang kecederaan berat mungkin boleh berlaku di WWE namun ia hanya berlaku andai ada kesilapan dari para penggusti.

Namun di UFC, para petarung sememangnya sentiasa terdedah dengan kecederaan seperti itu, dan ia memang risiko yang perlu mereka tanggung untuk beraksi di dalam Octagon.

Cena secara terang-terangan mengakui yang beliau sangat berharap agar hal itu akan berlaku satu hari nanti. (McGregor sertai WWE)

“Saya harap dia akan tampil kerana saya mahu melihatnya. Di tahap saya sekarang, saya masih peminat.”

Jelas Cena lagi.

“Dia sangat menakjubkan dan ada tarikan tersendiri tentang dia. Saya mahu lihat dia beraksi.”

Satu hal yang pasti, kemampuan bercakap McGregor jelas sekali sangat sesuai dengan WWE dan andai beliau membawa watak jahat, ia tentu akan menjadi sangat sempurna.

Tidak hairan andai McGregor akan berjaya menjadi bintang besar WWE selepas melakukannya di UFC, sama seperti Brock Lesnar dan Ronda Rousey.

Namun sebenarnya tugas berat untuk WWE memujuk beliau andai mereka benar-benar berminat untuk mendapatkan petarung dari Ireland itu.

Ia kerana beliau sebelum ini sering mengkritik lakonan dan skrip dalam dunia WWE dan beliau jelas sekali tidak berminat dengan gusti hiburan.

Tambahan pula, walau sekarang beliau sedang dibelenggu masalah kecederaan, namun McGregor tetap menegaskan yang selepas beliau kembali pulih, beliau mahu kembali ke gelanggang Octagon.

Namun itu tidak membuktikan yang McGregor tidak mungkin akan sertai WWE andai beliau ditawarkan. Beliau seorang penghibur dan sanggup lakukan apa saja untuk nama dan duit, jadi tidak hairan andai beliau akan bersetuju untuk membuat kemunculan di WWE.

Siapa tahu mungkin beliau akan menjadi penggusti jemputan, dan tidak mengejutkan juga andai beliau akan diundang untuk satu perlawanan dan perlawanan itu bakal menemukannya dengan John Cena.

WrestleMania misalnya boleh menjadi destinasi terbaik untuk WWE tambah nama McGregor sebagai penyeri dan penarik untuk peminat menonton acara terbesar itu.

Tapi andai benar-benar berlaku, banyaklah perkataan yang perlu ditapis oleh WWE ketika McGregor menyampaikan promo.

Sumber: GMS