Jose Fonte: Kisah Si Late Bloomer Yang Menjadi Tunjang Lille Menjulang Kejuaraan Ligue 1

Dominasi Paris Saint Germain dalam Ligue 1 akhirnya tamat setelah LOSC Lille mengesahkan kejuaraan pertama mereka dalam 10 tahun apabila menewaskan Angers di tempat lawan.

Kejayaan Lille menggondol gelaran Ligue 1 banyak dibantu dengan prestasi menakjubkan penyerang utama mereka, Burak Yilmaz.

Yilmaz, penyerang veteran yang dipancing dari Galatasaray secara percuma terlibat dalam 23 gol, 16 gol dan 5 assist.

Namun pada artikel kali ini, penulis ingin memfokuskan mengenai jeneral sebenar Lille di atas padang, kapten fantastik Jose Fonte.

Zaman Pensabunan

Semuanya bermula ketika beliau mewakili Sporting CP B pada 2002 sebagai pemain professional. Bermain sebanyak 52 perlawanan sebelum berhijrah ke Felgueiras.

Fonte melakukan debut dalam liga utama eropah bersama Vitoria Setubal sebelum berhijrah ke kelab gergasi Portugal, SL Benfica namun gagal melakukan sebarang penampilan sepanjang tempoh 3 musim di sana.

Berhijrah ke England

Pada usia 25 tahun, Fonte kemudian menyertai Crystal Palace dalam kancah Championship pada tahun 2008 tetapi dia mengalami kecederaan. Namun setelah pulih , Fonte mula mendapat tempat dan terus bermain dalam 82 perlawanan di mana dia menjaringkan enam gol sehingga 2010.

Untuk musim 2010-11, Fonte yang ketika itu berumur 27 tahun berhijrah ke Southampton dengan tanda harga £1.2 juta. Membantu The Saints lolos ke Championship dengan menjadi juara League One. Fonte dipilih sebagai pemain terbaik Southampton tahun itu dan turut tersenarai dalam Team of The Year League One.

Hanya pada usia 29 tahun, Fonte melakukan debut di EPL setelah Southampton dipromosi pada tahun 2012. Kehadiran Mauricio Pochettino menyerlahkan potensi sebenar beliau ketika berumur 30 tahun. Dilantik sebagai kapten pasukan menggantikan Adam Lallana yang berhijrah ke Liverpool.

Penurunan Prestasi

Aspek pertahanan kental beliau ketika Euro 2016 menarik minat West Ham United tetapi perpindahannya ke Boleyn Ground pada tahun 2017 dianggap gagal. Selepas hanya 24 perlawanan EPL dalam 18 bulan yang kebanyakannya teruk, Fonte berpindah ke asia mencari kontrak besar sebelum menggantung but.

Di China, jodohnya bersama Dalian Yifang tidak bertahan lama. Melakukan 7 penampilan dalam 5 bulan sebelum ditamatkan kontrak.

Kembali ke Eropah

Fonte kembali ke eropah apabila menyertai Lille pada tahun 2018 pada usia 34 tahun. Dia dengan cepat membuktikan dirinya sebagai mentor dan jeneral untuk pasukan muda di bawah kendalian Christopher Galtier itu.

Beliau bermain 96 permainan dalam 3 musim berikutnya dan memenangi gelaran Ligue 1 pada usia 37 tahun! Lille mengumpul 21 cleansheet sepanjang kempen Ligue 1, dimana Fonte beraksi dalam 36 dari 38 perlawanan

Benteng Kebal Portugal

Pada 3 Oktober 2014, pada usia hampir 31 tahun, Fonte menerima panggilan pertamanya ke pasukan kebangsaan Portugal, untuk perlawanan persahabatan bertemu Perancis dan kelayakan UEFA Euro 2016 menentang Denmark.

Fonte kemudian dipilih oleh pengurus, Fernando Santos untuk skuad Euro 2016. Perlawanan pertamanya dalam kancah Euro 2016 adalah ketika menentang Croatia dalam pertembungan pusingan 16 terbaik dimana Portugal menang 1-0 setelah tamat masa tambahan.

Beliau terus mengekalkan kedudukannya sehingga final, membantu Portugal menjadi juara eropah pada umur 33 tahun. Portugal menang dengan menewaskan tuan rumah, Perancis 1-0.

Rumusan

Sejak mencapai umur 29 tahun, Jose Fonte telah melakukan 45 caps bersama Portugal, memenangi Euro 2016 dan terkini, gelaran Ligue 1. Inilah dia kisah inspirasi sebenar untuk si late bloomer!