Jose Mourinho Jadi Menyampah Dengan Situasi Kecederaan Renato Sanches

Pengurus AS Roma, Jose Mourinho hilang kata kata untuk menjelaskan situasi Renato Sanches.

Pemain yang mereka tandatangani sebelum ini secara pinjaman dari PSG dengan ada obligasi untuk pembelian tetap.

Namun selepas kira kira hampir 3 bulan mendapatkan pemain itu, Mourinho merungut dengan situasi kecergasan pemain itu.

Menurut Mourinho, dia sendiri tidak pasti bagaimana dengan Sanches, sama ada dia boleh bermain atau tak. Kerana pemain itu terlalu mudah cedera.

Mourinho berkata begitu selepas kemenangan ke atas Sheriff Tiraspol dalam aksi UEL. Roma menang 2-1 dalam perlawanan itu, berterima kasih kepada gol kemenangan oleh Romelu Lukaku.

Renato Sanches bermain dalam perlawanan itu, namun hanya beraksi 28 minit sebelum dia dikeluarkan.

AS Roma sebelum ini berdepan dengan persaingan daripada Arsenal untuk mendapatkan pemain itu bagi posisi tengah.

Dan setakat ini hanya bermain 98 minit. Dia sebelum ini bermain hanya 25 minit sebagai pemain gantian menentang Salernitana.

Hari berikutnya dia terpaksa menamatkan latihan awal kerana mengadu ada kesakitan di otot.

Ianya membuatkan Sanches terlepas 2 aksi liga menentang AC Milan dan Verona. Dan kembali semula beraksi 45 minit menentang Empoli. Dia dikeluarkan pada separuh masa kerana cedera.

Mourinho sebenarnya sangat terdesak mahu melihat gandingan Sanches dengan Aouar.

“Mereka berdua harus bermain, kerana mereka harus mendapatkan rentak dan intensiti.”

“Namun itulah Renato, dia sentiasa berada dalam risiko. Sukar untuk memahami situasi dia. Bayern tak faham situasi dia, PSG tak faham situasi dia, dan sekarang kami pun sulit untuk memahaminya.”

‘Dia bermain 45 minit Ahad, kemudian dia berehat 3 hari. Berikutnya dia terpaksa dikeluarkan selepas 27 minit.”

“Dia sentiasa dalam situasi diragui, ianya sukar untuk mengerti bagaimana situasi kecederaan Sanches kerana dia selalu cedera.”

“Aouar bermain dengan masa secukupnya untuk mendapatkan rentak di dalam permainanya.”

Kenyataan Mourinho ini jelas menunjukkan bahawa Renato Sanches mungkin tidak akan dibeli secara tetap oleh AS Roma.

Sanches merupakan pemain yang dianggap masa depan Portugal pada satu ketika dahulu.

Aksi cemerlang dalam Euro 2016 membuatkan dia menjadi rebutan banyak kelab besar. Akhirnya dia memilih Bayern Munich.

Namun selepas itu prestasinya tidak menentu serta diganggu kecederaan. Dia dipinjamkan ke Swansea dan gagal mendapatkan rentak yang dia mahukan.

Sanches seterusnya menyertai Lille. Dia bermain bola sepak terbaik di Lille, dengan membantu kelab itu menjuarai Ligue 1. Dia kembali menjadi rebutan kelab besar. Lalu memutuskan untuk menyertai PSG.

Di PSG kisah dia gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama dan akhirnya dipinjamkan ke AS Roma.