Juan Carlos Valeron: Artis Seni Dari Pulau Canary

Juan Carlos Valeron, nama yang hampir dilupakan dan jarang diperkatakan.

Walaupun hanya sekali pernah dicalonkan untuk anugerah Ballon d’Or, namun kariernya layak untuk diperbincangkan dan diraikan oleh penonton bola sepak.

Andres Iniesta pernah berkata bahawa dia sanggup membayar untuk melihat Juan Carlos Valeron bermain.

Menonton permainan Valeron seolah-olah melihat seorang ‘magician’ melakukan aksi silap mata.

Kurus dan kelihatan lembik di atas padang, pemain lawan sudah tentu yakin dapat mengatasinya, namun sekelip mata saja mereka tertipu dengan penampilan yang ditunjukkan.

Beliau mempunyai kemampuan teknikal yang sangat baik dari segi kawalan, hantaran, dan sentiasa tenang melihat peluang.

Aspek ini banyak diraih ketika usianya membesar yang banyak bermain di jalanan tempat asalnya iaitu Gran Canaria.

Bola sepak dipandang dengan cara yang berbeza di Pulau Canary. Tujuannya lebih kepada memberikan kepuasan yang cukup segar.

Sebelum karier yang diingati di Galicia.

Setelah menunjukkan persembahan yang mengujakan bersama Las Palmas pada awal karier, Valeron berhijrah ke Real Mallorca pada musim 1997-98.

Musim pertama yang memuaskan di mana Mallorca menamatkan saingan di tempat kelima liga dan muncul sebagai naib juara Copa del Rey.

Atletico Madrid berminat untuk membawa Valeron berikutan prestasi memberangsangkan berjaya ditampilkan. Namun situasi Atletico ketika itu jauh panggang dari api jika ingin dibandingkan dengan hari ini.

Atletico Madrid sedang dalam fasa kejatuhan. Musim pertama Valeron di sana, mereka menamatkan liga di kedudukan ke 12. Musim kedua pula, buah pahit perlu ditelan, Los Colchoneros jatuh ke Segunda Division buat kali pertama untuk tempoh 60 tahun.

Selepas penyingkiran Atletico Madrid, Deportivo La Coruna menandatangani Valeron setelah menjuarai kejuaraan La Liga yang pertama di dalam sejarah.

Detik mengujakan Valeron di Deportivo La Coruna.

Juan Carlos Valeron muncul antara nadi yang cukup penting ketika zaman kegemilangan Deportivo La Coruna pada awal 2000an.

Di wilayah Galicia ini juga menjadi saksi turun naik kariernya ketika beliau mula meraih reputasi sebagai salah seorang pemain terbaik bola sepak Sepanyol.

Waktu itu, pengurus Deportivo iaitu Javier Irreuta menggabungkan kelompok bakat yang tidak terkenal dan berkelas dunia dalam satu pasukan hingga menjadi bualan ramai di Eropah.

Skuad yang dibarisi dengan nama seperti Noureddine Naybet, Djalminha, Aldo Duscher, Walter Pandiani, Roy Maakay, Diego Tristan, Amavisca, dan Joan Capdevila.

Untuk tempoh dua tahun berturut-turut, pemain Deportivo dinobatkan sebagai penjaring terbanyak La Liga, Diego Tristan pada musim 2001-2002 dan Roy Makaay pada musim 2002-2003.

Dengan Valeron sendiri beraksi di belakang mereka, ia bukan satu kebetulan. Makaay sendiri mengiktiraf pemain asal Pulau Canary ini adalah pemain terbaik yang pernah dia beraksi sekali.

Mengatasi fokus yang diberikan umum kepada Real Madrid dan Barcelona, ‘Super Depor’ menghasilkan persembahan yang sedap ditonton di Eropah pada awal abad ke 21.

Paling menarik sudah tentu semasa mereka bangkit dari kekalahan 4-1 perlawanan pertama peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara dengan menumbangkan AC Milan 4-0. valeron merupakan salah seorang penjaring gol ketika itu.

13 tahun di Deportivo, Valeron menawarkan kualiti yang terbaik kepada kelab dan membantu pasukan ini memenangi Copa Del Rey dan Supercopa Espana serta menjadi pesaing kejuaraan di dalam La Liga.

Karier antarabangsa yang mengecewakan.

Selain itu, pemain asal Kepulauan Canary ini juga terpilih untuk menyertai skuad Sepanyol bagi kempen World Cup 2002 dan EURO 2004.

Satu benda yang agak merugikannya ialah terpaksa berhadapan dengan krisis kecederaan yang sangat teruk.

Beliau pernah hampir tiga tahun tidak beraksi kerana kecederaan ACL, selain perlu melakukan tiga pembedahan dalam masa dua tahun.

Untuk seorang pemain yang pernah digelar sebagai ‘Zidane Spain’, perkara ini jelas membantutkan kariernya. Valeron sendiri gagal menempatkan dirinya ke dalam skuad Sepanyol bagi kempen EURO 2008.

Valeron tampil bersama skuad kebangsaan sebanyak 46 kali dan menjaringkan sejumlah 5 gol.

Penutup di kampung halaman.

13 tahun menjadi seorang ‘herculines’ di Deportivo, Valeron akhirnya pulang semula ke kampung halamannya untuk kembali beraksi bersama Las Palmas.

Menariknya di Las Palmas, Valeron masih lagi mempunyai kudrat yang kuat untuk turun beraksi sebanyak 45 perlawanan ketika musim 2013/14.

Musim berikutnya, beliau sendiri berjaya membantu pasukan tersebut promosi dari Segunda ke saingan La Liga.

Las Palmas memujuk Valeron untuk bermain bagi satu musim lagi. Namun, di usia 40 tahun, beliau memilih untuk menggantung but pada Mei 2016.

David Silva mengakui yang dia begitu mengidolakan Juan Carlos Valeron sehingga memilih nombor jersi 21 serupa yang diguna pakai legenda Deportivo La Coruna itu.

Seperti yang selalu diperkatakan, walaupun kudratnya gagal dimanfaatkan sehabis mungkin, Juan Carlos Valeron tetap menjadi salah seorang artis seni terbaik yang pernah mewarnai dunia bola sepak di zamannya.

Baca yang lain