Julung Kalinya, Harga Minyak AS Negatif — Bagaimana Boleh Terjadi?

Harga minyak mentah di Amerika Syarikat telah menjunam sekali lagi hingga mencapai nilai negatif untuk pertama kalinya dalam sejarah.

Perkara ini berlaku kerana tidak ada permintaan ke atas minyak mentah ketika krisis kesihatan yang melanda dunia pada ketika ini.

Kontrak perdagangan bulan Mei untuk West Texas Intermediate ditutup pada angka -US$37.63 per barel.

Ini bermakna, pedagang minyak yang membayar kepada pembeli yang sedia untuk mengambil minyak daripada mereka.

Ini kerana mereka khuatir minyak tersebut tidak dapat disimpan terlalu lalu di dalam simpanan mereka.

Harga minyak di Eropah juga turun, meskipun tidak sampai ke level negatif, akibat pengeluaran yang masih berlanjutan dan jauh melampaui permintaan yang terus berkurangan.

Sebelum ini pakar ekonomi berpendapat harga minyak yang susut ketika ini adalah kerana virus cov19 menyerang ekonomi di China dan impaknya yang terus merebak di seluruh dunia sehingga kini.

Analisis pakar Malaysia

Sebelum ini, Profesor Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, situasi krisis kesihatan ketika ini telah menyebabkan permintaan minyak dunia mengalami kejatuhan yang teruk

“Permintaan minyak global telah terjejas oleh krisis kesihatan global dan banyak negara mengambil keputusan untuk menyekat perjalanan udara, malah penduduk dunia juga memilih untuk tidak mengembara.

“Kejatuhan harga minyak mungkin bagus bagi pengguna, namun kesan kepada kerajaan adalah sebaliknya kerana ia akan mengurangkan lagi pendapatan kerajaan,” katanya.

Buat masa ini, tiada penyelesaian yang mudah untuk perkara ini. Secara asasnya, cara untuk mengatasi masalah ini adalah meningkatkan semula permintaan ataupun menurunkan pengeluaran dan penawaran.

Tetapi perkara itu kelihatan sangat sukar untuk berlaku. Ini kerana permintaan ketika ini tersangat rendah. Industri seperti penerbangan tidak banyak menggunakan minyak.

Seterusnya, orang awam tidak banyak bergerak dengan kereta kerana lockdown yang melibatkan berbillion manusia di dunia.

Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan berkata, faktor terbesar yang memberi kesan ke atas pasaran minyak bagi 2020 adalah kerana usaha mengekang penyebaran pandemik menyebabkan aktiviti ekonomi dunia terganggu.

Ini telah mengakibatkan permintaan minyak jatuh teruk.

“Tempoh cov19 akan mempunyai implikasi yang besar ke atas tahap penggunaan global, dan ketidakpastian dalam permintaan ini akan terus menyeret harga minyak,” kata beliau kepada Bernama.

Beliau berkata, output akan terus kekal melebihi tahap permintaan walaupun perang harga di antara Arab Saudi dan Rusia akan berakhir jika pengurangan pengeluaran ini secara rasminya, dimulakan pada bulan depan.

Malahan, darurat kesihatan global dijangka akan terus menghakis permintaan global dengan anggaran 20 juta hingga 30 juta tong sehari (bbl) sekurang-kurangnya untuk bulan ini, dan trajektorinya akan bergantung kepada kepantasan ekonomi utama untuk pulih.

Oleh itu, Tan menjangkakan pada niaga hadapan Brent akan kekal terbenam di bawah wilayah AS$40 setong, walaupun selepas pemotongan bekalan dimulakan.

Ini disebabkan keadaan yang masih tidak menentu terus menguasai naratif ke atas sentimen pasaran.

“Kenaikan dalam harga minyak hanya boleh berlaku selepas adanya tanda-tanda kestabilan dalam aspek kesihatan dan pembukaan semula sekatan oleh ekonomi utama,” katanya.

Beliau juga membayangkan jika pandemik/wabak kembali menjadi ancaman dan ekonomi utama terpaksa mengetatkan semula langkah sekatan, harga minyak Brent boleh menjunam ke tahap terendah dalam 18 tahun.

Ini yang menyebabkan banyak pelabur mempertikaikan keberkesanan langkah pemotongan bekalan oleh OPEC+.

Ahad lalu, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pengeluar lain termasuk Rusia, serta kumpulan yang dikenali sebagai OPEC+ bersetuju mengurangkan pengeluaran sebanyak 15 juta tong sehari untuk April.

Mereka akan melaksanakan pemotongan antara 10 juta bbl dan 12 juta bbl bagi Mei dan Jun, sebelum dikurangkan kepada 8 juta bbl dari Julai hingga akhir 2020.

Penurunan yang dirancang ini dan cuba untuk dikekalkan kepada enam juta bbl mulai Januari 2021 hingga April 2021.

“Akhirnya mereka bersatu dalam tindakan tetapi mungkin terlalu lambat.”

“Pemotongan bekalan belum mencukupi bagi mengimbangi kerugian yang teruk dalam penggunaan,” menurut Ahli Ekonomi OCBC Bank, Howie Lee.

Bagaimanapun, beliau berkata, harga mungkin lebih tinggi walaupun dengan ketidakseimbangan bekalan yang sama jika OPEC+ berganding bahu sebelum ini, dan mengelakkan perang harga.

“Selepas menyaksikan pasaran melalui fasa tidak seimbang seperti ini, sudah pasti sukar untuk peniaga fizikal kembali berprestasi, memandangkan apa yang mereka terpaksa lalui pada bulan sebelumnya.”

Itulah kisah harga minyak dunia yang ketika ini berhadapan dengan krisis permintaan yang sangat teruk.

Ramai pakar berharap perkara ini akan dipulihkan segera kerana ianya memberikan banyak impak dan kesan kepada ekonomi negara.

Mereka juga berharap, krisis kesihatan global hari ini akan cepat berlalu untuk mengembalikan semula nilai pasaran minyak mentah global.

Rujukan: Al Jazeera / Bernama

Baca yang lain

Real Madrid Pantau Trent Alexander Arnold

Fabrizio Ronano melaporkan bahawa Real Madrid memantau secara dekat perkembangan kontrak Trent Alexander Arnold kerana kelab itu berminat mahu mendapatkannya. Kontrak semasa

Buffon Mahu Saiz Tiang Gol Ditambah

Bekas pemain Juventus dan Itali yang berstatus legenda dunia, Gianluigi Buffon pernah menyatakan pandangannya agar saiz tiang gol yang ada ditambah lagi.