Jurrien Timber Cedera Lagi

Pemain pertahanan Arsenal, Jurrien Timber menghabiskan kebanyakan masanya di bilik rawatan pada musim lalu. Dia ketika itu mengalami kecederaan lutut yang serius ketika aksi pertama bersama Arsenal untuk musim 2023/24.

Dia diketepikan untuk sepanjang musim lalu. Dan dia kembali beraksi bersama skuad B-21 Arsenal pada April dan Mei sebagai prosedur kecergasan sebelum dia kembali ke pasukan utama.

Dan kini dia mengalami satu lagi kecederaan. Kecederaan itu berlaku ketika persiapan aksi pra musim Arsenal vs Bayer Leverkusen di Emirates.

Cuma yang sedikit melegakan adalah kecederaan tersebut tidak berkaitan dengan kecederaan lutut dia musim lalu.

Timber masih dalam pemantauan doktor yang mahu tahu tahap kecergasan sebenar pemain itu. Dan dijangka, dia mungkin akan terlepas aksi persahabatan menentang Lyon selepas ini.

Timber sebelum ini beraksi dengan sangat cemerlang ketika aksi pra musim di AS. Membuatkan peminat memujinya dan merasakan dia ibarat pemain baharu dibeli.

Tetapi dia mengalami kecederaan ketika persiapan menentang Bayer Leverkusen dipercayai di bahagian ototnya – di mana dia tak terlibat dalam perlawanan tersebut. Malah laporan yang sama menyebut bahawa, pemain itu tidak pasti akan boleh beraksi pada aksi pembukaan menentang Wolves. Di mana dia harus berlumba dengan waktu untuk mengejar tahap kecergasan yang diperlukan.

Namun Mikel Arteta optimis bahawa dia masih melihat ada sinar harapan bahawa pemain itu akan kembali beraksi menentang Lyon.

Pada Februari lalu, Timber bercakap kepada pasukan media Arsenal, bahawa kecederaan yang dia alami menjadikan dia semakin kuat untuk musim baharu.

Dia ketika itu berkata: “Sudah tentu, pada satu tahap ianya behar benar sukar. Kerana kamu tidak bermain dan melakukan perkara yang kamu suka. Namun saya jadikan itu motivasi sepanjang saya menjalani proses pemulihan.

“Saya menonton aksi pemain pemain lain dengan banyak, dan melihat mereka berlatih juga. Itu memberikan saya semangat.

“Walaupun saya tak dapat bermain, namun saya mengambil apa yang berlaku ini sebagai motivasi untuk menjadi lebih kuat secara mental dan fizikal dan dapat merasakan bahawa saya ibarat di rumah sendiri apabila bersama dengan rakan rakan di sini. Saya gunakan kesempatan ini sebaiknya.

“Saya lebih banyak masa menonton pasukan beraksi, melihat cara kami bermain. Dan melihat bagaimana saya boleh menyesuaikan diri dengan pasukan apabila saya cergas kelak. Saya rasa, saya banyak berfikir.”

Jurrien Timber menyertai Arsenal dari Ajax musim lalu. Dia menjadi rebutan beberapa kelab lain termasuk Man United yang berminat mendapatkan pemain itu, kerana Erik Ten Hag.

Timber akhirnya memutuskan untuk menyertai Arsenal. Kerana dia lebih yakin dengan projek Mikel Arteta.