Juventus Berdepan Risiko Muflis Dan Dilarang Beraksi Di UCL Kerana Menipu Dalam Laporan Kewangan

Juventus benar benar dalam masalah besar pada ketika ini. Pemilik pemilik saham kelab telah mengadakan mesyuarat tergempar sekali lagi membincangkan masalah yang melanda kelab itu.

Sebelum ini kesemua ahli lembaga pengarah kelab telah meletakkan jawatan berikutan siasatan ke atas kelab atas tuduhan penipuan dalam laporan akaun melibatkan aktiviti perpindahan dan pinjaman pemain.

Seramai 15 individu telah dikenakan pertuduhan atas pelbagai kesalahan.

Pada minggu lalu, Juventus melaporkan kerugian yang dialami kelab untuk musim 2021/22 adalah sebanyak €239.3 juta. Ia adalah tahun kewangan kelima berturut turut kelab mengalami kerugian dan akaun mereka dalam keadaan ‘merah’.

Juventus disenaraikan dalam bursa saham di Itali pada September lalu, selepas kelab menanggung kerugian sekitar €254 juta.

Pada 23 November kesemua ahli lembaga pengarah sepatutnya mengadakan mesyuarat, tetapi seminggu sebelum itu kesemua mereka telah meletak jawatan.

Pengerusi kelab, Andrea Agnelli antara yang turut meletakkan jawatan. Membuatkan dia dalam proses menamatkan pemilikan keluarganya selama 12 tahun di kelab itu yang telah membangkitkan semula kelab Juventus selepas skandal Calciopolli.

Juventus menjadi kuasa bola sepak Itali sekali lagi dan memenangi kejuaraan Serie A sebanyak 9 kali berturut turut sehingga 2021.

Juventus berbelanja tak ingat dunia pada masa itu dengan membeli Cristiano Ronaldo dari Real Madrid dengan nilai €100 juta.

Projek yang kemudian dianggap gagal kerana Juventus gagal memenangi sebarang UCL ketika Ronaldo di sana, walaupun pemain itu menjaringkan gol yang banyak untuk mereka.

Agnelli pernah mengakui mereka tidak akan membeli Ronaldo jika hanya mensasarkan kejuaraan domestik. Kerana pemain yang mereka miliki ketika itu sudah cukup bagus untuk melakukannya.

Dari sudut kewangan mereka menanggung akibat yang besar dengan kegagalan menjuarai UCL serta impak daripada pandemik selepas itu.

Juventus menanggung kesan dari segi bil gaji pemain yang melambung tinggi. Sedangkan nilai komersial Liga Itali tidak sebesar di EPL sekalipun.

Beberapa pemain senior Juventus seperti Chiellini menyatakan bahawa, pembelian Ronaldo telah membuatkan kelab lari daripada hala tuju mereka. Meninggalkan falsafah bola sepak dan pemain seperti Dybala terkena impak daripada perkara itu.

Ronaldo terpaksa dijual ke Manchester United.

AFP melaporkan bahawa Juventus telah membuatkan nilai pasaran perpindahan pemain di Serie A melambung tinggi ataupun berdepan inflasi.

Juventus kemudian merayu para pemain mereka agar menerima pemotongan gaji ketika pandemik. Dan mereka mengumumkan kelab berjaya menjimatkan €90 juta daripada persetujuan dengan pemain untuk pemotongan dan penangguhan gaji pada Mac sehingga Jun 2020.

Namun pendakwaraya menyatakan angka itu tidak tepat. Mereka cuma mampu menjimatkan €22 juta sahaja daripada langkah itu. Sekaligus dakwaan dikenakan ke atas Juventus sebagai mengemukakan laporan kewangan palsu.

Beqberapa minggu lalu, ejen kepada Cristiano Ronaldo mendesak Juventus menyelesaikan tunggakan gaji pemain itu walaupun dia sudah bertahun tahun meninggalkan Juventus.

Para pemilik saham dijadualkan akan bermesyuarat sekali lagi pada 18 Januar hadapan untuk melantik ahli lembaga pengarah baharu. Mesyuarat akan dipengerusikan oleh ketua jenama Lavazza iaitu John Elkann yang merupakan sepupu kepada Agnelli.

Pendengaran sebutan kes salah laku Juventus akan dibuat bulan depan. Dan akan menentukan sama ada pesalah akan diheret ke muka pengadilan untuk dibicarakan di mahkamah.

Masalah di luar padang ini benar benar mempengaruhi prestasi Juventus di atas padang secara tidak langsung.

Mereka disingkirkan dari peringkat kumpulan dalam UCL selepas hanya mampu mengutip 3 mata.

Dalam saingan Serie A, Juventus kini berada 10 mata di belakang pendahulu.

Max Allegri sebelum ini diberikan tekanan yang kuat agar dia dipecat selepas kegagalan Juve layak ke pusingan kalah mati UCL. Namun lembaga pengarah kelab akan membayar pampasan €25 juta yang dianggap sangat tinggi untuk situasi kewangan Juventus sekarang.

Juventus dikaitkan dengan nama seperti Zidane dan Tuchel untuk menggantikan Allegri. Tetapi kelab memutuskan untuk kekal dengan Allegri yang ternyata sudah berjaya mencipta keputusan lebih baik dalam bulan terakhir sebelum Piala Dunia, yang membantu Juve naik sehingga ke tangga ketiga.

Andrea Agnelli kini dalam masalah besar kerana dia berdepan siasatan daripada UEFA.

Sebelum ini UEFA turut bertelagah dengan Agnelli kerana pendiriannya untuk mendirikan Liga Super Eropah bersama dengan Real Madrid dan Barcelona.

3 kelab tersebut dikatakan masih utuh dengan pendirian untuk mendirikan Liga Super Eropah dan mencabar UEFA di mahkamah.

Dengan segala masalah yang melanda Juventus ketika ini, impak paling teruk yang akan ditanggung mereka adalah kesan disingkirkan daripada Serie A ataupun larangan bermain di pentas Eropah.

Jika itu berlaku, Juventus akan terjerumus semula ke zaman gelap mereka, ketika mereka disingkirkan ke Serie C kerana skandal Calciopolli satu ketika dahulu. Namun ramai yakin Juventus akan dapat mengelak perkara itu.

Ini kerana Agnelli antara pemilik kelab terkaya di dunia. Namun peraturan UEFA melarang sama sekali pemilik kelab menyuntik dana peribadi sesuka hati ke dalam akaun kelab bagi menjaga kesaksamaan had FFP.

Baca yang lain