Juventus Ditolak 15 Mata

Juventus baru sahaja mendapatkan prestasi mereka dan naik sehingga ke 3 teratas dalam beberapa bulan ini. Namun kini mereka berdepan dengan hukuman berat daripada FIGC.

Juventus diarahkan dipotong 15 mata serta merta pada musim ini dalam Serie A.

Ini kerana mereka didapati melakukan salah laku dalam perpindahan pemain. Kes tersebut disiasat oleh pejabat pendakwaraya Itali.

Agnelli antara pemilik kelab terkaya di dunia. Namun peraturan UEFA melarang sama sekali pemilik kelab menyuntik dana peribadi sesuka hati ke dalam akaun kelab bagi menjaga kesaksamaan had FFP.

Juventus dilaporkan telah memalsukan angka perpindahan sebenar pemain dan juga gaji beberapa pemain.

Ini untuk mengaburi pihak berkuasa dan FIGC agar mereka tidak kantoi ada masalah pada kewangan kelab.

Juventus menanggung kesan dari segi bil gaji pemain yang melambung tinggi. Sedangkan nilai komersial Liga Itali tidak sebesar di EPL sekalipun.

Beberapa pemain senior Juventus seperti Chiellini menyatakan bahawa, pembelian Ronaldo telah membuatkan kelab lari daripada hala tuju mereka. Meninggalkan falsafah bola sepak dan pemain seperti Dybala terkena impak daripada perkara itu.

Ronaldo terpaksa dijual ke Manchester United.

AFP melaporkan bahawa Juventus telah membuatkan nilai pasaran perpindahan pemain di Serie A melambung tinggi ataupun berdepan inflasi.

Juventus kemudian merayu para pemain mereka agar menerima pemotongan gaji ketika pandemik. Dan mereka mengumumkan kelab berjaya menjimatkan €90 juta daripada persetujuan dengan pemain untuk pemotongan dan penangguhan gaji pada Mac sehingga Jun 2020.

Namun pendakwaraya menyatakan angka itu tidak tepat. Mereka cuma mampu menjimatkan €22 juta sahaja daripada langkah itu. Sekaligus dakwaan dikenakan ke atas Juventus sebagai mengemukakan laporan kewangan palsu.

Beberapa bulan lalu, ejen kepada Cristiano Ronaldo mendesak Juventus menyelesaikan tunggakan gaji pemain itu walaupun dia sudah bertahun tahun meninggalkan Juventus.

Keputusan penghakiman ini lebih berat daripada hukuman yang dicadangkan oleh pihak pendakwaraya sebelum ini yang meminta hukuman potong 9 mata.

Dengan 20 perlawanan lagi berbaki musim ini, Juventus yang sepatutnya berada di tangga ketiga, 10 mata di belakang pasukan pendahulu liga Napoli.

Dengan penolakan 15 mata ini Juventus kini di tangga ke-10 di luar slot Eropah, ataupun di luar slot Piala Konfederasi Eropah.

Dalam kenyataan yang sama mahkamah mendedahkan bahawa 11 orang lembaga pengarah terdiri daripada ahli lembaga pengarah sebelum ini dan yang ada ketika ini turut dikenakan penggantungan daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 24 bulan.

Ini termasuk Andrea Agnelli yang merupakan ketua pengarah. Agnelli sebelum ini telah meletakkan jawatannya sebagai pengerusi kelab pada November 2022.

Hukuman lebih berat dikenakan ke atas bekas pengarah sukan Juventus, Fabio Paratici yang kini menjadi pengarah sukan di Tottenham. Paratici digantung 30 bulan.

Juventus bertekad akan melakukan rayuan dan membantah keputusan mahkamah. Dalam kenyataan rasmi Juve berkata:

“Kami menganggap ini satu ketidakadilan kepada kelab dan jutaan peminat Juventus. Di mana kami percaya keputusan ini akan diperbaiki pada sidang mahkamah seterusnya.”

Juventus antara kelab yang terus kekal dengan pendirian untuk menubuhkan Liga Super Eropah. Langkah penting dalam usaha kelab mahu mengatasi masalah kewangan mereka.