Al Nassr nampaknya serius mahu terus membina pasukan ketika masih ada Cristiano Ronaldo di kelab itu.
Terbaru, kelab Arab Saudi itu dilaporkan sudah mencapai kesepakatan untuk menandatangani Wojciech Szczesny.
Wojciech Szczesny bakal menyertai Al Nassr dengan kontrak 2 tahun sehingga 2026. Kontrak tersebut bernilai €19 juta / RM96.3 juta semusim tanpa sebarang cukai dikenakan.
Kedua dua kelab masih dalam rundingan untuk yuran perpindahan pemain itu. Wojciech Szczesny merupakan penjaga gol yang sangat berpengalaman dan antara penjaga gol terbaik pada eranya di Eropah.
Perjanjian untuk menyertai Al Nassr itu dijangka akan dapat dimeterai secara rasmi pada minggu ini juga.
Al Nassr musim ini bergelut dalam persaingan domestik dan juga di peringkat Liga Juara Juara Asia.
Al Nassr yang dibarisi bintang seperti Cristiano Ronaldo antara kelab yang berbelanja sangat besar di Arab Saudi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Dan kini mereka mahu menggandingkan semula Wojciech Szczesny dengan Cristiano Ronaldo yang pernah bergandingan di Juventus sebelum ini.
Sebenarnya Wojciech Szczesny masih mahu terus kekal di Juventus. Namun kelab itu sudah menyatakan bahawa dia bukan lagi pilihan utama di kelab itu selepas ini.
Juventus kini dalam proses mendapatkan penjaga gol Monza, Michele Di Gregorio dengan harga €18 juta. Namun Juve hanya akan meneruskan rundingan itu ke fasa akhir selepas mereka berjaya menjual Wojciech Szczesny.
Hal ini kerana Juventus ketika ini masih berhati hati dengan akaun FFP kelab itu.
Kontrak semasa Wojciech Szczesny akan berakhir pada 2025. Dan kelab sedia menjual pemain itu pada harga rahmah asalkan dapat menjual penjaga gol 34 tahun itu.
Wojciech Szczesny bermain 35 perlawanan musim lalu dalam semua pertandingan dan melakukan 15 clean sheets.
Wojciech Szczesny adalah antara nama yang diletakkan oleh pengarah sukan baharu Al Nassr, Fernando Hierro – legenda Real Madrid – sebagai nama untuk menandakan era baharu di Al Nassr.