KAFA Mahu Penaja Baharu Jangan Takut Dengan Hutang Lapuk Lebih RM5 Juta

Persatuan Bola Sepak Kelantan mahu para penaja yang berminat menaja The Red Warriors agar tak risau dengan hutang lama yang membelenggu KAFA.

Ini kerana menurut mereka penaja tidak akan membayar hutang tersebut sebaliknya hanya membayar tajaan pasukan.

Ketika ini hutang lama KAFA adalah dianggarkan sudah lebih RM5 juta.

KAFA mendapat tahu banyak syarikat berminat menaja Kelantan namun risau dengan liabiliti ke atas hutang.

KAFA menegaskan mereka (penaja) akan lepas tangan dalam isu hutang lama itu.

Dipetik daripada Berita Harian, Pengerusi Jawatankuasa Penajaan KAFA, Ahmad Muzakkir berkata: “Beban hutang itu akan ditanggung sepenuhnya 100 peratus oleh KAFA.”

“Tugasan mereka mengurus kewangan pasukan utama sahaja. Penaja utama ini akan membayar segala hal berkaitan pasukan utama sahaja termasuk gaji pemain dan pegawai serta perbelanjaan semasa pasukan,” katanya.

KAFA kini sedang bergelut mencari penaja utama yang baharu. Ini selepas penaja utama sebelum ini iaitu After Image Sdn Bhd menarik diri sebagai rakan kongsi rasmi pasukan, Mei lalu.

Selain daripada itu Muzakkir menjelaskan penaja utama itu nanti akan berada dalam syarikat The Red Warriors Sdn Bhd (TRW).

Sebuah syarikat yang sebelum ini ditubuhkan KAFA untuk mengurus pasukan utama yang beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini.

“Penaja utama akan berada dalam syarikat ini dan penaja utama yang dimaksudkan adalah pemilik saham TRW. Penaja utama kebiasaannya akan memiliki pembahagian saham yang lebih banyak berbanding KAFA atas persetujuan bersama.”

“Segala keuntungan jualan seperti jersi atau kutipan tiket akan diperoleh oleh penaja utama ini dengan pembahagian 70 peratus keuntungan kepada penaja utama dan 30 peratus kepada KAFA atau 80/20 juga atas persetujuan bersama,” katanya.

KAFA kini sukar untuk mendapatkan penaja kerana reputasi mereka sebelum ini.

KAFA berdepan dengan isu tunggakan gaji yang kritikal sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Bahkan ianya seolah olah masalah yang tidak berpenghujung menimpa Persatuan Bola Sepak Kelantan itu,

Dan KAFA berharap mereka akan dapat memperbaiki semula imej mereka di mata penaja.

Oleh sebab itu KAFA mahu para syarikat yang berminat menaja, memahami peranan mereka kelak. Di mana mereka hanya fokus kepada tajaan semasa dan bukannya kepada bebanan hutang yang sebelum ini.

Sumber: BH Online

Baca yang lain