KAFA Tak Jual Nik Akif Dengan Harga RM1 Juta

KOTA BHARU, 19 Ogos — Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak berhasrat “menjual” pemain tengah The Red Warriors (TRW) Nik Akif Syahiran Nik Mat dengan harga RM1 juta, kata Naib Presiden KAFA Ahmad Muzakkir Hamid.

Sebaliknya, beliau berkata hasrat itu merupakan kenyataan peribadi yang dibuat oleh Setiausaha Agung KAFA Husin Deraman.

“KAFA tidak pernah membincangkan perkara tersebut dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif sebelum ini dan tidak mengeluarkan kenyataan itu secara rasmi.

“Segala keputusan berhubung masa depan pasukan akan dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, isu penjualan pemain muda itu mendapat perhatian media dan kritikan daripada bekas pemain Kelantan dan penyokong pasukan itu.

Ahmad Muzakkir berkata apabila kata sepakat sudah dicapai, pihaknya akan mendedahkannya kepada semua pihak termasuk penyokong.

“Saya melihat kenyataan itu lebih bersifat peribadi dan spontan yang dilontarkan oleh beliau (Husin) ketika menjawab persoalan dari pihak pemberita terutamanya berkait masalah hutang semasa TRW,” katanya.

Beliau berkata pihaknya sedang bekerja keras mengumpul dana bagi melangsaikan hutang-hutang lapuk itu.

“Kami berharap penyokong akan terus memberikan sokongan padu kepada KAFA untuk membebaskan TRW daripada belenggu hutang,” katanya.

Akhbar melaporkan Husin menegaskan KAFA sedia melepaskan pemain berjersi No.33 itu ke pasukan baharu dengan nilai RM1 juta bagi melangsaikan hutang lapuk persatuan itu yang difahamkan RM4.6 juta.

— BERNAMA

Baca yang lain

Cafu: ‘Hanya Neymar Yang Ada Magis’

Cafu mempertahankan kualiti Neymar dengan menganggap dalam pasukan Brazil sekarang hanya beliau yang benar benar berkelas dunia. Cafu menganggap adalah tidak adil