Mempersiapkan pemain ketika bulan ramadan adalah satu cabaran kepada para jurulatih. Satu kaedah dan panduan ringkas telah dikeluarkan oleh beberapa institussi dan pusat Sains Sukan.
Salah satu daripadanya adalah kajian oleh pusat Sains Sukan Taylor Francis Institute, Mereka membandingkan kemampuan pemain yang berpuasa dengan pemain yang tidak berpuasa. Para pemain ini diberikan makanan seperti biasa yang mereka makan ketika latihan biasa. Cuma untuk yang berpuasa mereka diberikan ketika sahur.
Para pemain memberikan rekod jam tidur, ‘mood’ serta persiapan mereka sebelum perlawanan. Seterusnya, ketika ujian dijalankan, para pemain juga akan diteliti dari segi fokus mereka di atas padang.
Mereka berlatih dalam masa seminggu seperti biasa dengan pemain yang tidak berpuasa. Hasil daripada kajian mereka mendapati: Pemain yang berpuasa akan berlari lebih rendah di atas padang. Untuk larian kadar rendah ataupun jogging, berlaku penurunan sekitar 5.8% daripada pemain yang tidak berpuasa.
Manakala untuk larian sederhana laju sekitar, mereka akan akan 12% lebih rendah daripada pemain yang tidak berpuasa.
Sementara untuk ujian larian pada kadar sangat laju, para pemain menunjukkan rekod lebih rendah sekitar 20.1% berbanding dengan pemain yang berpuasa.
Kajian NCBI
Satu lagi kajian oleh US National Library of Medicine National Institutes of Health (NCBI), turut menjalankan kajian tentang impak puasa kepada pemain bola sepak. Namun mereka menggunakan data lebih lengkap dengan kajian menggunakan 55 pemain profesional Algeria. Kajian ini dilakukan di Algeria pada tahun 2004.
Hasil daripada kajian mereka mendapai kelajuan, kelincahan, kepantasan menggelecek dan ketahanan pemain semuanya akan menjadi lebih rendah. Hampir 70% pemain berhadapan dengan impak yang krtitikal.
Hasil daripada kajian mereka mendapati, semua ini berlaku kerana pemain terpaksa mengubah jadual tidur mereka berbanding dengan jadual makan.
Pemain profesional biasanya tidur awal. Pada bulan ramadan mereka akan bangun awal pagi sebelum matahari terbit untuk bersahur. Jadi para pemain seharusnya tidur awal selepas berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih. Ini yang sekelompok pemain selalu gagal buat. Ia terpulang kepada disiplin masing masing.
Seterusnya NCBI mendapati ramai pemain mulai mengambil makanan yang tidak sepatutnya diambil terutama sekali makanan yang berlebihan gula kerana budaya. Ini antara punca stamina mereka terkesan.
Badan pemain profesional sangat sensitif untuk bertindak balas ke atas perkara seperti ini.
Kesan yang turut menimpa adalah kepada fisiologi serta impak kepada hormon, metabolisme serta kelakuan para pemain.
Hal ini kerana para pemain biasanya akan mengurangkan aktiviti fizikal. Ia memberikan kesan kepada kadar denyutan jantung mereka. Ini kerana bola sepak sukan yang memerlukan para pemain sentiasa bersedia untuk melakukan kerja secara intensif.
Ujian di atas padang dilakukan 2 hari selepas perlawanan. Fokus diberikan kepada keupayaan pemain bergerak dan melompat. Ujian lain termasuk ujian 4 garisan, ujian gelecekan untuk menguji tahap skil mereka.
Ujian pecutan dibuat bagi jarak 20 meter untuk setiap 5 minit. Rekod mereka akan dibandingkan di antara; rekod 2 minggu selepas berpuasa, pada akhir bulan puasa dengan 2 minggu sebelum berpuasa.
Daripada 55 pemain ini, 48 berhadapan dengan isu kecederaan dan kesakitan. Namun mereka mendapati berat badan pemain tidak meningkat kerana berpuasa. Itu sudah dijangka.
Hasil daripada kajian mereka mendapati, 2 minggu selepas berpuasa, para pemain-pemain ini mulai menuju ke arah prestasi terbaik mereka. Ini kerana pemain mulai mendisiplinkan diri mereka dengan rutin baharu yang disarankan kejurulatihan mereka.
Ini pula soalan yang ditanya kepada para pemain tersebut berkenaan dengan rutin harian mereka.
Data data di atas ini amat penting untuk pasukan yang mengendalikan pemain berpuasa. Kerana mereka perlu menjangkakan impak seperti di atas. Dan mencari formula untuk mengatasinya. Ini melibatkan kejurulatihan, pakar nutrisi dan pemain itu sendiri.
Para pemain sendiri mengakui ada merasa impak yang ketara ketika bulan puasa.
Seterusnya mereka turut mengakui tabiat buruk pemain sendiri yang mengambil makanan lewat malam selepas mereka berbuka puasa antara sebab mereka bergelut dengan kecergasan.
Ada ramai pemain bersosial pada bulan ramadan untuk bertemu dengan rakan-rakan mereka dan melepak sehingga ke lewat malam. Untuk kes lebih teruk ada yang terus lajak ke sahur.
Paling mengejutkan, ramai pemain ini mengambil banyak minuman ringan dan bergula ketika bulan puasa. Ini mungkin kerana mereka tidak dipantau dengan teliti pada bulan ramadan. Dalam erti kata lain, kelab berikan mereka peluang untuk lebih sosial. Namun ramai yang terlebih guna kebebasan itu.
NCBI juga menasihatkan agar petugas kesihatan pasukan supaya sentiasa berhubung dengan pemain kerana ada sesetengah pemain menyembunyikan kesakitan dan perubahan fizikal mereka.
Impak yang ketara
Daripada 2 kajian ini mendapati impak bulan puasa sangat mencabar kepada para pemain. Namun ramai pemain profesional tetap berpuasa kerana ianya soal kewajiban dan rukun agama.
Kajian ini telah banyak digunakan oleh jurulatih lain supaya mereka mencari kaedah untuk membolehkan para pemain mereka berpuasa.
Pada 2017, BBC telah mengeluarkan satu artikel berkenaan dengan cara pegawai pasukan Palestine dan Oman juga telah mengubah beberapa rutin latihan dan juga diet yang melibatkan para pemain. Ini kerana pemain-pemain kini ada jadual makan yang berbeza.
Pegawai Fisioterapi Palestine, Bader Agel berkata:
“Kami menasihatkan pemain agar minum sekurang-kurangnya 3 liter air ketika berbuka puasa. Ini untuk mengelakkan para pemain dari dehidrasi ketika bermain bola sepak.”
“Jika pada bulan biasa, para pemain dibekalkan dengan buffet yang kami sediakan. Tetapi pada bulan puasa, kami terpaksa mengambil inisiatif untuk memantau pemakanan para pemain seorang demi seorang.”
“Kami memberikan mereka satu set pinggan khas untuk mengelakkan mereka daripada terlebih makan.”
“Para pemain diberikan jumlah kabohidrat dengan memakan nasi pada paras yang sepatutnya. Seterusnya adalah pemberian protein dengan sayur-sayuran hijau atau salad yang secukupnya.”
Beliau juga memberitahu yang para pemain akan diarahkan untuk masuk ke gym satu jam sebelum iftar. Mereka akan diarahkan untuk makan serta merta sebaik sahaja masuk waktu iftar.
Ini untuk merangsang proses metabolisma di dalam badan mereka. Tambah beliau lagi: “Paling penting kami tidak mahu mereka terlalu malas sepanjang hari berpuasa.”
“Kami mahu mereka untuk mengelak daripada tidur berlebihan. Dan itulah masalah paling biasa para pemain pada bulan puasa.”
Palestine biasanya mengadakan latihan persedian pada 11 malam. Ianya selepas para pemain kembali semula ke hotel dan melalui proses mandi ais. Selepas latihan mereka akan diberikan makanan sahur pada pukul 2.45 pagi.
Ini bagi mengelakkan impak para pemain bangun pagi dan terus makan.
Perubahan rutin
Bekas jurulatih B-23 tahun Maghribi, Pim Verbeek juga melalui cabaran yang sama dalam menguruskan pasukan beliau sepanjang bulan Ramadan. Mereka akan mengubah bebanan pada latihan.
Beliau berkata: “Sudah pastinya ia akan berbeza dengan hari-hari pada bulan yang lain. Ini kerana, dalam bulan Ramadan, pasukan anda hanya akan berlatih sekali sehari. Pada kebiasaannya mereka akan berlatih 2 kali sehari.”
“Sesi latihan pada sebelah malam kami perlu dirancang sebaiknya. Kami perlu menyimpan tenaga untuk hari perlawanan.”
Kapten legenda Oman, Ali Al-Habsi – setuju dengan sepak mula yang lewat pada bulan Ramadan. Ini kerana, ia memberikan banyak ruang kepada badan mereka lebih rehat dan mencerna selepas berpuasa seharian.
Rumusan
Rumusannya, para pemain yang berpuasa akan menunjukkan rekod aktiviti fizikal yang lebih rendah berbanding dengan pemain yang tidak berpuasa. Bekas pemain antarabangsa Mesir, Abdel Zaher El Saqqa menyatakan bahawa, tidak ada konflik langsung antara bola sepak dengan agama.
Beliau menyatakan, prestasi beliau di atas padang sama sahaja dengan ketika waktu tak berpuasa.
Jadi, untuk mengendalikan pemain yang berpuasa, staf kejurulatihan tidak digalakkan untuk menggunakan kaedah diet ataupun latihan yang sama dengan pemain yang berpuasa.
Seterusnya, para pemain perlu berdisiplin ketika bulan puasa dan sentiasa merujuk kepada pakar kelab masing-masing berkaitan dengan pemakanan dan aktiviti seharian.
Para staf kejurulatihan pula pastinya perlu sentiasa bersiap sedia dan menyediakan jadual latihan yang terbaik bagi memastikan para pemain dapat bermain dengan prestasi terbaik yang mereka mampu pada bulan puasa.
Pada akhirnya, pengurusan pasukan di Arab Saudi pernah menyatakan bahawa, puasa merupakan perkara yang dihadapi oleh mereka setiap tahun, maka tiada alasan mereka tidak boleh mengendalikan pasukan termasuk pemain itu sendiri.
Itu juga peluang setiap pegawai kesihatan dan pemakanan pasukan untuk terus belajar bagi menyumbang kepada pengurusan pemain puasa yang lebih baik.
Seterusnya niat puasa pemain itu sendiri, akan membentuk mentaliti dan disiplin dalam diri mereka dalam usaha mereka menyeimbangkan kewajiban tuntutan agama dengan kesihatan fizikal mereka beraksi secara intensifi di atas padang.
Seterusnya, budaya juga memainkan peranan. Misalnya di negara Arab, ramai pemain mereka sukakan makanan manis dan berminyak pada bulan ramadan.
Intergriti paling penting. Jurulatih tidak akan memantau pemain 24 jam. Mereka sendiri perlu jujur dalam mengawal tabiat pemakanan demi kebaikan mereka sendiri terlebih dahulu.
Jadi, kebanyakan impak yang ketara itu berlaku kerana pemain tidak cukup disiplin pada bulan ramadan dalam mengikuti rutin yang disarankan jurulatih. Ianya langsung tidak menyebut tentang kelaparan. Sebaliknya lebih menyebut tentang terlebih makan makanan tidak sihat atau ringan.
Setiap pasukan juga harus memperkemaskan barisan kejurulatihan mereka dengan ilmu pengendalian pemain berpuasa yang cukup bagus. Ini untuk memastikan pemain dapat menjalani ibadat mereka pada masa yang sama dapat mengekalkan prestasi terbaik di atas padang.
Misalnya Karim Benzema, Sadio Mane, Mohamed Salah, Paul Pogba dan Rudiger, antara pemain yang berpuasa. Dan mereka masih berada di tahap kecergasan tertinggi walaupun berpuasa. Ini kerana disiplin mereka dan sudah terbiasa dengan perubahan rutin pada bulan ramadan.