Satu kajian menunjukkan bahawa pengadil yang lebih pendek akan lebih tegas kepada pemain lebih tinggi daripada mereka.
Ini disebut sebagai Napoleon Effect atau Sindrom Napoleon. Kajian yang dibuat oleh pakar dari Jerman dan Austria tersebut menyatakan pengadil yang pendek ini akan dipengaruhi oleh minda separa sedar mereka dalam membuat keputusan berdepan dengan pemain lebih tinggi.
Semakin tinggi pemain itu daripada mereka semakin tegas tindakan pengadil untuk mengenakan hukuman ke atas mereka.
Mario Lackner yang mengetuai kajian ini berkata: “Pengadil lebih pendek daripada pemain akan lebih cepat menghukum pemain. Dan mereka lebih tegas kepada pemain yang lebih tinggi berbanding pemain yang sama tinggi atau lebih rendah daripada mereka – atas darjah kesalahan hampir sama.
“7% sehingga 10% lebih tinggi peluang pengadil memberikan sepakan penalti jika pengadil itu lebih pendek kira kira 25 sentimeter atau lebih – berbanding pemain yang melakukan kesalahan.”
Analisis dibuat berdasarkan lebih 2,340 perlawanan Bundesliga dari tahun 2014 – 2021 oleh Lackner bersama dengan 2 lagi pengkaji.
Menurut Lackner, mereka membandingkan pengadilan ke atas pemain pemain yang melakukan kesalahan hampir sama. Kajian turut melibatkan seorang pemain yang sama berdepan dengan pengadil daripada ketinggian berbeza.
Data turut mengandungi hukuman yang dikenakan pengadil berbeza. Dan rumusannya, menujukkan rata rata pengadil akan lebih tegas ke atas pemain lebih tinggi daripada mereka.
Lackner menambah: “Menurut pakar psikologi, ini berlaku kerana orang yang lebih pendek mahu menunjukkan kuasa mereka dengan memberikan penalti ini. Kami ada lampirkan beberapa bukti dalam kajian kami.
“Ini bukan perkara yang mengejutkan kerana sebelum ini sudah ada kajian tentang pemain yang lebih tinggi akan bertindak lebih agresif ke atas pengadil yang lebih pendek daripada mereka.
“Hasil kajian terbaru ini menunjukkan juga bagaimana kadar perbezaan ketinggian pengadil dengan pemain boleh mempengaruhi keputusan ini. Pemaing lebih tinggi akan lebih mudah mendapat kad kuning atau merah berbanding pemain lebih kecil saiznya.
“Sebagai perbandingan pengadil yang lebih tinggi akan lebih tenang dalam pengadilan mereka atau dalam memberikan hukuman dan kurang memberikan penalti. Kajian ini menunjukkan ada perkadaran songsang dalam sindrom Napoleon ini.
“Kadar hukuman pengadil ke atas pemain lebih pendek daripada mereka kurang 16% berbanding pemain yang hampir sama tinggi dengan mereka.
Lackner menyebut bahawa Bundesliga menjadi cabaran kepada pengadil kerana purata ketinggian pemain mereka adalah 1.84m. Ia dianggap tinggi. Sebagai rekod purata ketinggian lelaki di Jerman adalah sekitar 1.81 meter.
Deniz Aytekin merupakan salah seorang pengadil paling tinggi di Bundesliga dengan ketinggian 1.97 meter.
Lackner juga yakin bahawa perkara yang sama turut berlaku di luar Jerman dan di peringkat antarabangsa.
Dia merumuskan: “Hakikatnya, ketinggian memang mempengaruhi seseorang dalam kehidupan seharian mereka. Di mana setiap orang pasti ada rasa prejudis ke atas orang lain.
“Sebagai contoh, apabila tiba kepada hukuman oleh polis di mahkamah, kajian sebelum ini berkali kali menunjukkan bahawa, penampilan, gender, bangsa, berat dan tinggi akan mempengaruhi proses itu. Walaupun ia tidak sepatutnya mempengaruhi persepsi kita tentang orang lain.”