Harapan AC Milan untuk beraksi di pentas Eropah musim depan musnah selepas tewas 1-3 kepada AS Roma dalam aksi Serie A, awal pagi tadi. Kekalahan itu memastikan skuad kendalian Sergio Conceicao kekal di tangga kesembilan dengan 60 mata, lima mata di belakang Lazio yang menghuni tangga keenam – kedudukan terakhir untuk kelayakan ke Eropah.
Dalam perlawanan di Stadio Olimpico, tuan rumah membuka jaringan seawal minit ke-10 menerusi Gianluca Mancini. Situasi bertambah buruk buat Milan apabila penyerang Santiago Gimenez dilayangkan kad merah pada minit ke-30, memaksa mereka beraksi dengan 10 pemain.
Joao Felix sempat menyamakan kedudukan sebelum rehat, namun dua gol daripada Leandro Paredes dan Bryan Cristante pada babak kedua memastikan kemenangan Roma.
Ketiadaan Milan dalam aksi Liga Juara-Juara, Liga Europa mahupun Liga Konferens musim depan menandakan musim yang mengecewakan buat Rossoneri. Sebelum ini, mereka turut gagal meraih trofi Coppa Italia selepas tewas tipis 0-1 kepada Bologna dalam perlawanan akhir.
Secara keseluruhan, Milan mencatat 17 kemenangan, 9 seri dan 11 kekalahan dalam 37 perlawanan liga – satu pencapaian yang jauh dari jangkaan kelab berstatus gergasi Itali itu.
Pengendali pasukan, Sergio Conceicao, mengakui musim ini penuh cabaran dan menyeru skuadnya untuk bersatu dan bertanggungjawab dalam menghadapi masa depan.
Peminat juga mulai bimbang dengan beberapa pemain bintang mereka yang mungkin akan dipancing kelab gergasi eropah yang lain. Ini kerana ketika ini pemilik AC Milan dianggap mengecewakan dan teruk.