‘Kalau Layak Ke UCL, Bukan Kami Boleh Menang Pun, Baik Main UEL’

Jose Mourinho berkata dia “tidak boleh bercakap” mengenai keputusan pengadil yang dia rasa menyebabkan Fenerbahce keluar dari Liga Juara-Juara.

Dia mengulangi ayat tersebut setelah beberapa tahun lalu menggunakannya dan menjadi meme.

Mourinho mahu peminat Fenerbahce melihat penyingkiran dari peringkat kelayakan ini dari sudut positif. Kerana menurutnya, mustahil untuk kelab seperti Fenerbahce boleh mara ke final UCL apatah lagi mahu memenanginya.

Namun dia percaya pasukannya boleh pergi jauh dalam Liga Europa, jika standard pengadil bertambah lebih baik.

Peluang Fenerbahce untuk mara ke Liga Juara-Juara Eropah ditamatkan pada hari Selasa dengan penalti minit ke-118 diberikan kepada lawan Lille untuk bola terkena tangan berikutan pemeriksaan video pembantu pengadil (VAR).

Jonathan David menyempurnakan sepakan itu untuk menjadikan kedudukan 1-1 pada malam itu dan memberikan kemenangan agregat 3-2 kepada Lille pada pusingan kelayakan ketiga.

Ini bermakna pasukan Mourinho akan bermain dalam Liga Europa musim depan, trofi yang diraihnya bersama Manchester United pada 2017, setelah memenanginya ketika dahulu bersama Porto pada 2003, ketika itu UEL disebut Piala Uefa.

Bercakap kepada wartawan, Mourinho berkata: “Kami tidak akan pernah memenangi Liga Juara-Juara Eropah. Kami tidak akan sampai ke final Liga Juara-Juara. Tidak pernah.

“Tetapi kami pergi ke Liga Europa dan Liga Europa, dan kalau, kalau [pengadil lebih baik] – saya tidak mahu mengatakan yang selebihnya, kalau tidak, saya akan dalam masalah. Saya lebih suka kekal dengan kalau.”

https://twaitter.com/centregoals/status/1823717503501275516

Fenerbahce, ketinggalan 2-1 dari perlawanan pertama, membawa permainan ke masa tambahan di Istanbul selepas gol sendiri pada masa kecederaan Bafode Diakite sebelum penalti David.

Pilihan kata-kata Mourinho adalah serupa dengan temu bual yang diberikan jurulatih Portugal itu semasa tugas kedua bersama Chelsea pada 2014.

Bercakap selepas kekalahan 1-0 oleh Aston Villa di mana dua pemain Chelsea dibuang padang, Mourinho berkata: “Saya lebih suka untuk tidak bercakap. Jika saya bercakap, saya dalam masalah besar. Dalam masalah besar. Dan saya tidak mahu berada dalam masalah besar.”

Mourinho dilantik sebagai pengurus Fenerbahce pada Jun selepas dipecat oleh Roma pada Januari.