Kamen Rider Build: Mengapa Bukan Peminat Kamen Rider Akan Turut Terpesona?

Siri yang diterbitkan oleh syarikat TOEI pada tahun 2016 ini merupakan siri Kamen Rider ke-19 era Heisei dan siri ke-28 dalam francais siri Kamen Rider.

Siri Build ditayangkan selepas siri Kamen Rider Ex Aid yang sebelum ini sangat cemerlang dari segi jalan cerita dan unik pada rekabentuk seorang ‘Rider’.

Siri ini juga mula bersiaran di Malaysia pada tahun 2018 melalui saluran TV3 pada setiap Jumaat dan siri ini mendapat ‘dub’ tersendiri yang turut menerima sambutan hangat dalam kalangan peminat Kamen Rider di Malaysia.

Dalam siri Build, penampilan asal seorang pejuang bertopeng kembali dikekalkan. Bentuk mata bulat dan rekabentuk yang lebih ringkas berjaya diterjemahkan kembali dalam siri Build.

Jika diimbas, rekabentuk Kamen Rider Build mempunyai vibe dari segi bentuk Kamen Rider W yang terlebih dahulu bersiaran pada tahun 2010.

Siri ini juga merupakan siri kedua dalam siri francais Kamen Rider yang menggunakan konsep ‘Parallel world’ setelah Kamen Rider Decade menggunakan konsep tersebut.

Konsep Fizik

Gimik Kamen Rider ini berfokuskan ‘bottle’ yang digunakan oleh Rider dan ‘kaijin’ untuk bertarung. Konsep Sains dan Fizik diterapkan dengan baik dalam siri ini.

Kiryuu Sento merupakan hero dalam siri ini dan sangat mementingkan kedamaian kerana sesak melihat kehancuran dan pertempuran sana sini.

Dengan menggunakan Build Driver, beliau dapat berubah menjadi Kamen Rider Build dan menentang ‘kaijin’ yang diberi gelaran Smash.

Tetapi ada sesuatu disebalik tabir Kiryuu yang tidak didedahkan dan merupakan elemen kejutan besar dalam siri ini. Apakah? Kena tonton dulu beb!

Apa yang menarik mengenai Build?

Sudah pasti mengenai plot cerita ini yang sangat bagus.

Intensiti setiap episod sentiasa meningkat dan pelbagai teka teki yang dihidangkan oleh penulis skrip cerita ini dan disudahkan jawapan dengan ‘plot twist’ yang mampu membuatkan kau terpaku.

Konsep yang dipamerkan oleh siri ini merupakan salah satu keistimewaan yang kau semua perlu lihat.

Ia berkaitan pergolakan politik, pengkhianatan, dan fahaman perjuangan yang berbeza. Kesemua konflik ini hadir menyesakkan jiwa disebabkan satu ‘mastermind’ sahaja yang bertindak di belakang tabir.

Kau bayangkan, seorang angkasawan menjumpai satu artifak di sebuah planet dan membawa pulang ke bumi.

Disebabkan satu situasi, artifak tersebut telah menyebabkan kacau bilau yang besar dan memecahkan negara kau menjadi 3 bahagian dengan dinding gergasi yang tidak dapat diubah.

Maka akibat kesan geografi itu, 3 negara terpaksa dibentuk atas sebuah negara sebelum itu.

Dalam menjaga kedamaian sesama 3 negara, wujud pula satu figura yang menghasut 3 negara tersebut sehingga pergolakan dan peperangan antara 3 negara berlaku. Siapa figura tersebut?

Ha, inilah yang menarik. Villain utama dalam siri Kamen Rider Build ini bukan bersandarkan kekuatan dan kejahatan semata-mata.

Tetapi ia berkaitan kebijaksanaan dan kelicikan villain tersebut dalam mengolah suasana dan bijak memainkan peranan untuk melaga-lagakan perdamaian demi kehancuran agar matlamat beliau tercapai.

Evolt, ya itulah nama Villain tersebut.

Evolt Si Penjahat

Dia merupakan watak utama dan MVP bagi penulis sepanjang siri ini berlaku.

Terlalu banyak rancangan yang dilakukan oleh Evolt berjalan lancar sehingga matlamat akhirnya sikit sahaja lagi ingin tercapai.

Watak-watak yang diperkenalkan dalam siri ini rata-rata mempunyai kisah silam yang menyedihkan dan tragis.

Setiap watak mempunyai motif tersendiri dalam perjuangan mereka walaupun terpaksa menggunakan cara yang salah.

Variasi dalam penyampaian

Tetapi janganlah kau anggap cerita ini hanya dipenuhi elemen tragis, gelap, dan serius sahaja. Siri ini juga bijak memainkan peranan agar elemen komedi turut disertakan untuk menenangkan keadaan dan lawak yang ditampilkan sangat ‘on point!’

Pengarah cerita, Ryuta Tasaki dan penulis skrip, Shogo Muto sangat bijak menyampaikan cerita ini dengan rentak dan pemahaman yang jelas agar penonton tidak berasa ketinggalan dan dapat memahami situasi demi situasi dengan baik.

Cerita ini mempunyai terlalu banyak pengajaran yang boleh diteladani. Mengenai kepercayaan, persahabatan, perjuangan, semangat mementingkan keadaan sekeliling selain pengorbanan yang menjadi teras utama pengajaran siri ini.

Jika kau menganggap cerita Kamen Rider hanya khas untuk kanak-kanak, maka itu suatu kerugian buat diri kau kerana ada beberapa siri Kamen Rider lagi yang menerapkan konsep berat dan sesuai untuk orang dewasa menonton.

Antara siri Kamen Rider yang menggunakan konsep ‘dark’ dan plot yang berat seperti siri Kamen Rider Kuuga, Agito, Ryuki, Faiz, Blade, Hibiki, Kiva, OOO, Gaim, dan Ex Aid. Kesemua yang disebut ini mempunyai plot yang tidak kurang hebat dan sangat sesuai ditonton oleh orang dewasa.

InsyaAllah, jika berkesempatan beberapa siri lain Kamen Rider lagi akan turut dikupas dalam lain waktu.

Adios!

Artikel ini sumbangan Mohd Afiq Hafizuddin, seorang pencinta alam dan juga atlet gimnastik bawah 17 tahun.

Follow beliau di: FB Afiq Rowley