“I’ll clear this game with no continues!”
“I will change my patient’s fate!”
Bagaimana seorang doktor pediatrik dan pembedahan yang merupakan seorang ‘kaki gaming’ berubah menjadi wira keadilan dan berjuang untuk membasmi wabak virus?
Penyakit apa pula yang menghidap pesakit sehingga memerlukan adiwira untuk membasminya?
Kamen Rider Ex Aid merupakan siri Kamen Rider ke 27 yang ditayangkan TOEI dan merupakan siri yang ke 18 untuk era Heisei.
Siri ini mula ditayangkan pada 2 Oktober 2016 dan berakhir pada 27 Ogos 2017.
Bermotifkan permainan video retro dan berlatarkan suasana perubatan menjadikan siri ini sangat unik sewaktu ditayangkan.
Tambahan lagi reka bentuk Kamen Rider ini sendiri agak menonjol dan mempamerkan sisi kelainan berbanding Kamen Rider yang lain.
Keterampilan
Tidak ada mata belalang dan tak ada banyak babak menunggang motosikal serta berwarna merah jambu cukup menyakinkan Ex Aid lain daripada yang lain.
Suasana dalam siri ini juga penuh warna warni. Para Rider dalam siri ini menggunakan katrij yang diberi nama Rider Gashat untuk mereka berubah menjadi Kamen Rider.
Musuh dalam siri ini diberi nama Bugster iaitu manusia yang dijangkiti suatu virus yang diberi nama Virus Bugster. Untuk menyelamatkan mangsa, Kamen Rider diperlukan untuk menewaskan Bugster tersebut dan kembali menukarkan mereka kepada manusia biasa.
Siri ini bermula apabila 7 tahun lalu sebelum kewujudan Kamen Rider Ex Aid, negara Jepun telah dilanda wabak virus yang sangat berbahaya iaitu Virus Bugster.
Wabak ini telah menyerang manusia dan menukarkan manusia menjadi raksasa yang diberi nama Bugster.
Untuk kembali menyelamatkan keadaan, Kementerian Kesihatan Jepun telah bekerjasama dengan syarikat permainan video, Genm Corporation untuk menyelesaikan masalah ini.
Genm Corporation yang diketuai Dan Kuroto berjaya mencipta satu alat yang sesuai untuk membasmi virus ini dengan memerlukan beberapa manusia yang sesuai untuk dibedah sebelum membolehkan mereka mengakses kuasa Kamen Rider yang dicipta Dan Kuroto.
Tanpa diketahui, Dan Kuroto sebenarnya mempunyai agenda tersendiri yang bakal merubah segalanya dalam kekalutan virus bugster ini.
Selepas 7 tahun, seorang anak muda pakar permainan video yang juga merupakan seorang doktor di sebuah hospital secara tidak sengaja bertukar menjadi Kamen Rider Ex Aid setelah kekacauan yang dilakukan oleh salah satu manusia yang diserang virus Bugster.
Kini, perjalanan anak muda yang bernama Emu Hojo yang juga merupakan protagonis utama siri ini dalam menjadi Kamen Rider bermula dan beliau bertemu lebih ramai rakan-rakan seperjuangan dalam menentang virus Bugster.
Kau semua yang tengah bercuti dan bosan dalam rumah boleh tonton siri ini yang mempunyai 45 episod, 7 movie, dan 9 episod khas ini kerana siri ini juga memaparkan dunia medikal, permainan video dan pencegahan wabak virus.
Walaupun rekabentuknya mungkin agak jelik, tapi aku jamin kau akan terhibur akan siri ini kerana jalan ceritanya agak berat, ‘dark’, dan ada ‘plot twist’ yang sangat-sangat kau tak jangkakan.
Penulis meletakkan jalan cerita siri Kamen Rider Ex Aid sebagai top 3 pilihan Kamen Rider sepanjang masa ini. Penulis jamin kau semua takkan rugi menonton siri ini.
Nota Editor: Artikel ini sumbangan peminat Black dan Shuih Sepathtu iaitu – Mohd Afiq Hafizuddin aka Afiq Rowley. Beliau merupakan pemuda yang ada belt Kamen Rider tapi tak muat.