Kane Puji Mentaliti Bayern, Dan Ibarat Ulang Kenyataan Conte Tentang Spurs

Sebelum ini Harry Kane pernah menyatakan bahawa tujuan utama dia datang ke Bayern adalah kerana dia mahu memenangi trofi.

Di mana di Bayern Munich, sudah menjadi satu kemestian untuk memenangi trofi setiap musim. Atau musim itu dikira malapetaka jika gagal meraih sebarang trofi.

Kane menegaskan pada masa itu, dia benar benar rimas dengan perlian ke atasnya tentang dia yang masih ‘tak ada trofi’.

Kane rimas tak menang trofi di Spurs

Kane berkata: “Saya selalu dengar orang cakap kosong trofi, sedangkan itu merupakan matlamat dan sasaran saya bersama di Tottenham tahun demi tahun.”

“Ada beberapa kali kami benar benar hampir memenangi trofi dan menikmati musim musim yang sangat baik.”

“Agak kasihan dengan kami sendiri kerana tidak pernah berjaya di garisan penamat.”

“Dan sekarang ini, bersama Bayern Munich, saya bertekad mahu berjuang untuk memenangi kesemua trofi yang ada.”

“Itu yang mendorong saya terus maju ke hadapan sebagai seorang pemain.”

Terbaru Kane membuat perbandingan mengenai tekanan bermain untuk Bayern. Dia mengakui tekanan untuk memenangi trofi di Bayern lebih tinggi berbanding ketika di Spurs

Menurut Kane, di Spurs pun mereka mahu memenangi trofi, namun tekanan itu tidak tinggi sangat kerana ianya perkara yang dianggap ‘tidak mengapa’ jika tak menang trofi.

Berbeza di Bayern, mereka menganggap ianya perkara yang sangat penting dan tidak mudah berpuas hati.

Conte: Kelab ini tak suka tekanan

Mentaliti kemenangan Bayern memang sangat berbeza dengan Spurs. Perkara yang sama pernah digariskan oleh Conte. Di mana sebelum dipecat, pengurus itu pernah mempersoalkan winning mentality dalam kelab itu daripada pemain sehinggalah ke pengurusan tertinggi.

Conte mengecam pemain pemainnya, melabel mereka sebagai mementingkan diri sendiri sambil melancarkan serangan ke atas sejarah dan tradisi kelab itu

Pengurus dari Itali itu berkata: “Saya tidak mahu bercakap mengenai taktikal, saya bercakap tentang semangat dan hati yang kami masukkan ke dalam padang.”

“Sebaliknya kami kehilangan ciri ini, jika anda tidak mempunyai ini dalam pengalaman saya, anda boleh kalah menentang pasukan ini – Sheffield United (Piala FA) dengan pemain yang lebih muda, hari ini kami mendahului 3-1 dan merasakan persepsi apa-apa boleh berlaku dan kami takut.”

“Apa yang kita lihat dalam perlawanan terakhir ini, saya tidak menyukainya. Saya tidak biasa melihat ini. Saya melihat ramai pemain yang mementingkan diri sendiri. Saya tidak nampak pasukan.”

“Ada 11 pemain di atas padang dan semua mementingkan diri sendiri, tak nak membantu antara satu sama lain.”

Conte menambah: “Mereka sudah biasa begitu di sini. Mereka tidak mahu bermain untuk sesuatu yang penting. Mereka tidak mahu bermain di bawah tekanan.”

“Mereka tidak mahu bermain dalam keadaan tertekan. Kisah Tottenham adalah begini. 20 tahun ada pemilik & mereka tidak pernah memenangi sesuatu. kenapa?”

“Sehingga kini saya cuba menyembunyikan keadaan. Kita boleh berjuang untuk apa dalam tempoh ini, dengan sikap ini, komitmen ini? Untuk apa? ke-7? tempat ke-8?”

Dia turut menambah: “”Alasan. Alasan. Alasan. Cuba melindungi mereka setiap masa.. Ayuhlah, ayuhlah. Kita ni profesional. Kelab membayar kami banyak wang, pemain menerima wang yang sangat banyak. Saya menerima wang. Bukan untuk mencari alasan,” Conte menambah.

Conte kemudian meminta untuk dipecat jika para pemain mahu meneruskan budaya kelab itu dan tidak mahu berubah.

“Jika mereka mahu meneruskan cara ini, mereka boleh menukar pengurus, ramai pengurus, tetapi keadaan tidak boleh berubah. Percayalah.”

Conte kemudian benar benar dipecat selepas itu.

Harry Kane anggap mentaiti di Bayern jauh berbeza dengan Spurs.

Kane seterusnya mengeluarkan kenyataan yang hampir sama dengan Conte. Di Spurs mentaliti kemenangan mereka tidak cukup kuat berbanding dengan Bayern.

Dia yang baru sahaja menyertai Bayern dapat merasakan tekanan yang dimaksudkan Conte itu.

Kane berkata: “Ia benar benar tekanan yang berbeza berbanding apa yang saya lalui di Spurs.”

“Dah tentunya ketika di Spurs kamu mahu memenangi trofi, namun jika kamu tidak memenangi beberapa perlawanan di sana, ianya bukan malapetaka.”

“Perasaannya di Bayern, kamu harus memenangi setiap perlawanan. Kami menang perlawanan pertama 4-0 dan kemudian 3-1.”

“Itupun kami masih tidak cukup berpuas hati dengan beberapa perkara, misalnya cara kami bermain.”

“Itu sebahagian daripada perkara dalam salah sebuah kelab terbesar di dunia. Kami memulakan kempen dengan baik dan saya suka menikmati emosi yang berbeza. Ini memang sebahagian daripada sebab kenapa saya mahu pergi.”

“Dan kami akan memulakan kempen Liga Juara Juara Eropah selepas kembali semula daripada tugasan antarabangsa – di mana kelab mahukan kami menjuarainya. Jadi kamu harus hadir ke perlawanan itu, dengan perasaan yang berbeza dengan apa yang kamu rasa sebelum ini [ketika di kelab lama].”

Segelintir peminat tidak gembira dengan tindakan Kane yang sekali lagi menyindir kelab lamanya berkaitan dengan trofi.

Seorang peminat berkata: “Kenapa dia tak mengubahnya dulu? Betul betul menyebalkan la mamat ni.”