Kane Sasaran Utama Manchester United Musim Depan, Namun Levy Sedia Menghalangnya

Manchester United berminat untuk mendapatkan penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane pada musim panas ini ketika dia memasuki tahun terakhir perjanjiannya.

Ianya akan berada dalam senarai keutamaan Erik Ten Hag. Bermakna Ten Hag tidak akan terdesak untuk menandatangani sebarang pemain penyerang mahal pada pertengahan musim ini.

Lebih lebih lagi mereka sudah menandatangani Wout Weghorst untuk pelan jangka pendek musim ini.

Ten Hag sebenarnya masih mencari penyerang baharu selepas terlepas Cody Gakpo yang menjadi calon untuk mennggantikan Cristiano Ronaldo yang meninggalkan kelab selepas temu ramah panas dengan Piers Morgan.

Namun di atas padang, prestasi Marcus Rashford dan kembalinya Anthony Martial membuatkan Ten Hag tidak panik untuk penyerang baharu.

The Daily Mail melaporkan bagawa hierarki United sudah pun meneroka cara membuat perpindahan lumayan untuk Kane berlaku.

Dan laporan yang sama mendakwa pemain berusia 29 tahun itu akan terbuka untuk berpindah ke Old Trafford.

Erik Ten Hag menyukai gaya permainan Harry Kane yang tidak statik dalam kotak penalti. Dia penyerang yang suka turun ke bawah dan terlibat dalam binaan serangan. Pada masa yang sama memiliki kualiti hantaran yang sangat baik.

Kontrak Kane dengan Spurs akan tamat pada 2024, dan pemain itu masih belum melanjutkan kontraknya bersama dengan Spurs. Kane dikatakan mahu melihat sama adan Spurs boleh menamatkan kedudukan di slot Liga Juara-Juara Eropah pada akhir musim ini.

Skuad bimbingan Antonio Conte kini di luar 4 teratas.

Spurs hanya memenangi satu perlawanan Liga Perdana sejak kembali dari rehat Piala Dunia kerana tekanan terus memuncak di kem Conte.

Pengerusi Daniel Levy dilaporkan akan mahukan £85 juta untuk Kane. Dan memilih untuk menjual pemain itu kepada kelab di luar England.

Kelab besar seperti Bayern Munich dan Real Madrid sebelum ini berminat untuk mendapatkan pemain itu.

Pada 2021 yang lalu, Manchester City menawarkan harga £100 juta untuk mendapatkan Kane. Pemain itu juga dikatakan berminat untuk ke City. Namun perpindahan itu dihalang Levy yang menegaskan bahawa Kane hanya dijual ke kelab luar England.

Tiada kelab lain selain City yang sanggup menawarkan £100 juta untuk pemain itu.

Kane sebelum ini pernah dijanjikan jika dia berterusan tidak memenangi trofi di Spurs untuk 3 tahun bermula 2018, maka dia boleh meminta meninggalkan kelab itu.

Mala pada akhir musim 2020/21, Kane dilihat sudah mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong Spurs.

Namun perpindahan itu benar benar tidak direstui Levy. Kane akur dan terus kekal di Spurs. Kehadiran Antonio Conte dianggap sebagai langkah penting dalam memujuk Kane untuk terus komited dengan Spurs.

Kane meneruskan prestasi konsistennya seperti musim musim sebelumnya.

Kini Kane dikatakan hanya akan melanjutkan kontrak jika Spurs mara ke UCL musik hadapan.

Kapten England itu lebih suka tinggal di negara asalnya sambil memburu rekod gol Liga Perdana Inggeris dipegang Alan Shearer.

Dia telah menjaringkan 198 gol di liga utama, 62 gol kurang daripada jumlah yang dicapai Shearer.

Conte membentak seorang wartawan yang bertanya tentang situasi kontrak Kane semasa sidang media awal minggu ini.

Sebelum kekalahan 4-2 Spurs kepada Manchester City pada hari Khamis, Conte berkata:

“Apabila kami menganjurkan sidang akhbar dengan [hierarki tertinggi] kelab, maka kamu boleh bertanya soalan seperti itu.”

“Kamu boleh mengemukakan soalan ini kepada kelab, OK. Simpan soalan ini untuk masa hadapan dan saya berharap untuk suatu hari nanti kamu boleh mengemukakan soalan ini kepada kelab.”

“Kenapa saya perlu menjawab soalan ini? Ia bukan tidak menghormati anda tetapi saya ulangi: kami sentiasa memberitahu kamu perkara yang sama. Mengapa saya perlu menjawab soalan yang sukar? Kamu mencuba dengan bertanya soalan seperti ini untuk meletakkan saya dalam masalah dengan kelab dan juga persekitaran kelab.”

“Kenapa? Kenapa? Kenapa saya perlu jawab? Saya ni seorang yang budiman, percayalah. Saya seorang yang baik hati tapi dalam masa yang sama saya harap awak faham saya.”

“Saya tidak mahu menimbulkan masalah. Saya selalu berkata saya suka cara kami bekerja di sini dan apa yang kami lakukan, dan berhenti, kerana pada masa lalu saya fikir saya banyak bercakap.”

Walaupun ramai menganggap Kane mungkin sudah terlalu tua untuk datang ke Man United. Namun ada juga peminat mengingatkan mereka bahawa United pernah mendapatkan pemain penjaring yang terbukti di EPL sebelum ini dan menjadi penyerang penting untuk kejuaraan EPL ke-20 mereka iaitu Robin Van Persie.