Bekas pemain Tottenham Hotspurs dan Sevilla FC, Frederic Kanoute berjaya mengumpul lebih USD 1 juta, kira-kira lebih RM 4 juta dalam usaha membina masjid di Seville, Sepanyol.
Thank you everyone for the generous support for @MezquitaSevilla #SevilleMosque https://t.co/dnCWJqMTKr pic.twitter.com/1FluRGHM5U
— Fred Oumar KANOUTÉ (@FredericKanoute) May 19, 2020
Pemain berdarah Mali kelahiran Perancis itu melancarkan kempen #Kanoute4SevilleMosque di LaunchGood, satu organisasi pendanaan awam atau crowdfunding yang memfokuskan untuk membantu komuniti muslim di seluruh dunia.
Kutipan itu sedikit sebanyak membantu dalam usaha mengumpul dana sebanyak RM 57 juta untuk membina masjid tersebut. Dana yang besar diperlukan adalah kerana masjid itu akan dibina di tengah bandar Seville.
Masjid Pertama Dalam Tempoh 700 Tahun
Kanoute yang memeluk agama Islam ketika berusia 20 tahun pernah membeli sebuah surau di Seville untuk kegunaan penduduk tempatan.
Surau tersebut hampir ditutup kerana kontrak penyewaan sudah hampir tamat. Surau itu juga turut dijadikan masjid sementara untuk komuniti muslim di Seville.
“Ketika saya tiba di Seville, amat sukar untuk menjumpai masjid. Saya harus bertanya kepada penduduk tempatan”, jelas Kanoute.
Maybe you heard I was given the honour to help the temporary Mosque in Seville? Now you too can be part of the FIRST purpose-built mosque in Seville!
You can help by donating, sharing this video & with your dua. 👆🏼🏆🕌 https://t.co/0l8kfX7Nop#SevilleMosque @MezquitaSevilla pic.twitter.com/13qVgooxnD
— Fred Oumar KANOUTÉ (@FredericKanoute) May 6, 2019
“Saya pernah membantu komuniti Muslim dengan surau sementara mereka. Mereka kini memerlukan bantuan anda untuk membina masjid di Seville, sebuah kota yang tidak mempunyai masjid selama lebih dari 700 tahun,” tambahnya lagi.
Selain ruang mendirikan solat, masjid dan pusat kebudayaan itu akan turut menjalankan bengkel untuk komuniti setempat. Antara bengkel yang akan diadakan merangkumi seni Andalusia dan memasak.
Sebuah klinik kesihatan yang menyediakan rawatan untuk penduduk tempatan juga akan dibina. Kelas bahasa Arab dan Al-Quran untuk kanak-kanak turut akan dijalankan setelah pembinaan selesai.
Sejarah Andalusia
Kota yang terletak di Andalusia itu merupakan tempat tumpuan pelancong, terutamanya bagi mereka yang beragama Islam. Andalusia terkenal dengan peninggalan tamadun Islam menerima jutaan pelancong setiap tahun.
Seville mempunyai lebih kurang 30,000 penduduk yang beragama Islam. Walaupun terdapat beberapa ruang kecil yang telah diubahsuai menjadi ruang solat, tiada masjid yang dibina khusus untuk mereka.
Terima Kasih Semua!
“Saya merasa bangga kerana menjadi sebahagian daripada projek yang saya percaya patut disokong. Tempat seperti ini akan menjadi contoh kehidupan Islam yang gemilang di zaman kita Insya Allah. Kita semua tahu bahawa satu pemain sahaja tidak memenangi perlawanan. Sertailah pasukan kami, kami memerlukan sokongan anda,” tambahnya.
Ketika berkhidmat bersama Sevilla, Kanoute berjaya memenangi 2 kejuaraan Piala UEFA dan 2 Piala Copa del Rey. Dia juga merupakan Pemain Terbaik Afrika pada tahun 2007.