Kante Alami Kecederaan Hamstring, Impian Ke Piala Dunia 2022 Samar

Pemain tengah defensif Chelsea dan Perancis, N’golo Kante berdepan dengan banyak siri kecederaan dalam 2 musim terakhir ini.

Musim ini Kante tidak begitu banyak aksi kerana bergelut dengan masalah kecergasan. Dan terbaru pemain tengah yang rajin itu dilaporkan terpaksa berehat lagi kerana kecederaan hamstring.

Kecederaan itu memaksanya berehat untuk 4 atau 5 perlawanan lagi. Malah, lebih membimbangkan, Kante berisiko tidak akan terbang ke Qatar bersama skuad Perancis untuk beraksi dalam Piala Dunia 2022.

L’Equipe, akhbar dari negara asalnya, Perancis melaporkan bahawa pemain tengah itu, yang pada asalnya cedera semasa Chelsea seri 2-2 dengan Tottenham awal musim ini. Dan kini akan diketepikan untuk 4 hingga 5 perlawanan.

Dengan Piala Dunia 2022 yang kurang 2 bulan lagi, bermakna pemain tengah Perancis itu tidak akan mempunyai masa yang banyak untuk pulih sebelum sepak mula pertandingan itu.

Kante telah menjalani latihan bersama pasukan utama selama dua minggu, dan dijangka akan beraksi pada satu ketika menentang Wolves pada hujung minggu lalu, atau menentang Milan pada malam Selasa lalu.

Namun dia tidak berada di bangku simpanan untuk kedua-dua perlawanan tersebut.

Graham Potter mungkin akan memberikan kemaskini situasi semasa Kante dalam sidang media beliau yang akan datang.

Pemain berusia 31 tahun itu memiliki 53 kaps bersama pasukan Perancis. Dan merupakan pemain pilihan utama Deschamps sejak sekian lama.

Kini Kante perlu menumpukan usaha untuk pulih sepenuhnya secepat mungkin bagi memperkuatkan barisan tengah dan melindungi pertahanan skuad Les Bleus dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan dunia milik mereka.