Kante Dedahkan Nama N’golo Adalah Nama King Dan Boleh Sebut Kante Atau Kante Je

N’golo Kante merupakan salah seorang pemain tengah defensif yang terbaik di dalam generasinya. Beliau sudah memiliki beberapa kejayaan besar dalam kariernya termasuk, EPL, UCL dan Piala Dunia.

Apa lagi yang Kante mahukan? Paling gila, Kante pernah membantu pasukan seperti Leicester mencipta kisah dongeng dalam sejarah EPL dengan menjadi juara EPL.

Kante merupakan pemain yang comel dan lasak bermain untuk Chelsea. N’golo Kante telah mendedahkan rahsia namanya dan bagaimana untuk menyebut nama beliau dengan betul walaupun nampak mudah tetapi ramai yang agak keliru bagaimana sebutan nama Kante yang betul.

Pengulas bola sepak sering menyebut nama Kante dengan sebutan yang berbeza dan menimbulkan tanda tanya mana sebutan yang betul bagi nama Kante? ‘Kan-tay’ atau ‘Kon-tay’? Mana satu yang betul?

Seorang wartawan daripada BBC, Will Perry mencari jawapan sebenar untuk perkara ini dengan menemuramah sendiri N’golo Kante dan itulah sebaik-baik penyelesaian kepada perkara ini.

Will Perry : Jadi kita akan mendengar dari mulut tuan badan sendiri. Bagitahu semua macam mana nak sebut nama kau?

N’golo Kante : Di Perancis nama aku disebut N’golo Kon-tay dan di Mali dan beberapa tempat lain disebut N’golo Kan-tay.

Will Perry : Sangat meyakinkan, jadi kau lebih suka yang mana?

N’golo Kante : Kon-tay, Kon-tay.

Sebenarnya tak salah pun sebutan nama Kante ni jadi ‘Kan-tay’ atau ‘Kon-tay’ tapi dah tuah badan lebih suka disebut ‘Kon-tay’ maka sebut jela ‘Kon-tay’. Dari segi ejaan masih sama Kante.

Jadi bagaimana pula dengan nama N’golo Kante? Apa maksudnya?

Kante pernah mendedahkan bahawa, namanya diberikan oleh ibunya sempena nama Raja Mali.

Dalam temuramahnya dengan L’Equipe berkata: “Kenapa nama saya N’golo? Ini adalah nama bekas raja di Mali. Raja yang memulakan penguasaan empayar.”

“Saya sendiri pernah pergi ke Mali dua kali, dan masih ada saudara mara di sana. Adakah ianya ok [nama itu sesuai] untuk saya? Ya, bolehlah.”

Sebuah akaun peminat dari Afrika menjelaskan, nama raja yang diangkat oleh Kante adalah Raja N’golo Diarra dari empayar Bamana yang hari ini dikenali sebagai Mali.

Karier bola sepak Kante bermula daripada kelab kecil yang mungkin tak pernah kau dengar, Suresnes sebuah kelab amatur di mana mereka bermain di divisyen sembilan dalam piramid bola sepak Perancis.

Ibu bapa Kante tiba di Paris dari Mali pada tahun 1980 dan Kante membesar hanya tidak jauh dari padang Suresnes, dalam rumah flat yang kecil bersama lagi tujuh adik beradiknya.

Kante telah menjalani trial di Paris Saint Germain, Lorient, Rennes, Sochaux dan banyak lagi namun kesemua usaha tersebut hanya ditemukan dengan kehampaan kerana saiznya yang kecil.

Pada usia 19 tahun, Kante menyertai Boulogne dan Boulogne menerima Kante sebagai pemain amatur demi membantu perkembangannya sebagai pemain bola sepak. Usia 19 tahun masih amatur.

Boulogne terjerumus ke divisyen tiga dan kehilangan beberapa pemain utama dan ini membuka peluang kepada Kante untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

Kerana kehebatannya bersama Boulogne, Kante telah dibeli Caen, kelab divisyen dua dan kecemerlangan Kante telah membantu kelab tersebut naik ke Ligue 1.

Dua tahun di Caen, Kante disambar Leicester City. Seterusnya bersama pula dengan Chelsea. Kemudiannya… bak kata mat saleh, the rest is history.

Beliau kini berada dalam kalangan pemain elit di dunia. Dan kisahnya memang penuh inspirasi.