Kante Tegur Media Dan Peminat Yang Berlebihan Memujinya: “Saya Cuma Manusia Biasa”

N’Golo Kante telah menjadi pemain yang terus menjadi bualan ramai – terutama sekali selepas kejayaan menjulang UCL baru baru ini. Pujian banyak diterimanya. Di mana cerita cerita beliau yang penuh rendah diri menghiasi media sosial.

Sikapnya yang pemalu dan juga baik hati membuatkan Kante dianggap ‘Mr Nice guy’ yang tak ada pembenci. Peminat bola sepak telah ‘jatuh hati’ dengan Kante.

Namun Kante akhirnya membuka mulut dan menyatakan bahawa peminatnya agak berlebih lebihan dalam menjaja cerita kebaikannya. Menurut Kante dia hanyalah insan biasa, sama seperti manusia lain.

Cuma dia agak bernasib baik kerana tidak ada lagi kisah kontroversi melibatkannya. Kante kemudian menyatakan itu tak bermakna dia tak akan melakukan kesilapan pada masa yang akan datang.

Kante berkata: “Kadangkala cerita itu betul, tetapi kadangkala imej itu digambarkan agak terlebih hebat, ataupun terlebih cantik. Namun hakikatnya saya hanyalah manusia biasa.”

“Seorang pemain di antara pemain pemain lain. Tak perlu rasanya melabel saya paling baik hati ataupun paling berbudi bahasa. Saya juga sama seperti pemain lain.”

“Kadangkala saya merasakan perkara ini agak melebih lebih. Sepatutnya ia tak perlu begitu.”

“Benar saya suka bergaul baik dengan rakan sepasukan, bergaul baik dengan orang lain ketika saya berada di jalanan dan di dalam bola sepak.”

“Namun selain daripada itu, ada lagi orang yang berbuat benda yang sama dalam [kalangan mereka dari bidang] bola sepak ini.”

“Tak perlulah kita membuat cerita yang terlalu berlebihan.”

Ini adalah pertama kali Kante menegur media dan juga peminatnya. Namun dia tetap menjaga tatasusila ketika berbicara.

Seperti yang Kante cakap, dia bukanlah sempurna. Pujian yang berlebihan ini boleh menjadi peluru yang digunakan media menyerangnya esok lusa apabila dia melakukan sedikit kesilapan.

Seterusnya, Kante juga diakui oleh rakan rakannya sebagai seorang yang nakal juga. Dia seorang yang beberapa kali lewat ke sesi latihan.

Misalnya baru baru ini Kante lewat melapor diri, sebab tren terlambat.

Selain itu, rakan rakan sepasukan dalam Pasukan Perancis pernah menceritakan Kante sukan menipu ketika bermain kad terup.

Kante pernah menjawab dengan nada berseloroh, dia bukan menipu, tetapi itu adalah strategi. Sama dalam bola sepak.

Kante berkata: “Apabila kamu bermain terup, dan dalam situasi genting, maka kamu perlukan sedikit helah dan strategi – itu sebenarnya yang saya lakukan.”

“Sebab itu rakan rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan memanggil saya penipu. Itu tak benar sepenuhnya, sebab bukan saya seorang yang melakukannya. Tapi mereka tak salah juga ye.”

Itulah seorang Kante, pemain yang rendah diri dan pada masa yang sama tidak mahu disanjung dan dipuja terlalu berlebihan.

 



 

BACA JUGA: Kante: Kisah Anak Imigran Tebingan Sungai Seine Yang Menapau Nasi Lemak Sebelum Final UCL

N’golo Kante mungkin salah seorang pemain yang paling pemalu. Namun aksinya di atas padang dia bukanlah seorang pemalu untuk mengejar dan memintas bola.

Kante menjadi bintang utama Chelsea memenangi UCL dengan mendiamkan De Bruyne, Bernardo Silva dan Gundogan sepanjang malam.

Juara dunia pada 2018 itu dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir UCL. Menariknya sebelum aksi final, Kante sempat makan dan menapau nasi lemak dari kedai orang Malaysia di sana.

Kedai tersebut memang menjadi kedai kegemaran Ngolo Kante.

Kante si kecil yang keras

Ketika aksi Piala Dunia di Rusia, penyokong Perancis ada lagu khas buat Kante daripada rentak lagi pada 1969 berjudul “Les Champs-Elysees” oleh Joe Dassin. Penyokong Perancis bersorak “he is small, he is kind, he stopped Leo Messi”.

Kante telah berturut-turut untuk mencapai kejayaan ketika prestasi kemuncak dalam bola sepak beliau. Kante memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara Eropah, Liga Europa dan Piala FA serta yang paling besar iaitu Piala Dunia.

Sikap rendah diri

Walaupun begitu, semua orang yang pernah bertemu Kante sejak awal kariernya di pinggir bandar Paris nampaknya setuju bahawa tidak ada pemain lain yang seperti pemain berusia 30 tahun itu.

“Setiap kali dia kembali ke Paris dia datang menemui kami,” kata Karim El-Moudkhil, mantan jurulatih Kante.

“Tetapi dia tidak hanya datang menziarahi kami, dia akan makan bersama kami, dia setuju untuk mengambil foto dengan semua orang, untuk bermain dengan anak-anak kami.”

Kisah dongeng karier bola sepak Kante

2014: Debut dalam Ligue 1 bersama Caen

2015: Bergabung dengan Leicester City dengan harga 9 juta euro

2016: Menang Liga Perdana Inggeris dengan Leicester City – kisah underdog terhebat dalam bola sepak

2017: Pemenang Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea

2018: Pemenang Piala Dunia 2018 bersama Perancis

2019: Pemenang Liga Europa UEFA bersama Chelsea

2021: Pemenang Liga Juara-Juara bersama Chelsea

Awal karier

Kante, yang ibu bapanya berasal dari Mali, dibesarkan dalam sebuah keluarga besar di sebuah ladang yang tenang di Rueil-Malmaison, di sebelah barat ibu kota Perancis.

Keluarganya merupakan imigran ke  Perancis. Kesusahan dan kesengsaraan hidup yang kadangkala hanya sekali sahaja makan sehari membuatkan Kante bertekad mahu membantu keluarganya mengubah nasib mereka.

Kante sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan demi keluarganya. Namun tuhan mengurniakannya bakat dan stamina yang luar biasa untuk bermain bola sepak.

Moudkhil pernah melihat video Kante bermain dengan kanak kanak di jalanan ketika dia sudah menjadi bintang di Eropah. Dia tak hairan kerana memang itu sikap Kante.

“Pada musim panas lalu, semua orang di sini bermain bola sepak dengan memakai kemeja pasukan yang pernah dimainkannya: Caen, Leicester, Chelsea, Perancis,” kata jurulatih tersebut.

‘Bagaimana ibu bapanya mendidik mereka?’

Kante sangat disukai dan dihormati kerana kemesraan dan kesopanannya, dan sebagai pemain, dia telah menjalin reputasi sebagai pemurah dan rendah diri, dengan persona di atas padang sesuai dengan keperibadiannya di luar.

“Dia tidak pernah besar kepala, dia tidak pernah berubah,” kata El-Moudkhil.

“Adik beradik dia pun sama. Saya ingin tahu bagaimana mereka [ibu bapa Kante] mendidik anak anak mereka. ”

Apabila anda bertanya kepada bekas jurulatihnya apakah dia dapat ingat mana mana detik Kante menjadi marah semasa permainan atau menunjukkan emosi negatif, pertanyaan itu disambut dengan jawapan:

“Saya cuba memikirkan sesuatu tetapi saya tidak dapat mengingatinya. Saya tidak pernah melihat dia marah selama saya mengenalinya.”

“Tetapi jika ada orang yang harus marah, dialah yang berhak marah kerana dia serigkali dikasari dan ditendang oleh lawannya yang bengan dengan dia ketika bermain di Suresnes.”

Dari tebingan sungai Seine ke pentas akhir UCL

Di pinggir bandar yang damai, di tepi Sungai Seine, Kante bermain bola sepak di sana sejak kecil.

Tidak seperti kebanyakan superstar moden, Kante tidak pernah dipilih oleh akademi remaja kelab profesional. Dia mempunyai bakat, tetapi ukuran badannya dan personalitinya yang pendiam dan tidak menonjol membuatkan ramai tidak yakin Kante boleh menjadi pemain profesional sekalipun.

“N’Golo bukan orang yang cenderung menonjol, jadi pada trial / sesi pemilihan, dia tidak kelihatan,” kata Pierre Ville, pengarah di Suresnes, kepada AFP pada 2018.

Kariernya beransur-ansur beransur lebih baik ketika dia pindah ke utara Perancis untuk menandatangani kontrak bersama Boulogne-sur-Mer ketika berusia 19 tahun.

Tidak lama kemudian, dia bermain untuk pasukan pertama mereka di divisyen tiga, dan dia kemudian bergabung dengan Caen pada tahun 2013. Kante membantu mereka memenangi promosi ke Ligue 1.

Setelah hanya satu musim di liga elit Perancis, Kante berpindah ke Leicester yang berusia 24 tahun pada tahun 2015 dan merupakan salah seorang bintang yang membantu Leicester mencipta dongeng bola sepak dengan memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris pada 2015/16.

Terus melonjak

Kanet kemudian berhijrah ke Chelsea di mana dia terus menjadi bintang sehingga menjadi pemain terbaik dalam kedua-dua kemenangan separuh akhir Liga Juara-Juara ke atas Real Madrid.

“Segera setelah dia menandatangani kontrak dengan Boulogne-sur-Mer, saya tahu karier dia akan meningkat,” kata El-Moudkhil.

Di pantai Channel Perancis, Kante tidak meninggalkan apa-apa selain kenangan indah.

“Yang benar-benar menonjol adalah keinginannya untuk terus maju. Dia seperti span, menyerap semua nasihat yang dia dapat dari mana mana jurulatihnya, ” ingat Christophe Raymond, yang melatih Kante dalam pasukan simpanan kelab antara 2010 dan 2012.

“Kami merasakan dia berpotensi tetapi tipulah kalau kami mengatakan kami menyangka dia mampu melangkah sejauh yang dia miliki,” kata jurulatih lamanya di Rueil.

“Dia telah banyak berusaha dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mengambil lebih banya risiko. Dia kemudian lebih banyak menyerang dan hari ini dia salah seorang pemain terbaik dunia.”

Baca yang lain