Kapten 6 Negara Akhirnya Tak Jadi Pakai Lilitan Pelangi Kerana Takut Kena Gantung

FA England telah diberitahu oleh FIFA bahawa mereka akan berisiko dikenakan “sekatan sukan” termasuk kad kuning untuk Harry Kane jika kapten England itu memakai lilitan “OneLove” pada perlawanan Piala Dunia menentang Iran pada hari ini,

FA England sebelum ini sedia didenda kerana memakai OneLove. Namun mereka diberitahu bahawa kesalahan itu akan membuatkan kapten mereka akan dikenakan tindakan layangan kad kuning.

Kane sebelum ini sudah menyatakan bahawa dia akan memakai logo OneLove tanda sokongan kepada mereka yang didiskriminasi termasuk mereka yang dikenakan tindakan kerana berhubungan sejenis.

Kane menganggap pemakaian logo pelangi di Qatar adalah sangat cun dan simbolik kepada protes itu kerana Qatar menyenaraikan kesalahan hubungan sesama jantina sebagai jenayah,

Secara teori itu bermakna Kane, jika dia memakai lilitan OneLove menentang Iran dan Amerika Syarikat, dia akan mendapat dua kad amaran sebelum menyepak bola sekalipun. Oleh itu dia sudah tentu akan digantung daripada perlawanan terakhir kumpulan England menentang Wales.

Kapten Jerman, Belanda, Perancis, Belgium, Denmark dan Switzerland juga sebelum ini pernah berikrar akan memakai lilitan pelangi itu. Berdasarkan jadual, England, yang akan memulakan ‘permainan’ terlebih dahulu.

Perancis kemudian menarik diri, selepas Hugo Lloris mendapat tahu bahawa Qatar mengharamkan hubungan sejenis. Lloris berkata, dia tidak akan memakai logo itu di negara yang melarang perbuatan tersebut kerana menghormati negara orang lain.

Lloris berkata: “Saya tak akan memakai lilitan pelangi. Saya mendapat tahu ianya [hubungan sesama jantina] satu kesalahan di sini. Jadi adalah tidak kena tempat untuk memakainya di sini.”

“Di Perancis, apabila tetamu datang ke negara kita, kita mahu mereka menghormati undang undang negara kita. Saya akan melakukan perkara yang sama ketika bertamu ke negara orang.”

Semalam kapten Belanda, Virgil Van Dijk sudah menyatakan bahawa dia mungkin akan membincangkan semula perkara itu dengan pihak pengurusan FA Belanda kerana tidak mahu bermain dengan kad kuning daripada minit pertama.

FIFA sudah menyatakan bahawa setiap negara dilarang memaparkan sebarang logo kempen yang tidak ada dalam kempen FIFA.

FIFA sudah ada kempen mereka sendiri iaitu Respect.

FIFA juga dikatakan sudah menyediakan lilitan kapten mereka sendiri untuk dipakai para pemain dengan mesej mesej yang tersendiri.

Akhirnya kesemua negara yang sebelum ini menyatakan mereka akan memakai lilitan pelangi dikatakan menarik diri daripadanya.

Baca yang lain