Magnum Opus Capello Di Milan Satu Ketika Dahulu

Pada tahun 1994, AC Milan memenangi Serie A dengan hanya menjaringkan 36 gol dan bolos 15 kali dalam 34 perlawanannya.

Dalam tempoh itu, mereka gagal mejaringkan sebarang gol pada 10 perlawanan. Menang 1-0 sebanyak 9 kali dan mempunyai 22 perlawanan tanpa bolos.

Pada satu masa mereka bermain 9 kali berturut-turut tanpa bolos, membantu Sebastian Rossi kebal di gawang gol selama 929 minit. Akhirnya menjadi rekod dan bertahan sehingga 22 tahun.

Federasi bola sepak merasakan mereka perlu memberi lebih ganjaran kepada bola sepak menyerang dan pada musim seterusnya 3 mata diberikan kepada pasukan yang menang.

Sistem 2 mata membuatkan pasukan tidak ghairah dengan kemenangan

Disebalik kejayaan itu, Fabio Capello agak tegas. Meminta segalanya dari pemain.

“Anda diberitahu apa yang dimahukannya, jika anda gagal memberikannya beliau akan mencari pemain lain yang mampu memberi apa yang dimahukannya” kata Brian Laudrup

Menurut Roberto Donadoni, Capello boleh menjadi pengawal penjara yang baik kerana sikap tegasnya dengan pemain itu.

Sementara itu Silvio Berlusconi mengatakan pendekatan Capello adalah tiada dialog dengan pemain. Kepimpinan boleh datang dengan suasana keras dan tidak gembira.

Jika anda melihat satu perlawanan membosankan dari tempat duduk penonton, pemain yang bermain di padang lebih bosan bermain sebegitu kata Jean Pierra Papin.

Capello tidak peduli semua itu, apa yang penting adalah scudetto yang ke-3.

Hanya 4 pasukan dari liga utama -England, Sepanyol, Jeman dan Itali- yang pernah mencatat purata bolos lebih rendah berbanding (0.44/perlawanan) Capello.

  • 4.00: Nereo Rocco’s (1968/69) AC Milan
  • 0.39: Jose Mourinho (2004/05) Chelsea
  • 0.38: Bob Paisley (1978/79) Liverpool

Dan akhir sekali Cagliari pada musim 1969/70 yang hanya bolos 11 gol dari 30 perlawanan (0.37).

Kariernya sebagai pemain banyak mempengaruhi corak taktikalnya ketika bergelar pengurus terutamanya sebagai pemain hadapan barisan pertahanan.

Capello merupakan bekas pemain tengah bertahan. Salah seorang pemain terbaik dalam generasinya.

Mempunyai kebolehan yang tinggi dalam membaca permainan, bagus pertarungan bola di udara dan bentesan.

Mula bermain bersama SPAL dan kemudiannya beralih ke AS Roma. Setahun kemudian Helenio Harrera menjadi menjadi pengurus kelab itu.

Harrera atau juga dikenali sebagai Il Mago menjadi individu yang dikagumi Capello.

Capello mengagumi cara kerja Herrera dan ia terbawa dalam corak pengurusannya

Capello menggangap Il Mago seorang pengurus yang melangkaui masa, 10 tahun lebih kedepan.

“Beliau mengajar saya tentang banyak perkara. Sudut taktikal, saya banyak meningkat dibawah bimbingannya.” Kata Capello kepada Gabriele Marcotti di dalam Biografinya yang diterbitkan pada 2008.

Capello juga melihat bagaimana Il Mago cukup berdisiplin. Seorang motivator yang hebat. Beliau berkata berlatihlah dengan corak bagaimana anda bermain.

Pada pagi hari perlawanan, beliau mungkin menarik baju anda dan menjerit dengan kuat. Anda akan ‘makan mereka untuk sarapan’.

Jika beliau melihat ada pemain yang berhenti atau bergerak perlahan ketika latihan, pemain itu akan dihantar keluar.

Pada 1970, Capello menyertai Juventus. Pada tahun yang sama, Armando Picchi menjadi pengurus kelab.

Pichhi sebelum itu merupakan salah seorang pemain dibawah bimbingan Herrera ketika di Inter Milan. Seorang commanding sweeper.

Bagaimanapun tidak lama selepas itu Picchi meninggal dunia akibat penyakit tulang belakang yang jarang berlaku, Juventus mempromosi Cestmir Vycpalek -bapa saudara kepada Dzenek Zeman- dari pasukan remaja.

Mereka memenangi kejuaraan Serie A pada tahun 1972 dan 1973. Kemudian mengulanginya pada tahun 1975.

Selepas itu Capello menyertai AC Milan, bermakna arkitek terbaik pada generasinya ini berada dalam 2 pasukan terbaik di Itali.

Cara kerja Nils Liedholms pula turun ke Carlo Ancelotti walaupun Capello pernah berada dibawahnya

Sebelum bersara pada tahun 1980, Capello sempat bertemu dengan pengurus . Seorang pengurus yang lebih tenang dan santai.

Pada ketika itu Liedholm sedang membentuk seorang pemain tengah berbakat di AS Roma iaitu Carlo Ancelotti.

Menurut Capello, apa pun masalah yang dihadapi oleh pengurus ini, beliau sentiasa tenang. Latihannya hanya berkisar kepada teknik, teknik dan teknik.

 

Walaupun sukar untuk mengatakan apa yang dipelajari oleh Capello dan Ancelotti dari pengurus masing-masing tetapi karektor 2 pemain ini menyamai siapa jurulatih mereka ketika bergelar seorang pemain.

Capello lebih tegas, kasar dan tiada kompromi seperti Harerra sementara itu Ancelotti menyamai Liedholm yang lebih tenang dan lebih berdiplomasi dengan pemain.

Menurut fourfourtwo apabila ditanya kenapa tidak memperlihatkan sedikit senyuman di tepi padang ketika perlawanan, Capello menegaskan ketika beliau sedang bekerja tiada yang lebih penting selain keputusan.

Capello pantas memasuki bidang kejurulatihan selepas persaraan. Mula melatih pasukan B-17 dan B-19 AC Milan. Beliau berkata, mereka seperti tumbuhan kecil. Anda menyiramnya setiap hari dan melihat mereka berkembang.

AC Milan disingkirkan pada ke Serie B pada tahun 1980 kerana skandal Totenero. Kelab mengalami bebanan hutang selama bertahun-tahun.

Silvio Berlusconi mengambil alih kelab pada tahun 1986 dan bermula dengan kekuatan dalaman. Capello mendapat peluang dengan memangku tugasan pengurus skuad utama pada 1987.

“Saya masih ingat ketika beliau mula-mula tiba, kami tidak tahu apa yang kami perlu lakukan kepadanya” kata Franco Baresi kepada fourfourtwo tentang kehadiran Capello

Tahun pertama Capello di skuad utama, beliau menjadi pembantu Nils Leidholm. Selepas mengalami musim yang bergolak, tewas kepada Parma dalam perlawanan Copa Italia dibawah kendalian Ariggo Sacchi, pengurus kelahiran Sweden itu akhirnya dipecat.

Capello memangku jawatan tersebut.

Capello terus menunjukkan sikap tegasnya. Dalam satu perlawanan, Capello membawa masuk Guiseppe Galderisi tetapi kembali mengeluarkannya selepas hanya 14 minit.

Capello menamatkan musim 1987 dengan meraih slot ke Piala UEFA, satu sasaran yang realistik baginya pada ketika itu. Namun Berlusconi mahu mendapatkan khidmat Sacchi dari Parma pada musim seterusnya.

Bekas penjual kasut ini dilantik dan merevolusikan sistem zonal marking dan 4-4-2. Melakukan latihan koordinasi 11 lawan 11.

Dibantu dengan kemasukan Marco Van Basten, Ruud Gullit dan Ancelotti, AC Milan berjaya merampas Scudetto.

Ruud Gullit, Carlo Ancelotti antara senarai pemain kunci kejayaan AC Milan di bawah Capello

Kemudiannya ditambah dengan kemasukan Frank Rijkaard, AC Milan meraih trofi Liga Juara Eropah 2 kali berturut-turut. Akhirnya pasukan ini menjadi skuad lagenda.

Dalam tempoh tersebut, Capello kembali ke skuad remaja AC Milan. Beliau dihantar menjalani kursus latihan selama setahun untuk meneruskan empayar Berlusconi.

Beliau mengasah skil pengurusannya dan setahun selepas itu beliau menjadi ketua Polispotiva Milan, satu badan yang memantau pasukan bola tampar, hoki ais, ragbi dan bola lisut.

Capello bertindak sebagai pengurus kewangan, kakitangan dan pemasaran.

Pada 1991, Berlusconi memecat Sacchi. Capello mendapat tugas sebagai pengurus AC Milan. Capello mewarisi skuad yang kuat tetapi agak tua.

“Saya fikir mereka adalah kumpulan pemain yang hebat, tetapi seperti mahatari yang yang hampir terbenam. Mencapai hujung kitaran kejayaan.” kata Sacchi

Pada permulaan Capello di Milan, kelab agak kurang melabur. Hanya Dimitrio Albertini yang dipromosi ke skuad utama bagi menggantikan Ancelotti.

Bagaimanapun Capello masih mempunyai Van Basten, Rijkaard, Gullitt dan sekumpulan pemain yang membentuk benteng pertahanan paling kebal pada masa itu.

4 pemain pertahanan AC Milan memahami dengan baik tentang kelab, budayanya dan saling memahami antara satu sama lain.

Mauro Tassotti tiba dari Lazio, sementara itu Paolo Maldini, Franco Baresi dan Alessandro Costacurta telah berada di Milanelo sejak 1970an.

Capello cukup mengenali 3 dari 4 pemain pertahanannya. Beliau pernah bermain bersama Baresi. Maldini dan Costacurta pemain yang dilatihnya dalam pasukan remaja.

Satu lagi kelebihan Capello, barisan pertahanan AC Milan telah dilatih dengan sempurna oleh Sacchi. Intensiti latihan Sacchi terhadap barisan pertahanan cukup tinggi.

Rijkaard mengatakan barisan pertahanan mereka boleh bertahan sambil menutup mata.

“Beliau (Sacchi) akan memaksa anda berkerja keras, kemudian ia akan melekat di dalam minda anda. Setiap hari kami melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali.”

“Jika saya bertemu Baresi dan Costacurta pada hari ini, kami masih boleh bermain seperti 1990an. Ia (latihan itu) terperangkap dalam minda anda.” ujar Maldini kepada Daily Mail pada 2015

Pada awal pemerintahan Capello, AC Milan belum lagi menjadi pasukan yang membosankan. Mereka mengekalkan sistem 4-4-2 dan menamatkan musim dengan 74 gol, paling tinggi di Serie A musim itu.

Pada perlawanan terakhir, AC Milan membelasah skuad Zeman, Foggia 8-2. Mereka menamatkan musim tanpa sebarang kekalahan.

Bagi musim 1992/93 Berlusconi mula mengeluarkan wang dari poket. AC Milan memecah rekod pembelian kelab dengan membawa masuk Gianluigi Lentini. Membeli pemegang Ballon d’Or, Papin dan membawa pulang Zvonimir Boban yang dipinjamkan ke Bari.

Dejan Savicevic yang mengetuai pasukan Red Star Belgrade di pertandingan Liga Juara Eropah juga disambar AC Milan.

Dengan trio Belanda masih kekal, skuad ini menjadi pasukan terkuat di eropah pada lewat 1992. 5 dari 6 Ballon d’Or terakhir berada di Milan.

  • Ruud Gullit (1987)
  • Jean Peirre-Papin (1991)
  • Marco Van Basten (1988,1989, 1992)

Perbelanjaan mewah juga memberi masalah Capello. Peraturan hanya membenarkan 3 pemain asing boleh bermain dalam 1 perlawanan. Ia memberi kesan kepada trio Belanda, Papin, Savicevic dan Boban.

Pada musim tersebut, AC Milan menamatkan kempen dengan mengumpul 65 gol liga. Barisan pertahanan menjadi kerisauan Capello. Beliau cuba menggunakan Rijkaard dan Albertini untuk bermain lebih kebawah, namun jumlah bolos tetap tinggi iaitu 32.

Bagaimanapun, Capello masih mengekalkan kejuaraan Serie A dengan hanya mencatat 2 kekalahan.

Masalah pertahanan bukan isu tunggal yang dihadapi Capello. Pada musim sebelumnya Van Basten gagal dikawal oleh pasukan lawan, menjaringkan 25 gol dan menjadi penjaring terbanyak Serie A.

Namun kecederaan pergelangan kakinya kembali, Van Basten tidak dapat beraksi selama beberapa bulan. Ketiadaan pemain ini merencatkan ‘kepulangan’ AC Milan ke Liga Juara Eropah selepas tamat penggantungan dari UEFA.

Musim ke-3 Capello di AC Milan adalah misi merangkul kejuaraan Serie A untuk kali ke-3 berturut-turut.

Rijkaard dijual ke Ajax dan Gullit dipinjam keluar ke Sampdoria. Kelab membeli Laudrup, Panucci dan Florin Raducioiu.

Capello fikir beliau mempunyai penyerang yang cukup bagi menampung ketiadaan Gullit. Namun masalah timbul selepas Papin mengalami kecederaan dan Marco Simone mahu meninggalkan kelab.

Pada bulan Ogos, Lentini mengalami kecelakaan jalan raya. Porschenya terbabas dan terbakar. Lentini mengalami keretakan tengkorak dan koma selama 2 hari.

Pada usia 24 tahun beliau kembali pulih sepenuhnya namun bakat yang dimiliki sebelumnya telah hilang.

Van Basten pula mula berputus asa dengan siri kecederaan yang dialaminya, pemain ini bersara pada usia 28 tahun pada tahun 1995. Kecederaan telah merompak bakat besar yang dimiliki Van Basten.

Kehilangan ramai penyerang menyaksikan Capello hanya mempunyai seorang penjaring veteran iaitu Danielle Massaro. Massaro menjaringkan 5 gol pada musim sebelumnya.

Angka tersebut tidak akan mampu menjulang AC Milan meraih Scudetto ke-3 kecuali pertahanan pasukan boleh menutup terus gawang gol dari dibolosi.

AC Milan membuka kempen dengan menewaskan Torino 1-0 dalam perlawanan Copa Italia. Ujian sebenar berlaku di Serie A, AC Milan bermula dengan mencatat 5 kemenangan dan 2 seri.

1-0, 1-0, 0-0, 2-0, 2-0, 0-0.

Selepas itu mereka seri 1-1 ketika menentang Foggia dan Juventus sebelum tumbang kepada Sampdoria 2-3 walaupun mendahului 2-0. Lebih malang gol kemenangan Sampdoria dijaringkan oleh Gullit.

Situasi buruk berlaku sebelum mereka menjadi lebih baik. Bolos 5 gol dalam 3 perlawanan masih belum merisaukan Capello.

Boban mengalami kecederaan dan perlu direhatkan selama 3 bulan, pemain ini adalah pengganti kekosongan yang ditinggalkan Rijkaard. Jendela perpindahan pemain pada ketika itu hanya berbaki 2 hari.

Menurut sumber Marcotti, Capello membuat panggilan terus ke Marseille. Marseille bersetuju dengan bayaran perpindahan Marcel Desailly.

Pada asalnya AC Milan tidak berminat dengan Desailly. Pengarah kelab Araido Baida terbang ke Perancis untuk memantau Boksic. Desailly menggunakan peluang itu.

Desailly kemudiannya berkata beliau mempunyai musim terbaik pada ketika itu. Fourfourtwo pernah bertanya kepadanya bagaimana penerimaan pemain AC Milan terhadap dirinya.

“Saya fikir mereka tertanya-tanya apa yang saya lakukan disana. Saya juga terfikir apa yang saya lakukan disana.”

Capello tahu apa yang perlu dilakukanya. Lebih baik menggunakan Desailly di posisi tengah bertahan daripada memberi peranan Boban yang lebih menyerang kepada Desailly.

Capello mengubah formasi 4-4-2 kepada 4-1-4-1, sesuatu yang baru pada ketika itu.

Tidak kira apa pun formasi, apa yang difikirkan oleh Capello hanyalah kemenangan. Beliau harus memperkuatkan pertahanan. Dengan Desailly, pemain ini mampu memberi perlindungan kepada Baresi dan Costacurta.

“Desailly seperti sweeper didepan 2 pertahanan. Desailly tidak diberi tugasan spesifik menjaga mana-mana pemain lawan. Tugasnya jelas, memenangi semua bola yang berhampiran dengannya.” Ujar Silvano Ramaccioni kepada Marcotti

Tidak hairanlah barisan ini akhirnya menjadi pertahanan lagenda dunia.

Kekalahan kepada Sao Paulo pada November, tersingkir dari saingan Copa Italia -tewas kepada Piacenza- dan tumbang kepada Parma pada Februari dalam perlawanan akhir Piala Super Eropah, ia menjadi detik sukar.

Capello tidak mempunyai masa untuk bergurau. Beliau akan menjadi lebih serius apabila jangkaannya tidak dapat dipenuhi.

“Beliau sangat keras. Seorang lelaki yang kurang bercakap dan kurang senyum ketika bekerja.” Kata Panucci

“Walaupun seorang pengurus muda beliau sangat fokus. Seorang yang kuat berfikir dan tidak gemar perkara-perkara yang mengarut.” Kata Laudrup kepada Daily Record

“Apabila dia berdiri di tepi padang memerhatikan kami berlatih, anda boleh merasakan pandangannya. Dia meletakan anda dalam tekanan.” kata Desailly

“Apabila anda bertegang dengan Capello, anda tidak pasti sama ada beliau marah atau hanya mahu melihat anda memberi reaksi. Keesokannya beliau datang kepada kamu dan kamu adalah kawannya semula. Beliau sering melakukan provokasi berkaitan reaksi kamu kerana mahu mencipta ketegangan dalam kumpulan.” Zvonimir Boban

Capello tidak membuka ruang untuk meminta maaf.

“Anda boleh bergurau. Ya sudah pasti. Tetapi apabila tiba masa untuk bekerja maka ia masa untuk serius.” kata Capello kepada fourfourtwo

“Orang berkata saya mempunyai masalah dengan isteri saya, dengan anak saya, dengan keluarga saya. Tapi kita semuanya sebenarnya mempunyai masalah.”

“Apabila anda berada disini, anda harus bekerja. Apa yang saya mahukan, pemain mesti bekerja dengan serius. Melakukan apa yang saya berikan kepada mereka.”

Capello berjaya membuktikan caranya betul. AC Milan meraih Scudetto ke-3 berturut-turut pada musim 1991-92, 1992/93 dan 1993/94.

Kali terakhir berlaku adalah pada tahun 1949 ketika Torino meraih kejuaraan 4 kali berturut-turut.

Sekiranya Capello tidak bermain defensif ketika bahagian serangan mempunyai banyak masalah, kejuaraan ke-3 tersebut merupakan perkara yang mustahil.

“Kami mempunyai pertahanan yang luar biasa dan pada musim 1993/94 ia menjadi kekuatan kami yang jelas terbukti.” Capello memberitahu kepada La Gazetta dello Sport

Memetik sumber dari Football Italia, pengurus ini menambah,

“Saya fikir orang perlu melihat kembali sebelum menghentam keputusan 1-0 merupakan keputusan yang biasa. Ia mengandungi 3 fakta. 1 pasukan telah menang, mempunyai 1 clean sheet dan berjuang untuk mempertahankan gawang sendiri. Ia seperti menghasilkan Wine dari anggur mereka sendiri”

Musim 1993/94 belum tamat. Di Liga Juara Eropah AC Milan akan bertemu Monaco -separuh akhir- yang berada dibawah pengurusan Asene Wenger. Pemenang perlawanan ini akan bertemu Barcelona pada perlawanan akhir.

Barcelona dibawah Johan Cruyff sedang mencipta kejuaraan La Liga ke-4 berturut-turut. AC Milan berjaya menewaskan Monaco 3-0 dan bertemu Barcelona.

Semangat meraikan kejuaraan La Liga beberapa hari sebelum terbang ke Athens bertemu AC Milan menjadi moral terbaik skuad Johan Cruyff. Barcelona turun sebagai pasukan pilihan.

Barcelona sarat dengan pemain berbakat seperti Michael Laudrup, Pep Guardiola, Ronald Koeman, Hristo Stoichkov dan Romario.

Pasukan ini menjaringkan 91 gol di La Liga dan bolos 42 kali. 36 jaringan Romario hampir menyamai keseluruhan jumlah jaringan AC Milan pada musim itu.

1 momen pada bulan Februari menggambarkan karektor pasukan Barcelona. Mereka tewas 3-6 kepada Real Zaragoza dan bangkit membelasah Osasuna 8-1.

Akhbar Sepanyol menggambarkan Cryuff dan Barcelona bola sepak yang romantis. Sementara itu Capello dan AC Milan adalah toksik Catenaccio.

Ketika Barcelona menghabiskan banyak wang untuk mendapatkan Romario, AC Milan pula hanya mengeluarkan sedikit wang untuk mendapatkan Desailly.

Cruyff juga dirakam memegang trofi Liga Juara Eropah seakan-akan Barcelona sudah memenangi trofi tersebut. Sementara itu di kem AC Milan agak sunyi dari tumpuan media.

“Mereka mentertawakan perjalanan kami ke perlawanan akhir. Mereka berkata kami tidak mempunyai peluang.”

“Tetapi kami tahu kekuatan kami. Kami mempunyai semangat berpasukan sebenar.”

“Capello agak marah dengan apa yang diperkatakan tentangnya. Beliau juga marah dengan apa yang diperkatakan tentang kelabnya. Kemarahan beliau dicurahkan kepada kami.” Desailly memberitahu kepada fourfourtwo

Capello mempunyai beberapa isu tentang pemilihan pemain dalam perlawanan akhir. 2 pertahanan tengah utama, Costacurta dan Baresi menjalani pengantungan.

Maldini dipindahkan ke bahagian tersebut, bergandingan dengan Fillipo Galli. Tassotti bermula di sebelah kanan dan Panucci di sebelah kiri.

Desailly dan Albertini akan berada di depan barisan pertahanan. Boban dan Donadoni berada di posisi kebiasaannya.

Di bahagian hadapan, pilihan yang ada cuma Massaro. Penyerang utamanya sepanjang musim itu. Bagaimana pula dengan Savicevic?

Hubungannya dengan Capello tidak begitu baik. Ia berlaku ketika perlawananan Piala Intercontinental. Sebelum penerbangan ke Jepun, Capello dikhabarkan Savicevic tidak layak bermain kerana peraturan UEFA.

Tempat beliau diberikan kepada Raducioiu yang sedang berada dalam prestasi buruk. Kemudian, kelayakan bermain untuk Savicevic dibatalkan tetapi Capello tetap mengekalkan Raducioiu.

Akhirnya Raducioiu menyumbang terlalu sedikit dalam perlawanan tersebut, AC Milan kalah dan Savicevic agak marah. Bagaimanapun Capello tetap menganggap Savicevic seorang pemain yang baik.

“Tiada persoalan, Sav merupakan pemain yang paling kerap saya gunakan. Beliau berlatih dengan kuat, beliau bekerja dengan kuat. Apabila beliau berada di padang, pemain lain perlu bekerja 2 kali ganda lebih kuat.”

Capello mengakui pemain ini mempunyai bakat yang luar biasa, dan pada malam itu pengurus ini memutuskan Savicevic akan bermain.

Sebelum perlawanan Berlusconi memberitahu “Dejan, kamu adalah genius dalam pasukan ini, jangan mengkhianati kami malam ini.”

Savicevic tidak mengkhianati AC Milan. Beliau menampilkan salah satu permainan terbaik dalam kariernya. Membantu Massaro mencetak gol pertama dan menghasilkan 1 lob yang hebat ketika melebarkan kedudukan menjadi 3-0.

Selepas 1 jam permainan, AC Milan sudah mendahului 4-0. Barcelona secara keseluruhannya telah mati pada setengah jam terakhir.

“Bukan kami bermain dengan teruk tetapi kami langsung tidak bermain apa-apa.” kata Cruyff tentang pasukannya pada perlawanan itu.

Keputusan 4-0 itu agak berlainan dengan kempen mereka di liga. AC Milan tidak pernah menang dengan jaringan lebih dari 2 gol. Sambutan kemenangan diraikan dengan sangat gembira.

Capello kekal disana sehingga jam 4 pagi. Akhirnya, pada jam 6 pagi mereka kembali ke hotel.

Ketika di dalam lif, Capello bertanya kepada Galliani dimana trofi tersebut, beliau tidak tahu.

Galliani terkejut dan terus meluru ke bar hotel. Berlari dalam keadaan panik.

Menurut Marcotti. Galliani bertanya kepada salah seorang pekerja hotel. Pekerja itu menjawab dia menjumpainya dan telah menghantar ke bahagian ‘barangan hilang’.

Galliani pergi mengambilnya dan memeluk seperti baru menjumpai bayinya yang hilang.

“Saya tidak akan menukarkannya dengan apa-apa barang yang ada di atas dunia.”

Baca yang lain