Kisah Kasut Terbang Ke Muka Beckham, Dan Dijual Sir Alex Ferguson

Banyak media melabel Sir Alex Ferguson sebagai pembuli. Malah beberapa tahun selepas meninggalkan Man United, pemain seperti Roy Keane dan Nistlerooy pun seringkali menuduh Sir Alex sebagai kuku besi, walaupun tak terlalu direct.

Ini kerana pemain-pemain ini semua pernah kena amuk dengan Sir Alex apabila dia naik hantu.

Insiden kasut terbang terkena muka Beckham yang kacak menawan itu menjadi sensasi di dada akhbar. Masa tu belum ada media sosial. Kalau tak memang meletus Twitter dan Facebook.

Peristiwa itu berlaku pada 15 Februari 2003. Berlaku pertelingkahan di antara Sir Alex Ferguson dengan David Beckham.

Man United disingkirkan Arsenal daripada Piala FA, pusingan kelima di tempat sendiri. Sir Alex hanya mampu menyaksikan Dennis Bergkamp dan Thierry Henry bermaharajalela di atas padang.

Ryan Giggs pula gagal menyempurnakan peluang gol pada minit ke-30.

Sir Alex Ferguson seringkali diceritakan oleh bekas pemainnya sebagai sangat garang. Walaupun di luar bilik persalinan, di hadapan media, beliau tidak pernah menunjukkan karakter garang dengan pemain itu.

Ego Beckham

Sir Alex Ferguson ada satu sesi dipanggil hairdryer treatment – untuk pemain yang buat hal.

Apa yang Sir Alex marah adalah, ketika gol kedua Arsenal, David Beckham tidak track back, dan membiarkan Edu menguasai ruang di kawasan beliau untuk menghantar bola kepada Sylvain Wiltord.

Sir Alex Ferguson di bilik persalinan terus memaki Beckham yang sudah beberapa minggu fikirannya sudah melayang.

Malangnya, Beckham telah menjawab dan tidak menerima hakikat bahawa dia malas bertahan dan melawan Sir Alex Ferguson.

Fergie sangat bengang dengan Beckham yang menegakkan benang yang basah.

Dalam buku Sir Alex, My Autobiography beliau menulis: “Beckham berada 12 kaki daripada saya. Di antara kami berdua ada satu barisan boots. David mencarut ketika itu.”

“Saya datang dekat dia dan menyepak boot. Kasut itu terbang dan terkena bahagian atas mata kanan dia.”

“Memanglah dia marah, dan nak meluru menyerang saya. Pemain lain menahannya.”

“Duduk! Saya kata. Kau dah buatkan team down. Lantak kaulah nak meroyan seberapa banyak kau nak.”

David Beckham sejak berkahwin memang banyak masalah. Sir Alex menyuruh dia kembali menyewa rumah ataupun membeli rumah di Manchester, dia tak nak.

Dia nak duduk di London kerana isterinya seorang selebriti kelas A, Victoria Adam / Victoria Beckham, ahli kumpulan Spice Girls.

Sir Alex pernah memanggilnya ke ofis dan memintanya memilih, ‘Kau nak jadi pemain bola sepak sepenuh masa, ataupun pemain separuh masa sambil menjadi selebriti?’

Disiplin semakin hilang

Beckham mulai lewat datang ke pusat latihan kerana dia terpaksa bertolak dari London dengan jet ataupun helikopter. Kalau cuaca buruk, lagi la lewat.

Selepas tamat perlawanan, Beckham akan cepat cepat balik kerana rumahnya yang jauh.

Beckham mulai menunjukkan ego seorang big player. Perkara yang paling dibenci Sir Alex Ferguson dalam diri pemain.

Lihatlah pemain lain di dalam pasukan United, termasuk Paul Scholes dan Ryan Giggs, muka skema dan fokus mereka hanya kepada bola.

Peristiwa kasut terbang itu dikatakan hari Sir Alex memutuskan bahawa David Beckham harus pergi. Beliau pemain yang bagus tetapi bukan pemain yang menepati DNA Man United seperti sebelum ini.

Sir Alex Ferguson sebelum ini memang tahu Beckham bukan pemain yang melakukan track back ketika di akademi.

Namun bakat luar biasa ada pada Beckham membuatkan namanya disenarai untuk dipromosi ke pasukan utama daripada Class of 92.

Sir Alex Ferguson kemudian memberitahu Beckham untuk track back kalau nak bermain menjadi pemain utama Man United.

Beckham memperbaiki aspek itu hari demi hari kerana dia sangat menghormati Sir Alex Ferguson.

Entah kenapa hari itu, dia boleh mencarut kat orang tua tu. Memang silaplah.

Statusnya yang menjadi pujaan para gadis dan juga muncul di banyak malam anugerah hiburan bukan sesuatu yang Sir Alex Ferguson gemar.

Bagi Sir Alex Ferguson, pemain bola sepak kena tidur awal. Ada satu peristiwa, David Beckham kantoi terbang ke Ireland menemui Victoria yang ketika itu masih kekasihnya, tanpa memberitahu Fergie.

“Saya kembali ke pusat latihan pada pukul 6. Saya duduk sekejap di ruang legar, dan pengurus lalu depan saya. Beliau langsung tak menegur saya. Saya tahu, saya dalam masalah,” kata Beck kepada BBC Radio.

Fergie kemudian mendapati Beckham memakai Beanie hat ke pusat latihan untuk menutup gaya rambut terbarunya dengan mencukur rambutnya.

Sir Alex tak suka pemain yang menggayakan rambut dengan gaya artis ataupun flashy. Kasut pun dia nak pemain pakai kasut hitam.

Berbalik kepada kisah kelopak matanya yang berdarah kerana boots, Beckham dirawat segera. Beckham kemudian muncul di khalayak dengan plaster – surgical tape.

Minggu berikutnya, Sir Alex melihat Beckham bergembira berjabat tangan dengan Roberto Carlos dan dia sudah tidak kisah tentang perseteruan, ataupun apa sahaja keputusan di atas padang pada ketika itu.

Beckham merasakan dirinya tak mampu digantikan. Kerana berjuta peminat Man United dari seluruh dunia memujanya.

Beckham adalah simbol komersial yang kuat kepada kelab. Tapi Beck silap. Dan Sir Alex Ferguson dengan terbuka memberitahu kepada media, Beckham akan disisihkan selepas ini digantikan Ole Gunnar Solskjaer, untuk baki kempen mereka.

Ketika David Beckham mendapat tahu dia disenarai jual oleh Sir Alex. Dia sangat sedih.

Beckham berkata: “Saya tak pernah langsung terfikir mahu meninggalkan United. Dan saya tak akan pernah berdendam dengan United. Ianya sakit, saya marah ketika itu.”

“Saya disisihkan pada baki musim itu dan saya tak pernah menduga akan meninggalkan Man Utd.”

Beckham kemudian dijual dengan harga lelong £24.5  juta ke Real Madrid.

“Selepas saya pergi, saya tak sanggup menonton perlawanan Man United. Saya masih terkejut dan tergamam kerana kami baru sahaja menang liga ketika itu.”

Namun pada 1998, Beckham buat hal di Piala Dunia, dapat kad merah dan disingkirkan Argentina.

Agak mengejutkan apabila Sir Alex Ferguson menjadi orang pertama yang mempertahankan Beckham dengan berkata: “Son [Anak], kembalilah ke Manchester, dan kamu akan ok.”

Selepas meninggalkan United Beckham berkarier sehingga usia 37 tahun. Beliau memiliki stamina yang luar biasa. Bermain untuk kelab seperti Real Madrid, LA Galaxy, AC Milan dan PSG.

Ketika Sir Alex ditanya media tentang mata Beckham yang koyak. Beliau masa itu tak berselindung.

“Ianya berlaku tak sengaja dan ianya tak akan berlaku lagi.”

Baca yang lain