Keane Bengang Fernandes Tak Seperti Cantona, Namun Peminat United Tak Setuju

Legenda Manchester United, Roy Keane, mengkritik Bruno Fernandes kerana tampil tidak bermaya ketika menentang Manchester City di separuh akhir Piala Carabao.

Menurut Keane, Bruno Fernandes tidak layak dibandingkan dengan legenda The Red Devils, Eric Cantona – di mana Cantona seringkali menonjol dalam perlawanan besar seperti itu.

Impian Manchester United untuk melangkah ke final Piala Carabao tersekat selepas tewas 0-2 di tangan Man City di Old Trafford. Sekaligus memberikan kekalahan keempat berturut turut kepada pasukan Ole Gunnar Solskjaer dalam 4 semifinal pertandingan piala.

Gol City dijaringkan oleh John Stones dan Fernandinho. Dan City akan berdepan dengan Tottenham Hotspur di final yang akan diadakan pada 25 April akan datang.

Bruno Fernandes berpindah dari Sporting Lisbon ke Old Trafford hampir setahun yang lalu. Setakat ini, dia mempunyai rekod hebat 27 gol dan 17 assist dalam 46 penampilan.

Ramai peminat yang membandingkan Fernandes sebaga Eric Cantona era moden. Namun, Keane menegaskan bahawa Fernandes tidak layak dibandingkan dengan Cantono yang seringkali menjadi faktor perbezaan dalam perlawanan besar.

“Tidak mudah untuk memenangi banyak piala dalam bola sepak. Fernandes telah mendapat pujian yang luar biasa selama beberapa bulan terakhir dan orang membandingkannya dengan Eric Cantona dan yang lain. Tetapi Bruno Fernandes tidak melakukan terlalu banyak malam ini,” kata Keane kepada Sky Sports.

“Pemain bintang utama muncul dalam perlawanan besar. Itulah yang dilakukan Cantona, dan mereka mendapat trofi. Di situlah kekurangan pasukan ini,” tambah Keane.

Melihat kekalahan Manchester United kepada City, Keane mencadangkan Ole Gunnar Solskjaer  menggunakan jendela perpindahan kali ini untuk membeli pemain.

“Mereka mungkin memerlukan satu atau dua pemain lagi untuk masuk ke dalam skuad ini, tidak diragukan lagi. Mereka memerlukan kekuatan mental dan keyakinan untuk memenangi separuh akhir, ” tegas bekas kapten legenda Man United itu.

“Anda kemudian mendapat momentum dan mereka tidak melakukannya malam ini.”

“Tetapi, penghargaan harus diberikan kepada City. Manchester United menentang pasukan Man City yang luar biasa malam ini, yang muncul dan menunjukkan persembahan yang bagus,” kata Keane lagi.

Adakah anda bersetuju dengan Roy Keane? Kerana Bruno Fernandes telah memberikan banyak sekali sumbangan sejak menyertai Man United.

Beliau bermain sangat banyak perlawanan sejak tiba di Old Trafford. Selain itu ada juga peminat membidas pandangan Keane dengan menyatakan bahawa, Cantona bermain dengan pasukan serba lengkap.

Manakala Bruno Fernandes sepasukan dengan Maguire dan Martial. Selain itu, Bruno Fernandes jelas sekali ‘overused’ sejak tiba. Jadi ada masanya pemain itu akan merasa keletihan kerana dia bukan robot.

Keane seringkali memberikan pandangan yang membuatkan peminat Man United marah dengan beliau. Ada juga meminta Keane jangan pilih kasih dan kritik sekali Harry Maguire, bukannya hanya mengecam pemain bukan Inggeris.

Itupun menurut mereka lagi Fernandes tetap berjaya membantu pasukannya mara ke beberapa separuh akhir sejak tiba.