Keane Sempat Menyakat Ronaldo: “Mujur Dia Tak Blah Awal Hari Ni”

Roy Keane nampaknya tidak bagi peluang kepada Ronaldo. Dan dia sempat menyindir pemain itu berkaitan insiden pulang awal sebelum ini.

Cristiano Ronaldo tidak dapat menjadi wira Manchester United selepas masuk dari bangku simpanan ketika menentang Brighton. Di mana Roy Keane tidak terlalu terkejut.

Erik ten Hag memberikan kepercayaannya kepada Ronaldo sejurus selepas separuh masa kedua bersambung dalam perlawanan Liga Perdana pertama pengurus Belanda itu di Old Trafford.

Tetapi pasukan Brighton yang bermain dengan mengagumkan di bawah kendalian Graham Potter telah merosakkan penampilan sulung pengurus baharu itu.

Pascal Gross menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama – yang membuatkan penyokong tuan rumah terkejut.

Di studio Sky Sports di West Ham, tempat dia membuat liputan perlawanan The Hammers dengan Manchester City, Keane tidak dapat menyembunyikan rasa bengangnya terhadap persembahan bekas pasukannya pada sepenuh masa.

Bekas kapten Man Utd mengecam aksi separuh masa pertama apabila pasukannya kehilangan penguasaan bola sebanyak 25 kali.

“Pertama sekali, Brighton telah cemerlang – mari kita beri mereka penghargaan sebelum kita mula mengkritik Man Utd,” kata Keane.

“Man Utd kelihatan sangat, sangat rapuh, masalah yang sama, kita persoalkan personaliti dalam pasukan, masalahnya adalah di luar penguasaan bola mereka kelihatan begitu terbuka.”

“Mereka bermula dengan baik, peluang keemasan untuk Fernandes, di mana dia harus menemui sasaran. Tetapi selepas itu, Brighton telah beraksi cemerlang. Ruang besar diberikan Man Utd di mana-mana.”

“Kita tidak sepatutnya terkejut kerana kita bercakap mengenai perubahan dalam pasukan, personaliti pengurus, sudah tentu dia memerlukan masa.”

“Tetapi saya kembali kepada personaliti dalam pasukan, di tengah-tengah padang di mana-mana, terdapat ruang kosong di mana-mana. Eriksen, Fernandes, kehilangan penguasaan bola untuk Man United adalah paling teruk daripada mana-mana pasukan dalam Liga Perdana. Ya, saya tahu ia masih awal. Tetapi ia akan kembali kepada tabiat musim lalu.”

“Tidak ada masalah apabila kamu menguasai bola tetapi ketika kamu tidak menguasai bola, pasukan ini terlalu terbuka.”

Apabila kamera kemudian merakam ke arah Ronaldo, yang sedang bersiap untuk tampil sejurus selepas separuh masa, Keane ditanya oleh penyampai Dave Jone, adakah dia berpendapat Ronaldo akan memberikan perbezaan dan menjadi wira kebangkitan United?

Keane kemudian tidak dapat mengelak daripada merujuk kepada kontroversi pada hujung minggu lalu, apabila Ronaldo meninggalkan Old Trafford sebelum tamat perlawanan persahabatan di antara Manchester United dengan Rayo Vallecano.

“Ya, saya gembira dia tidak balik awal hari ini,” sindir Keane, “tetapi dia jelas satu pilihan yang baik [untuk dimasukkan].”

“Tetapi masalahnya ialah United perlu mula mengejar dari belakang dan Brighton adalah pasukan yang terlalu bagus untuk tidak melepaskan kedudukan mereka.”

Sebelum perlawanan, Keane menyatakan bahawa Man United tidak boleh melepaskan Ronaldo dengan berharap bahawa Martial adalah penyelesaian kepada masalah serangan mereka. United harus memikirkan pembelian no.9 baharu yang berkualiti jika mahu melepaskan Ronaldo.

Ronaldo muncul lapan minit selepas separuh masa kedua bersambung. Walaupun gol sendiri Alexis MacAllister mengheret mereka kembali ke dalam permainan, United akhirnya tewas 2-1 untuk memberi Ten Hag permulaan mimpi ngeri pada debutnya.

Baca yang lain