Kedah Nafi Perjanjian Dengan JDT Melibatkan Sumareh-Liridon

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tampil menafikan tuduhan kononnya mereka mendapatkan khidmat Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh dari JDT.

Terdapat juga laporan menyatakan bahawa Sumareh menjadi milik Kedah dan akan ditukarkan dengan Liridon pada musim hadapan.

CEO KDA, Khamal Idris Ali menganggap perkara itu hanyalah satu spekulasi yang dicetuskan di media sosial secara sensasi.

Dipetik dari BH Online, Khamal berkata:

“Media sosial itu biasa, adakah (berita) di media sosial itu satu benda yang pasti? Setakat ini kelab kita tiada info atau perjumpaan. Itu hanya spekulasi.”

“Tak ada apa (perbincangan dengan Sumareh dan Liridon). Buat tak tahu sahaja, nama pun media sosial. Dia boleh baling batu dan sembunyi tangan. Tapi orang boleh percaya, itu yang bahaya,” katanya kepada BH Online.

Namun beliau tidak menolak sebarang kemungkinan di masa akan datang. Cuma ketika ini rumors tentang Kedah, JDT dengan Liridon dan Sumareh hanya spekulasi.

Liridon Krasniqi bukan nama asing bagi peminat Kedah. Kariernya di Malaysia memang sinonim dengan kelab utara tanah air itu.

Liridon sebelum ini menyertai JDT dan diletakkan dalam pasukan JDTII. Sejak di JDT Liridon bergelut dengan prestasi dan kecergasan.

Liridon merupakan pemain naturalisasi, sama seperti Mohamadou Sumareh. Sumareh musim lalu bermain untuk Liga Thailand dengan kelab Police Tero. Namun pemain itu sudah mengesahkan bahawa kontraknya dengan pasukan Thai itu tak lama. Dan pemain tersebut hangat dikaitkan dengan JDT.

Seterusnya Khamal menyatakan KDA FC kini terus berusaha menguatkan lagi pasukan mereka terutama sekali untuk menghadapi Piala AFC.